Bab 15
BAB 15
“Sayang, bangun sayang, abang dah nak pergi kerja
ni” Ahmad Ilman mengejutkan isterinya yang masih baring di atas katil.
“Apanya abang,
baru pukul berapa?” kata isterinya yang masih mamai.
“Sayang, dah
lewat ni, abang pergi dulu ya” katanya sambil mencium dahi isterinya.
Ahmad Ilman memandu kereta menuju ke pejabatnya. Hari
ini badannya sungguh segar memandangkan semalam badannya diurut lembut oleh isterinya.
Sentuhannya menambahkan lagi kasihnya terhadap isterinya. Ke mana sahaja dia
berjalan, dia asyik tersenyum sehingga kawannya menegurnya.
“Kau ni kenapa Ilm, aku tengok kau
asyik tersenyum-senyum, ada sesuatu tak kena ke?” tanya Zulfahmi.
“Alah kau ni, senyum pun salah ke,
senyum itu kan sedekah”
“Tu aku tahulah tapi ni dah sampai
tahap serius ni, boleh call hospital
bahagia”
“Ke situ pulak kau..ish..ish” Mereka
serentak ketawa. Idea kawannya benar-benar menggelikan jiwanya.
Nura Afyna baru menyedari yang dia terlewat bangun. Lantas,
dia segera bangun dan mengemas kamar tidurnya bersama suaminya. Hatinya tenang
ketika berada di sisi suaminya. Suaminya seorang yang memahami akan dirinya. Setelah
itu, dia membersihkan ruang tamu dan dapur. Kejadian tempoh hari masih berlegar
dalam mindanya. Boleh pula aku jatuh waktu tu, terkena pula abang, punyalah
rasa bersalah waktu tu, desis hatinya. Sebagai seorang perempuan pastinya dia
suka kepada keindahan. Jadi dia pun merancang untuk menghiasi langsir, kerusi
dan dinding rumahnya. Matanya seperti ada yang tidak kena disaat dia melihat
semua barang dan perabot itu. Timbul pula rasa hendak membeli perabot dan
hiasan yang baru. Dia berkira-kira hendak mencari duit untuk membeli
barang-barang itu. Mana aku nak minta duit ni, getus hatinya. Kalau dahulu,
bolehlah dia meminta apa-apa kehendaknya kepada emaknya. Emaknya pasti memenuhi
kehendaknya. Tapi sekarang aku bersama abang, malulah nak minta-minta dekat
dia, getus hatinya. Walau bagaimanapun, dia tetap tidak suka perabot yang
berada di hadapannya. Satu-persatu senarai barang ditulisnya di atas sehelai
kertas berwarna putih untuk dibeli. Mungkin nampak susah untuk dipenuhi, tetapi
kalau bersatu dan bersama-sama suaminya mengumpul duit pasti akan tertunai juga
hajatnya. Itu yang difikirkannya ketika menambah senarai-senarai yang mahu
dibelinya.
Senarai
barang yang nak dibeli
1.
Sarung bantal corak bunga
2.Bunga
hiasan letak atas meja
3.
tempat sangkut kunci
4.
alas meja
5.
alas kaki
…
Nura
Afyna bermundar mandir di ruang tamu menanti suaminya. Bila dia nak balik ni?
Patut ke aku minta dekat dia?, tanya hatinya. Sementara menunggu suaminya, dia
membancuh air sirap kemudian diletakkannya beberapa ketul ais batu ke dalam mug
untuk suaminya dan dirinya.
Pon..pon..
Bunyi
hon kereta kedengaran dari luar. Dia segera memakai tudungnya dan berlari ke arah
pintu untuk membuka geriji besi lalu menyambut suaminya di pintu kereta setelah
suaminya sudah memarkir kereta.
“Assalamualaikum
abang” sapa Nura Afyna sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan
suaminya.
