Bab 16

Bab 16


BAB 16

Kenapa aku yang dia pilih?, bisik hati Nura Afyna. Tiba-tiba dia terfikir sejenak ketika menunggu kepulangan suaminya dari tempat kerja. Dia tidak pasti keadaan sebenar. Pejam celik- pejam celik sudah dua bulan dia menjadi isteri kepada Ahmad Ilman. Sungguh pantas waktu berlalu. Keputusan SPM dan kemasukan ke IPTA sudah diketahuinya. Dia tidak pernah menyalahkan takdir dirinya tercipta untuk Ahmad Ilman. Suaminya tidak pernah memberitahu hal sebenar kepada dirinya sebab musabab suaminya menikahi dia. Memang suaminya cinta akan dirinya tetapi bukti itu tidak cukup kukuh. Mungkin itulah yang dinamakan jodoh yang ditentukan oleh Allah dengan sebaik-baiknya, jawab hatinya.
Pon… Pon…
Bunyi hon kereta kedengaran. Suami aku ni tak sah kalau tak hon kereta, mesti jiran-jiran aku dah malas nak layan, gumam hatinya. Suaminya mengetuk pintu rumah sambil mulutnya menyebut ucapan salam. Dia berlari ke arah pintu rumah lantas dibukanya. Dengan gembiranya, dia mengukir senyuman buat suami tercinta.
            “Abang” katanya manja. Ahmad Ilman menjadi lemah seketika sehingga bahu kanannya terjatuh sedikit.
            “Assalamualaikum sayang” kata Ahmad Ilman ketika isterinya membuka kunci jeriji besi pintu.
            “Wa’alaikumussalam abang” balas Nura Afyna lalu mencium tangan suaminya dan mengambil beg galas yang ada di bahu kanan suaminya. Mereka duduk sebentar di atas sofa sambil Ahmad Ilman membuka stokinnya.
                        “Sayang, cepat bersiap, abang nak bawa sayang pergi makan dekat luar” kata Ahmad Ilman setelah stokinnya sudah dibukanya.
                        “Makan dekat mana abang?” tanya Nura Afyna sambil tangannya mengenggam tangan suaminya.
                        “Tempat istimewa punya, nak raikan sayang sebelum sayang pergi UPM” jawab Ahmad Ilman lalu membalas genggaman tangan isterinya dan dicium tangan isterinya.
                        “Seronoknya abang, sayang siap dulu” Nura Afyna berlalu pergi untuk masuk ke dalam bilik.
Sementara menunggu waktu magribh masuk, dia menyiapkan pakaian yang akan dipakainya nanti. Dia mengambil pakaian yang paling cantik untuk dipakainya. Baju blaus kemerah-merahan dan seluar jean berwarna biru tua dicapainya dari almari baju. Ahmad Ilman pula mengambil baju kemeja T jenama Crocodile berwarna merah dan seluar jean berwarna biru tua. Dia menghulurkan baju kemeja T kepada isterinya. Isterinya menyeterikakan bajunya yang berkedut sedikit.
Ahmad Ilman bersiap awal jadi dia menunggu di luar sementara isterinya masih berhias diri. Keluar sahaja isterinya untuk mengunci pintu rumah, dia terkejut. Tidak sangka pula yang isterinya akan memakai baju yang warnanya sama dengannya.
“Sayang sengaja ya pilih baju warna merah?” tanya Ahmad Ilman bersahaja.
“Ya, ada masalah ke?” duga Nura Afyna.
“Tak ada apa-apa, cuma abang suka bila kita pakai baju warna sama, dah macam kekasih yang tengah hot bercinta”
“Kan.. dan nampak serasi” tambah Nura Afyna.
Dia memandu ke gerai makanan di tepi jalan besar. Isterinya bermasam muka, jelas riak mukanya yang tidak berpuas hati.
