Bab 14

Bab 14


BAB 14

Pagi yang mendung seakan-akan hujan akan turun tidak lama lagi. Hati Nura Afyna berdebar-debar menanti keputusan kemasukan ke universiti pada waktu tengah hari nanti. Pagi ini dia pergi ke rumah makciknya yang berada di kampung untuk majlis tahlil sempena menyambut bulan Syaaban.
            “Sayang, nanti bawa kereta hati-hati ya” pesan suaminya di muka pintu sebelum bertolak ke pejabatnya.
            “In shaa Allah baik-baik saja abang Man, lagipun Teha teman Fyna sekali” jawab Nura Afyna setelah mencium tangan suaminya.
            “Abang pergi dulu ya sayang. Assalamualaikum” kata Ahmad Ilman setelah mencium dahi isterinya.
            Nura Afyna dan Fatehah memandu kereta ke kampung bagi mewakili keluarga mereka yang tidak dapat hadir. Masa majlis tahlil berlangsung, tangan Nura Afyna sentiasa memegang telefon bimbitnya. Dia menunggu waktu sehinggalah matahari sudah berada tegak di atas kepala. Dia menghantar pesanan ringkas mengikut format yang telah ditetapkan oleh pihak Unit Pengurusan Universiti (UPU) untuk mengetahui keputusannya melalui pesanan ringkas namun dia tidak dapat maklumat seperti yang dijanjikan. Mungkin berjuta orang hantar sms dalam masa yang sama sampai jam sistem ni, katanya di dalam hati. Orang yang berada di hadapannya asyik memerhatikan tingkah lakunya yang sambil lewa semasa makan hidangan yang disediakan. Matanya asyik memandang telefon sambil tangannya menyuapkan nasi ke dalam mulut.
Sampai sahaja di rumah, dia membuka laman web UPU dengan penuh cermat untuk mengetahui keputusan kemasukan ke universiti. Dia mendapat tawaran belajar ke IPTA di Universiti Putra Malaysia dalam aliran yang paling diminatinya. Dia menjerit keriangan saat membaca makluman yang terpampang di skin komputer riba. Dia seterusnya menelefon mak dan ayahnya.
“Emak ayah, Fyna dapat UPM!” khabarnya dengan riang.
“Alhamdulillah Fyna” sambut emak dan ayahnya gembira.
“Dah bagitahu Ilman belum?” tanya emaknya.
“Belum lagi mak, nak surprise dekat dia” jawabnya gembira.
Ahmad Ilman yang berada di pejabat sedang bertungkus lumus menyiapkan tugasan yang perlu disiapkan. Macam mana dengan Fyna ya, rindulah dekat dia, kata hati Ahmad Ilman. Semenjak peristiwa dia memarahi isterinya, kasihnya terhadap isterinya makin bertambah. Untuk meluahkan rasa rindunya, dia memberi sms kepada isterinya.
            Assalamualaikum kasihku, sayang macam mana sekarang? Abang rindu dekat sayanglah.. I love you
Nura Afyna yang mendapat sms daripada suaminya tersenyum-senyum sendirian. Betul kata orang, bercinta lepas kahwin itu lagi best. Kasih Nura Afyna kepada suaminya juga begitu. Dia lebih sedar yang seorang suami perlu dihormati.
            Wa‘alaikumussalam abang, Fyna sihat. Love u too..abang
Ahmad Ilman yang mendapat maklum balas daripada isterinya terlompat-lompat kegembiraan ketika membaca ayat ‘love u too..abang’. Apa tidaknya, isterinya sering memanggilnya sebagai Abang Man, tidak seronok rasanya, panggilan abang itu lagi nikmat untuk didengari. Dia tidak sabar pulang ke rumah untuk bertemu dengan buah hatinya.  Jarum pendek jam telah menunjukkan tepat jam lima petang. Cepat-cepat dia thumb print, dan memasuki kereta Perodua Axia berwarna hijau muda miliknya. Kuncinya dimasukkan ke dalam ignition switch untuk menghidupkan enjin. Dia memandu kereta dengan berhemah menuju ke rumahnya. Sampai sahaja di rumah, dia menelefon isterinya.