“Wa’alaikumussalam
sayang. Seronoknya sayang sambut abang. Hati abang gembira sangat” balas Ahmad
Ilman. Dia tidak tahu lagi masalah yang bakal menimpanya apabila melangkah
masuk ke dalam rumah. Kalaulah
dia tahu, pastilah dia akan menarik balik kata-katanya tadi. Nura Afyna hanya
tersenyum lalu memimpin suaminya hingga ke dalam rumah. Dia menghulurkan ais
sirap setelah suaminya sudah duduk di atas sofa. Satu teguk sahaja, Ahmad Ilman
sudah menghabiskan airnya. Ketika itulah, Nura Afyna menyatakan hasratnya.
“Abang, Fyna rasa kita patut tukar
barang-barang ni semua” katanya sambil tangannya menunjukkan semua perabot di
hadapannya serta kertas putih tadi.
“Apa! Banyaknya barang, buat apa
semua ini, benda-benda tu semua masih elok dan boleh dipakai, janganlah
membazir sayang” jelas suaminya.
“Tu Fyna tahu, tapi kita boleh
kumpul duit sama-samakan untuk beli barang-barang tu, bolehlah abang” katanya
lalu mengelip-ngelip matanya dan tangannya mengurut-urut lengan suaminya.
Ahmad Ilman berfikir panjang sebelum bersetuju dengan
cadangan isterinya. Kumpul duit atau simpan duit?, tanya hatinya. Itu semua dia
pernah fikirkan tetapi belum berbincang dengan isterinya mengenai hal ehwal kewangan.
Orang kata kalau kewangan tidak stabil, rumah tangga mungkin akan goyah. Dia rasa
dia perlu membuat perancangan awal dalam menguruskan hal kewangan keluarganya.
“Kalau macam tu, boleh, nanti kita
bincang lagi, abang letih lah sayang”
“Yes! Terima kasih abang” balas Nura
Afyna lantas mencium pipi suaminya.
Malam
pun menjelma. Mereka berkumpul di meja bulat berwarna kelabu seperti pekerja
yang menghadiri mesyuarat di pejabat. Mesyuarat ini lebih gempak daripada mesyuarat
di pejabat. Semua ini demi masa hadapan kehidupan mereka bersama. Seperti biasa,
buku-buku audit tersedia di atas meja dan buku ‘Diari Kami’ turut ada. Namun, buku
akaun masing-masing tersimpan rapi oleh pemiliknya. Ahmad Ilman mungkin sudah
bersedia untuk menunjukkan harta-hartanya di bank kepada isterinya. Nura Afyna
pula hanya perlu menunggu arahan daripada Ahmad Ilman untuk menunjukkan
hartanya. Dia baru mendapat ganjaran daripada emaknya sebanyak dua ribu dan
semestinya berasa bangga dengan jumlah baru di akaun banknya.
“Tunjuk
buku akaun, berapa banyak ada dalam bank tu” kata suaminya.
“Mana boleh, duit isteri tetap milik isteri” balas
Nura Afyna.
“Oh,
siapa kata?” kata Ahmad Ilman dengan raut wajah tidak puas hati.
“Ustazah
dekat sekolah”
“Baiklah sayangku ustazah Fyna”
“Betul tu”
“Kalau
duit suami, jadi milik isteri tak?” duga Ahmad Ilman.
“Jadi,
sebab tugas suami kena bagi nafkah zahir dan batin”
“Tak
nak tunjuklah, nanti sayang habiskan”
“Berahsia
pula abang ni, bagi tahulah, sayang ada hak tahu dekat duit tu”
Ahmad Ilman menunjukkan buku akaunnya. Terbeliak
mata Nura Afyna dibuatnya. Kaya juga suami aku ni, terdetik di hatinya. Kalau
dicampur dengan tanah wasiat arwah emak mentuanya boleh mencecah puluhan ribu.
Tetapi suaminya pandai menyimpan duitnya dengan jalan yang halal iaitu
berkahwin dengannya daripada berseronok dengan perempuan-perempuan ajnabi yang
asing bagi suaminya untuk bersentuhan.