                        “Tempat ni yang abang kata istimewa? Sayang tak nak keluar, abang keluarlah seorang diri” kata isterinya sebaik sahaja dia memberhentikan keretanya tepat-tepat di hadapan gerai makanan.
                        “Memang istimewa. Dulu abang selalu pergi ke gerai ini bersama ibu abang, Sekarang hanya tinggal kenangan” katanya dengan nada perlahan untuk memujuk isterinya.
                        “Tapi abang…” rungut isterinya.
                        “Jomlah keluar” katanya semasa melangkah keluar dari keretanya meninggalkan isterinya yang masih degil. Dia ingat aku nak pujuk dia lebih-lebih, aku pujuk sekali kira dah cukuplah, bahas hatinya.
Nura Afyna yang pada mulanya agak kecewa dengan pemilihan tempat makan yang dipilih suaminya akhirnya mengalah. Dia terfikir kalau dia tidak keluar mungkin perutnya akan berkeroncong lebih rancak. Nak merajuk lebih-lebih pun bukan abang nak pujuk, rajuk hatinya. Jadi dia akur dengan suaminya lalu keluar dengan sedihnya.
Keadaan di meja makan mereka agak sunyi dan sememangnya gerai makan sunyi sahaja memandangkan malam masih terlalu muda. Seorang pemuda menghampiri meja makan mereka. Pemuda itu mengambil pesanan makanan.
            “Bang, bagi saya nasi goreng cina satu, dan limau ais satu” kata Ahmad Ilman ketika pemuda itu memandangnya. Namun, apabila pemuda itu memandang ke arah Nura Afyna untuk mengambil pesanan makanan, Nura Afyna hanya membisukan diri.
            “Sayang, nak makan apa?” tanya Ahmad Ilman kepada isterinya yang duduk di kerusi hadapannya. Isterinya masih bermuka masam. Sayang ni, masam-masam pun cantik, terdetik hatinya.
            “Order je lah apa-apa” rajuk Nura Afyna.
            “Okay Bang, isteri saya pun order makanan dan minuman sama macam saya” kata Ahmad Ilman sambil memandang isterinya dan pemuda di sebelahnya saling berganti.
Makanan dan minuman yang dipesan sampai di meja mereka beberapa minit kemudian. Nasi goreng cina diletakkan di hadapan Nura Afyna dan Ahmad Ilman. Minuman mereka menyusul kemudian.
                        “Emm.. sedapnya” kata Nura Afyna setelah sesuap nasi goreng cina masuk ke dalam mulutnya.
                        “Kan abang dah kata, makanan di sini sedap. Sayang suka nasi goreng cina ya? Abang pun suka, samalah selera kita” balas suaminya.
Dia hanya mengangguk-angguk kepalanya kerana terlalu berselera menikmati hidangan di hadapannya. Suaminya menyambung makan makanan yang dipesannya. Setelah beberapa minit berlalu, mereka bertolak ke Pasaraya Tesco untuk membeli barang-barang keperluan Nura Afyna semasa berada di universiti. Sampai sahaja di sana, mereka keluar dari kereta dan memasuki Pasaraya Tesco Stesen 18 melalui pintu utamanya. Semua yang pergi ke sana berpusu-pusu membeli barang masing-masing.
Ahmad Ilman menjadi penasihat di sebelah isterinya semasa memilih barang-barang keperluan sambil menolak troli besi Tesco. Bahagian pertama yang mereka lalui ialah bahagia alatan tulis. Sepaket pen yang mempunyai dua batang pen biru, satu pen hitam dan satu pen merah diambil oleh Nura Afyna lalu diletakkan di dalam troli. Kemudian, diikuti beberapa alat tulis lain yang mungkin diperlukan. Bahagian kedua ialah bahagian elektrik dan elektronik. Nura Afyna memilih seterika yang berjenama dan berkuali.
“Kita beli yang murah dulu ya sayang, lagipun yang murah ni pun berkualiti juga” kata Ahmad Ilman apabila isterinya telah meletakkan kotak produk seterika Elba ke dalam troli.