                        “Assalamualaikum sayang, abang dah sampai ni, dah ada di depan rumah, buka pintu sayang.”
                        “Wa’alaikumussalam abang, ya Fyna datang pergi buka pintu, tunggu ya abang”
Isterinya membuka pintu dengan melemparkan senyuman yang manis kepadanya dan menyalami tangannya. Dia berasa tenang dan segala masalahnya di pejabat bagaikan hilang seketika berawang-awangan di udara memberikan ruang untuknya berehat bersama isteri tersayang. Nura Afyna sudah menyediakan hidangan untuk suaminya. Pada hari ini dia berasa sungguh gembira sehingga rajin membuka laman sesawang yang berkaitan masakan untuk memasak makanan yang enak supaya dapat dimakan bersama. Walaupun tidak mahir memasak makanan-makanan yang berat seperti gulai, sup dan rendang, dia cuba memasak juga untuk memikat hati suaminya. Dia tahu suaminya pasti ingin merasai air tangannya. Memandangkan telur masak merah ialah makanan kegemarannya dan mungkin makanan kegemaran suaminya, dia mencari resepi dan memasak masakan tersebut. Sebagai pelengkap makan malam, dia memotong buah betik kepada beberapa potongan dan memasak lauk sayur.
Makanan telah sedia hidang di atas meja bulat di ruang makan. Cuma tunggu masa untuk dirasai. Mungkin lauk hanya sedikit tetapi cukuplah untuk beginner seperti dirinya. Ahmad Ilman melihat makanan yang terhidang di atas meja dan berasa pelik sedikit. Bila masa pula isteri aku ni pandai masak ni, desis hatinya.
“Abang, mari kita makan bersama, Fyna masak tahu, rasalah mesti sedap punya” kata isterinya.
“Sayang masak? Mesti sedap ni, rezeki jangan ditolak, perut pun… dah lapar ni, jom kita makan”
Seperti biasa, Ahmad Ilman mengetuai doa makan. Mereka makan dengan seleranya. Masakannya habis licin dimakan suaminya. Terkejut juga Nura Afyna melihat gelagat suaminya, rupanya dia memang berbakat dalam bab-bab memasak telur masak merah yang selalu emaknya buat. Suaminya dengan semangatnya berkata sesuatu kepadanya semasa menjamah makanan.
                        “Sedapnya, mana sayang belajar ni? Kalau dari dulu macam ni, setiap hari abang nak rasa masakan sayang” puji suaminya.
                        “Terima kasih abang, sa…yang memang pandai masak cuma tak nak buat je” dia tersenyum membahasakan dirinya sebagai ‘sayang’.
                        “Abang salah dengar ke tadi, sayang bahasakan diri dengan sayang! Good improvement” balas suaminya lalu menyuapkan nasi ke dalam mulutnya. Dia makan sambil tersenyum sedikit.
                        “Sayang, mak dah bagi tahu abang yang sayang ni tak pernah masak apa-apa lauk kat rumah tu, tapi ada apa ya tiba-tiba je ada mood nak masak ni” sambung suaminya apabila dia masih mengunyah makanan.
                        “Sayang ada berita gembira nak bagi tahu abang, sayang dapat tawaran masuk U di UPM” katanya dengan manja.
                        “Wah, baguslah macam tu, bila masuk?”