Mereka memulakan mesyuarat yang dikatakan oleh Ahmad Ilman
sangat gempak. Selepas ditutup semua tingkap yang ada, mereka memulakan
perbincangan. Mereka membuat perancangan masa hadapan dengan membuat senarai
yang perlu dikecapi dalam masa sepuluh tahun dari sekarang. Perkara-perkara
yang dicatat di dalam buku termasuklah membeli perabot baru, simpanan
pembelajaran Nura Afyna, simpanan pembelajaran Ahmad Ilman untuk menyambung
ijazah sarjana muda, dan simpanan untuk kediaman baru. Soal anak turut
dibincangkan, muka Nura Afyna merah padam juga saat membincangkan soal itu. Suaminya
nak empat orang anak manakala dia pula cukuplah dua dulu. Dia sendiri belum bersedia menjadi seorang ibu. Sikap
keanak-anakan masih melekat dalam dirinya. Ahmad Ilman sebenarnya tidak kisah
tapi itu cuma target. Orang kata
rancang awal-awal lagi bagus daripada tergesa-gesa mendapatkan anak. Tetapi
mereka masih bergantung pada rezeki masing-masing, kalau ada rezeki adalah
nanti.
Soal
pembelajaran anak turut dibincangkan. Masa depan anak-anak terletak pada usaha
ibu bapa yang menjaga dan membesarkan mereka. Entah bagaimana mereka boleh begitu arif mengenai
hal-hal ini pun tidak tahulah. Mungkin pernah mewawancara ibu bapa
masing-masing mengenai soal kewangan. Tiba-tiba timbul pula
soal bil utiliti seperti bil air dan bil elektrik. Mereka hampir terlupa soal
itu. Setelah melihat kipas yang berputar-putar di atas siling, barulah Ahmad Ilman
teringat dia belum lagi membayar bil-bil tersebut.
“Esok
baru abang nak bayar, nasib baiklah teringat, kalau tak dah lama kita duduk
dalam gelap” katanya.
“Apa
abang ni, boleh lupa pula, tak pe lepas ni setiap kali bil-bil tu sampai, kita
bayar sama-sama, guna internet kan boleh” kata isterinya sambil tersenyum diakhir
bicara.
Jam
telah lewat malam. Semua buku dan fail disimpan rapi di dalam almari buku.
Mereka berjanji akan bekerjasama sebagai rakan kongsi yang amanah lagi
bertanggungjawab. Seronok pula Nura Afyna dibuatnya. Pakai perjanjian pula. Itu
semua idea suaminya, dia hanya mengangguk dengan segala idea yang terluah. Baik
untuk diri suaminya maka baik jugalah pada dirinya. Dia kan baru lepas SPM,
pengalaman pun sedikit dibandingkan suaminya yang sudah tiga tahun bekerja.
Dia
memasuki bilik air manakala suaminya masih mengemas meja bulat. Setelah dia
keluar, dilihatnya kepala suaminya sudah terlentok di atas sofa. Dia
mengejutkan suaminya tetapi suaminya sudah tidur mati. Tiada apa-apa response. Takkan nak tinggalkan begitu
saja. Emaknya selalu berpesan kepadanya di mana jua suami berada, isteri
perlulah sentiasa ada di sisi suaminya. Jadi dia mengambil selimut dan bantal
untuk tidur di atas sofa bersama-sama suaminya. Badan suaminya diselimutkan
olehnya, begitu juga dengan dirinya. Memandangkan matanya terlalu layu, jadi
mudah sahaja dia terbuai dengan mimpi-mimpi indah. Mereka pun terlena di atas sofa.
Setelah
mendengar laungan azan, mata Ahmad Ilman terbuka. Dilihatnya isterinya berada
di sebelahnya. Sejuk hatinya melihat isterinya yang sedang lena tidur.
“Sayang, sayang, mari masuk bilik,
kita solat subuh dulu” dia mengejutkan isterinya dari tidur dengan menggoncang
perlahan bahu isterinya.