“Oh, tak boleh yang ni ya?” tanya Nura Afyna sedih.
“Bukan tak boleh, tapi sayang sendiri tahu, kewangan kita macam mana sekarang” jelas Ahmad Ilman. Aduh, kesian betul aku mendengarnya, desis hati Nura Afyna.
“Baik abang” akur Nura Afyna lalu meletakkan kembali seterika mahal dan menggantikannya dengan seterika yang jauh lebih murah.
Mereka kemudian menuju ke bahagian peralatan rumah. Penyangkut baju, baldi besar, baldi kecil, gayong, bakul kecil dan berus diambil oleh Nura Afyna lalu diletakkan ke dalam troli besi setelah meminta persetujuan daripada suaminya. Ahmad Ilman hanya bersetuju. Bahagian-bahagian lain seperti bahagian serat, alatan kebersihan, roti, biskut, dan kelengkapan tidur menyusul selepas itu.
 Ahmad Ilman agak kekok apabila isterinya membawanya ke bahagian pakaian wanita. Macam-macam ada. Dari bahagian pakaian dalam sehinggalah ke bahagian pakaian luar wanita. Dia beralih ke tempat lain sementara isterinya memilih baju-baju yang ingin dibelinya. Setelah itu, mereka bertemu kembali di tempat makanan-makanan basah dijual. Dia ingin isterinya masak makanan kesukaannya dengan membeli ayam segar di bahagian itu. Nura Afyna menuruti kata-kata suaminya. Baginya, kalau mahu masak ayam, tidak menjadi masalah, dia masih boleh mencari menu-menu masakan dari talian internet.
Setelah membayar semua barang keperluan dan sedikit barang dapur, mereka bertolak pulang ke rumah. Sebanyak tujuh ratus ringgit telah habis digunakan. Ahmad Ilman hanya mendiamkan diri ketika memandu kereta ke rumah.
                        “Kenapa abang diam ni?” isterinya mencelah dalam kesunyian yang melanda.
                        “Tak ada apa-apa la, cuma letih je” jawabnya malas.
                        “Ya ke atau sebab abang keluar banyak duit?” duga Nura Afyna.
                        “Kalau dah tahu, diam boleh tak” bentaknya.
                        “Apa marah-marah ni abang, dulu abang juga yang sanggup kahwini sayang dalam usia yang muda” kata isterinya.
Dia terdiam. Dia terlalu ikut perasaan. Inilah perbelanjaan pertamanya bersama isterinya yang memerlukan dia mengeluarkan duit yang begitu banyak. Mereka tiba di rumah semasa awan-awan di langit menutupi bintang-bintang yang bekerlipan. Dia memasukkan barang-barang ke dalam rumah dan terus berbaring di atas katil. Nura Afyna yang melihatnya berasa begitu bersalah. Dia cuba mendekati suaminya lalu memujuk suaminya. Namun, suaminya tidak mengendahkannya langsung. Aduh, abang ni buat-buat tidur pula, desis hatinya.
                        “Merajuk pula suami aku ni” katanya.
Dia juga letih lalu merebahkan badannya di atas katil dan tidur di sebelah suaminya. Ketika matanya mula dipejamnya, suaminya bangun dari terus berbaring lantas menutup lampu meja di sebelah katil. Keadaan menjadi gelap gelita. Ahmad Ilman duduk di sebelah badan isterinya. Isterinya tersedar lantas bangun untuk duduk di sebelahnya. Nura Afyna ingin membuka mulut namun mulutnya terus diterkup tangan suaminya. Lama juga Ahmad Ilman memandang mata Nura Afyna. Keadaan yang gelap menyebabkan hanya mata mereka yang bercahaya dan mampu dilihat. Nura Afyna berasa hairan. Kenapa dengan suami aku ni?, tanya hatinya. Badan Nura Afyna dirapatkan ke sisi Ahmad Ilman. Lengan suaminya memeluk tengkuknya lalu terasa seperti air mata berguguran di bahunya. Dia menggosok-gosok belakang badan suaminya.