                        “Lagi dua minggu, nanti kita beli barang ya”
Berita itu memang menggembirakan Ahmad Ilman namun dia turut berasa sayu. Dia akan berjauhan dengan isterinya. Universiti Putra Malaysia (UPM) bukannya dekat. Dia perlu memandu berjam-jam untuk ke sana. Dia juga perlu menanggung pembelajaran isterinya. Walaupun ayah mentuanya bersetuju untuk menanggung separuh bayaran dari pembelajaran isterinya di UPM, namun dia turut berasa bersalah kerana Nura Afyna kini bawah tanggungannya. Pastinya selepas Nura Afyna berjaya menamatkan pendidikan asasinya, isterinya ingin melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi dan memerlukan pembiayaan yang lebih tinggi. Dia perlu berusaha untuk mendapatkan pendapatan yang lebih sedikit untuk menanggung semua ini. Setelah selesai makan, dia ke dapur membantu isterinya membasuh pinggan. Dia sentiasa teringat saat dulu waktu ibunya masih hidup, dia melihat ibunya bersama-sama bapanya membasuh pinggan. Dulu, dia tengok memang tidak ada apa-apa yang istimewa tetapi apabila dia berfikir semula, pasti ada kemanisan apabila sang suami membantu isteri di dapur. Dia membantu membasuh pinggan setelah itu dia mahu memasuki kamar mandi untuk membersihkan dirinya. Dia terus berjalan menuju ke kamar mandi, namun isterinya memanggilnya.
                        “Abang, tunggu sekejap. Biar sayang bukakan baju abang” kata isterinya. Kenapa dengan isteri aku ni, buang tabiat apa, tak pernah-pernah nak buka baju aku ni? Malah setiap kali aku buka baju pasti dipejam matanya, gumam hatinya.
                        “Tak mengapa sayang, abang boleh buka sendiri” dia cuba menolak pelawaan isterinya.
“Apa abang ni, malu-malu pula, kita kan suami isteri, apa salahnya, bukannya buat apa-apa” pujuk isterinya sambil membuka butang-butang baju kemejanya.
Dia berdiri diam dan melihat isterinya melakukan hal sedemikian. Berdebar juga hati dibuatnya. Kena kuat ni, nanti terlanjur pula dibuatnya, tapi apa salahnya, dia kan isteri kau, kau ada hak, bermacam-macam difikirkan olehnya semasa melihat isterinya di hadapannya betul-betul dekat dengannya seolah-olah ingin menggodanya. Dia cuba untuk mengelak daripada melakukan sesuatu yang menyebabkan isterinya berbadan dua. Dia akhirnya memeluk isterinya secara tiba-tiba. Nura Afyna berasa cemas. Adakah masanya sudah tiba?, dia cuba menenangkan fikiran. Agak lama suaminya memeluknya, namun suaminya melepaskan rangkulannya. Ahmad Ilman melepaskan rangkulan hangat isterinya apabila dia teringat yang dia belum lagi menunaikan solat asar. Cepat-cepat dia memasuki bilik air.
Ahmad Ilman menenangkan dirinya di dalam kamar mandi. Kalau diikutkan hari ini sudah masuk hari ke-14 kitaran haid isterinya. Hari ke-14 bagi kebanyakkan wanita adalah hari subur. Apa aku buat ni, Fyna masih belajar Ilman, dia cuba menenangkan dirinya. Nura Afyna begitu terkejut dengan tindakan suaminya yang melepaskan rangkulan hangat tadi. Biar betul lelaki ni, kuat betul iman dia, bermacam-macam alasan yang ditekanya.
Setelah selesai menunaikan solat asar, Ahmad Ilman duduk bersebelahan isterinya di atas sofa berwarna biru laut. Mereka menonton drama melayu ‘Aku Pilih Kamu’ yang telah tiga puluh minit bersiaran di TV3. Nura Afyna buat tidak tahu sahaja apabila suaminya duduk di sebelahnya. Dia terus melayan drama kegemarannya. Ahmad Ilman hanya ingin menemani isterinya menonton televisyen. Manalah dia menyukai cerita-cerita romantik ni, kalau filem aksi boleh lah dengan jiwa dia. Tetapi demi isteri yang tersayang diturutkan juga dirinya untuk menonton televisyen bersama-sama. Mungkin peristiwa tadi membingungkan dirinya. Memang dahulu dia seorang mata keranjang tetapi tidak adalah sampai terlanjur dengan mana-mana perempuan. Dia memang nak meneruskan niatnya di hati tetapi dia perlu juga menitikberatkan soal masa hadapan isterinya yang akan tinggal di UPM dan berjauhan dengannya. Tidak sanggup dia melihat isterinya seorang diri menderita menjaga baby dalam perut. Banyak benda yang perlu dia tahu mengenai perempuan. Kematian emak pada usia yang masih muda menyukarkan dia untuk memahami perempuan terutama yang jenis suka pendam dalam hati.