Isterinya tersedar daripada tidur. Dia memimpin isterinya
memasuki bilik memandangkan isterinya masih tidak sepenuhnya sedar. Masuk
sahaja di dalam bilik, isterinya terus merebahkan diri di atas katil. Dia
memasuki kamar mandi untuk mandi sebelum dia bertolak untuk pergi ke pejabat. Selesai
mandi, isterinya pula memasuki kamar mandi. Walaupun kamar mandi ada dua,
tetapi hanya satu kamar mandi yang ada semua barang kebersihan mereka berdua. Kamar
mandi di sebelah dapur hanya digunakan waktu kecemasan. Kadang-kadang mereka
berebut juga nak masuk kamar mandi di bilik utama. Ketika Nura Afyna keluar
dari kamar mandi, dia melihat suaminya sedang menunggu dirinya di atas sejadah
menghadap arah kiblat. Cepat-cepat dia bersiap untuk menunaikan solat subuh. Mereka
solat subuh berjemaah.
Syamira
sudah mula bersekolah apabila tangan kirinya sudah sembuh sepenuhnnya. Banyak
sesi pembelajaran yang telah ditinggalnya. Namun, dia tidak pernah berputus asa
mahupun menyalahkan sesiapa atas kemalangan yang menimpa dirinya. Semua yang terjadi
pasti ada hikmahNya. Suasana di rumah setiap petang ketika dia pulang dari
sekolah tidak seperti dulu lagi. Sunyi rasanya bila Nura Afyna sudah tidak ada di
rumah. Sepatutnya cuti selepas SPM bakal menjadi masa yang terbaik untuk
bersama kakaknya. Namun, dia tahu kakaknya lebih bahagia berada di sisi abang
iparnya. Sesekali dia menelefon kakaknya melalui telefon rumahnya.
“Kak
Fi macam mana? Sihat ke?” tanya Syamira.
“Mira! Dah lama tak dengar suara
Mira. Maaf ya Mira, kak Fi tengah sesuaikan diri dekat sini sampai terlupa nak telefon
Mira, takut Mira ada kelas tambahan lepas kelas” jawab Nura Afyna dengan
bersemangat.
“Mira okay
je Kak Fi. Kak Fi apa cerita? Dah ada isi ke?” duga Syamira.
“Kak
Fi dengan abang ipar kamu tu sihat je. Alhamdulillah. Ish Mira ni, kenapa tanya
pasal tu, nyeri Kak Fi dengar tahu. Lagipun muda lagilah Mira” balas Nura Afyna
agak keliru. Jawapan terbaik ke kalau ada orang tanya pasal mengandung ni?, bisik
hati Nura Afyna.
“Mira
ingat semua orang kahwin sebab nak dapat anak” balas Syamira tanpa banyak
fikir.
“Aduh
Mira, Kak Fi baru 18 tahun, takkanlah nak ada anak seawal tu. Dahlah
malas nak bahas pasal anak ni. Kak Fi ada cerita baru ni. Nak dengar tak?” Nura
Afyna cuba menukar topik perbualan mereka.
“Cerita baru? Macam best je.
Ceritalah, Mira sudi mendengarnya” jawab Syamira sambil duduk di kerusi yang
berada disebelahnya.
“Haritu kan Kak Fi main lari-lari dengan abang, sebab
Kak Fi buat dia geram. Tapi last sekali dia yang kena. Kesian juga kak Fi
tengok” celoteh Nura Afyna.
“Abang
Ilman lari-lari. Macam tak percaya je?” ketawa Syamira meletus. Tidak percaya
agaknya abang ipar dia tu boleh bermain-main dengan kakaknya yang ceria.
“Betul Mira. Kita dahlah lama tak
main macam tu. Kalau dulu
kita selalu lari-lari dalam rumah. Memang tak sia-sialah abang jadi suami Kak
Fi”
“Kak
Fi, Kak Fi. Mira tahu mesti Abang Ilman baik. Moga perkahwinan
Kak Fi dengan Abang Ilman bahagia hingga ke syurga. Aamin” kata-kata Syamira sebelum dia meletakkan
telefon. Azan asar sudah berkumandang. Dia lantas menuju ke dapur untuk makan
tengah hari yang terlepas tadi kerana tertidur.