Pada malam itu, dia bersembang dengan isterinya mengenai percutian mereka ke Tanah Tinggi Cameron pada hari minggu yang akan datang. Pelbagai rancangan yang mereka fikirkan. Sebelum isterinya pergi melanjutkan pelajaran, semestinya dia ingin meluangkan masa bersama isterinya. Mereka ingin bercuti selama tiga hari dua malam di sana. Perancangan-perancangan yang dipersetujui bersama ditulis di dalam sebuah buku khas yang diberi nama ‘Diari Kami’ yang warnanya berjalur-jalur merah dan biru. Kemudian dia bertanya kepada isterinya setelah semuanya direkodkan di dalam buku.
                        “Sayang, apa pendapat sayang jika Allah mengurniakan rezeki kepada kita dengan kehadiran seorang anak” katanya sambil mengenggam tangan isterinya.
                        “Abang, setiap perempuan itu pastinya menginginkan seorang anak dalam hidupnya, kalau abang sendiri macam mana?" kata isterinya dengan lembut dan penuh kasih sayang.
                        “Abang pun teringinkan seorang anak yang dapat menyerikan rumah tangga kita tapi sayang kena ingat satu benda” jawabnya dengan nada yang rendah namun serius.
                        “Kita kena penuhkan dada kita dengan ilmu agama sebelum kita ada anak kelak supaya kita dapat melahirkan anak yang soleh dan solehah” sambungnya. Nura Afyna hanya menggangguk tanda memahami nasihat suaminya.
Kata-kata suaminya ada benarnya. Dia berasa ilmu agamanya belum cukup lagi untuk melahirkan zuriat yang soleh dan solehah untuk suaminya. Terharu dia dibuatnya, selama ini dia tidak tahu bahawa lelaki yang berada di hadapan matanya ini berpandangan jauh. Ahmad Ilman ingin isterinya memahami status dirinya sebagai ketua keluarga. Sebelum tidur, Nura Afyna menawarkan diri untuk mengurut belakang suaminya kerana dia kasihan melihat keadaan suaminya yang begitu sibuk dengan kerjaya suaminya di siang hari. Tambahan pula, peristiwa beberapa hari yang lalu ketika dia berlari-lari dengan suaminya, dia tidak meletakkan minyak angin di tempat yang suaminya mengadu sakit.
Ahmad Ilman berasa gembira kerana ada yang mahu mengurutnya. Tidak pernah lagi isterinya mahu mengurutnya sebelum ini. Dia segera membuka bajunya dan duduk membelakangi isterinya.
“Okay, sekarang abang rasa lenguh dekat mana? Tapi, jangan nak kenakan Fyna macam haritu!” tanya isterinya sambil menepuk lembut bahunya.
“Yalah, abang tak kenakan sayang lagi. Betul ni nak urutkan? Bukan balas dendam kan?” jawabnya lalu memusingkan badannya sedikit untuk memandang isterinya.
“Sayang tengah ada mood ni. Lagipun, sayang tak pernah dendam dengan abang walau sikit. Yang ada dalam hati sayang ialah rasa cinta dan sayang dekat abang” luah isterinya lantas memandangnya sambil tersenyum. Dia tersenyum melihat senyuman isterinya. Bahagianya Ya Allah!, jerit hatinya.
“Hmm.. sejak bila dah pandai luahkan perasaan ni? Dulu, bukan main suka pendam dalam hati sampai abang pujuk barulah nak cerita” duganya.
“Sayang luahkan dekat abang je lah. Sebab abang kan suami sayang. Abang juga yang kata, abang sentiasa ada dengan sayang mengharungi segala ujian yang Allah berikan” Ahmad Ilman dan Nura Afyna mendiamkan diri. Sesi mengurut badan seakan bertukar kepada sesi meluahkan perasaan hati masing-masing.
“Dahlah, cepatlah tunjuk dekat mana abang lenguh?” kata Nura Afyna memecahkan kesunyian yang terjadi.
“Urut je lah di mana-mana yang sayang suka. Badan ini juga hak Fyna untuk menyentuhnya” balas Ahmad Ilman manja sambil matanya memandang tepat mata isterinya. Ish, dia ni nak romantik pun janganlah waktu tak pakai baju ni, boleh cair tahu, getus hati Nura Afyna.
“Okay, kalau macam tu sayang urut dekat semua bahagian kecuali ehem ehem lah ya. Jadi abang kena meniaraplah kalau nak full package” jawab Nura Afyna selamba lantas dia mengambil minyak panas yang berwarna merah dan dituangkan sedikit di tangannya. Ahmad Ilman segera membelakangi isterinya lalu dia meniarap. Minyak panas itu dilumurkan ke seluruh bahagian belakang suaminya.
            “Abang, kenapa ada parut di belakang badan ni?” Nura Afyna terkejut apabila melihat belakang badan menghampiri pinggang suaminya.
            “Parut tu… parut kenangan... sayang” tenang sahaja jawapan daripada suaminya.
            “Kenangan apa? Abang tak mahu ceritakan?”
            “Sayang, sebabkan parut ni lah, abang berjaya hari ini”
            “Abang kena pukul ke?”
            “Tak, abang kena tarbiah dengan bapa”
            “Takpe ke sayang urut ni, tak sakit?”
            “Abang ok, sayang teruskanlah”
Ahmad Ilman berasa lega setelah badannya diurut oleh isterinya lantas dia mahu mengurut badan isterinya pula sebagai tanda penghargaan.
“Sayang, nak abang urutkan sekali?” kata suaminya yang berasa segar setelah diurut.
“Tak apalah abang” tolak Nura Afyna lembut. Pipinya sudah kemerah-merahan menahan malu.
“Abang pun nak rasa juga bagaimana urut sayang” kata Ahmad Ilman sambil memegang bahu isterinya.
“Tapi abang jangan lebih-lebih pula” tanda amaran dilayangkan Nura Afyna ke suaminya.
“Yalah, yalah abang janji tak lebih-lebih” balas Ahmad Ilman lalu meminta isterinya untuk meniarap. Nura Afyna mula meniarap. Satu bantal diletakkan di bawah bahagian dadanya untuk keselesaannya. Bajunya tidak dibukanya kerana rasa malu namun baju dalamnya dibiarkan tidak bersangkut besinya. Ahmad Ilman mula mengurut seperti cara yang diurutkan isterinya sebentar tadi.
Walaupun kedua-duanya tiada cara khusus untuk mengurut, namun apabila jari-jemari yang lembut menyentuh bahagian-bahagian yang lenguh pastinya akan memberikan rasa yang selesa dan tenang. Akhirnya mereka tertidur di atas katil yang empuk setelah masing-masing membaca doa sebelum tidur.
Malam yang indah bersama-sama dengan keadaan badan yang segar membuat tidur mereka bertambah lena. Lengan Ahmad Ilman menjadi bantal kedua Nura Afyna dan sebagai hadiahnya, pinggang Nura Afyna menjadi bantal peluk Ahmad Ilman. Begitulah tidur mereka pada malam itu yang saling melengkapi. Sesekali Nura Afyna terdengar dengkuran suaminya. Lena betul abang tidur, bisik hatinya. Tidur mereka lebih akrab dari sebelumnya. Kalau dulu mereka mengiring ke arah yang sama, namun kali ini Nura Afyna dan Ahmad Ilman tidur saling berpandangan bertemankan bau minyak angin di badan masing-masing.  



0 comments :

Post a Comment