Nura
Afyna tersenyum-senyum melihat dirinya di hadapan cermin. Ni aku ke? Dulu aku
tak macam ni, sejak bila aku ni terlalu terbuka, lebih-lebih lagi dengan abang,
desis hatinya. Mukanya dibelek-belek di cermin, risau jika ada jerawat di
dahinya. Kebiasaannya, jerawat di dahi menunjukkan seseorang itu sedang dilamun
cinta. Dia memuncungkan bibirnya sambil mengecilkan matanya sedikit. Wah, comel
lah, boleh tunjuk dekat abang ni, mindanya berawang-awangan. Di saat dia sedang
bermain-main dengan mukanya, suaminya kelihatan dari cermin sedang
menghampirinya. Dia menjadi kelam kabut lalu mengambil sikat untuk mengelakkan
suaminya melihat perangai peliknya tadi.
“Sayang,
buat apa tu, muncung-muncung mulut tadi?” sakat Ahmad Ilman.
“Eh, mana ada muncung mulut, abang
berangan ya” Nura Afyna menidakkan kata-kata suaminya yang sudah pasti benar.
“Banyaklah menipu” suara Ahmad Ilman
menjadi serius. Nura Afyna pelik dengan suaminya. Bad mood ke dia ni?, fikir mindanya.
“Abang, kenapa ni? Gurau pun salah
ke?” balas Nura Afyna lalu mengadap badannya ke arah suaminya yang sudah ada
dibelakangnya.
“Dah pukul berapa ni? Dah solat asar belum?” tegas
kata suaminya.
“Emm,
pukul enam. Ya, ya Fyna pergi solat sekarang” kata Nura Afyna setelah melihat
jam di dinding. Aku tahulah nak solat, nak tengok cermin sekejap pun salah,
getusnya. Dia berlalu pergi meninggalkan suaminya di dalam bilik.
Usai
solat dan membaca doa serta zikir, dia mencari al-Quran di tempat biasa dia
letakkan tetapi tidak dijumpainya. Mana quran aku ni?, tanyanya yang masih
bertelekung. Dia mencari di ruang tamu namun tidak dijumpainya juga.
“Abang,
abang ada nampak al-Quran sayang?” tanya Nura Afyna sambil duduk di sebelah
suaminya di atas sofa.
“Al-Quran
sayang bukan ke ada dalam bilik belakang? Bila last sayang baca quran ni? Sampai
al-Quran pun hilang.” berjela-jela pertanyaan suaminya. Nura Afyna hanya tertunduk,
dia tahu suaminya sedang memerli dia.
“Dah dua minggu abang” kata Nura Afyna dengan sedih. Suaminya lantas
berlalu meninggalkannya untuk mengambil al-Quran. Ahmad Ilman mengambil wuduk
sebelum memegang kitab suci al-Quran.
“MasyaAllah
sayang, kita kena baca al-Quran selalu sebab al-Quran nilah yang akan menolong
kita waktu dalam kubur nanti, menjadi syafaat di padang mahsyar dan banyak
lagi” terang Ahmad Ilman di sebelah isterinya sambil tangannya sudah memegang
al-Quran.
“Maafkan
Fyna, abang” balas Nura Afyna lembut.
“Yang penting sayang tergerak hati
juga nak baca al-Quran hari ni. Itu maknanya masih ada cahaya dalam hati
sayang. Mari kita baca bersama-sama” pujuk Ahmad Ilman.
Mereka membaca surah al-Waqiah
bersama-sama dengan terjemahannya sekali. Surah yang menceritakan tentang tiga
kelompok di akhirat kelak benar-benar membuat Nura Afyna dan Ahmad Ilman
bermuhasabah diri selepas membacanya. Mereka sedar perkahwinan yang mereka bina
bukanlah berpaksikan nafsu semata-mata tetapi kerana Allah.
oleh: Anggerik Mekar

0 comments :
Post a Comment