            “Abang…, Fyna yang salah, maafkan Fyna” katanya setelah suaminya meleraikan pelukannya.
            “Terima kasih belikan barang-barang tadi untuk Fyna, Fyna hargai pengorbanan abang” sambungnya.
Hati Ahmad Ilman menjadi tenang mendengar kata penghargaan daripada isterinya. Kata-kata kesat yang keluar semasa dalam perjalanan ke rumah bukanlah sebab ingin menyakiti hati sesama sendiri. Namun, pertengkaran itu berlaku kerana ego dan sikap tidak mahu mengalah. ‘Merajuk seorang suami paling lama hanya dua jam dan paling singkat hanya dua minit’. Terlintas pula di minda Nura Afyna akan kata-kata Dato’ Dr Haji Fadzilah Kamsah dalam rancangan Selami Jiwa.
            Kesihatan Syamira sudah sembuh sepenuhnya. Memori semenjak kecil sehinggalah pertemuannya dengan abang iparnya di kedai makan masih dalam ingatannya. Tiada apa-apa yang hilang. Dia bersyukur di saat-saat genting sebelum dia mengambil peperiksaan besar, Allah masih memberi peluang untuknya belajar dengan lancar. Malah, mutu pembelajarannya semakin hari semakin meningkat. Dia juga sudah ada guru tuisyen yang sangat memahaminya. Apalagi kalau bukan Zafrin yang menjadi guru tuisyennya. Zafrin sendiri memang berkelulusan pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Lebih-lebih lagi bagi membalas jasa Syamira yang memaafkannya atas kesalahan yang telah dilakukannya. Zafrin mengajarnya pada waktu malam selepas solat magribh. Encik Fadhli juga menyenangi kehadiran Zafrin dalam keluarganya. Namun, Zafrin masih takut untuk memandu kereta selepas kejadian itu. Dia hanya mampu menunggang motosikal untuk ke rumah Encik Fadhli. Kelas tuisyen diadakan di rumah Encik Fadhli memandangkan hanya Syamira yang menjadi muridnya.
                        “Cikgu, saya ada soalan tapi jangan marah ya” tanya Syamira ketika sesi rehat.
                        “Soalan apa yang akan buat saya marah ni?” duga Zafrin.
                        “Macam ni cikgu, saya peliklah dengan peribahasa ‘cubit peha kiri, peha kanan terasa juga’, kenapa kita tak tukar aje menjadi ‘habuk masuk mata kanan, mata kiri terasa juga’. Saya rasa itu baru realiti, saya sendiri dah buat experiment” jelas Syamira.
                        “Betul juga tu, tapi nak buat macam mana kan, dah macam tu, terima ajelah”
                        “Cikgu sendiri kata, kita tak boleh membenarkan apa-apa perkara yang sah-sah sudah salah”
                        “Hmm.. Mira ni, benda ni yang kamu runsingkan pula, experiment kimia tak nak tanya pula?”
                        “Saya saja tanya, cikgu ni serius sangatlah, apa salahnya kan cikgu..” sedikit ketawa meletus dari mulut Syamira.
            Zafrin berkelulusan major Kimia, namun apabila Syamira ingin bertanya mengenai pelajaran lain, dia tidak menolak mentah-mentah. Sedaya upaya dia akan cuba menerangkan masalah yang dihadapi muridnya terhadap sesuatu pelajaran. Walaupun jarak usia Syamira dan Zafrin tidaklah terlalu jauh namun Syamira tetap memanggil Zafrin dengan panggilan cikgu kerana panggilan itu membuat dia lebih bersemangat untuk belajar. Dia sendiri melihat reaksi Zafrin yang teramat gembira ketika dia memanggil dengan pangilan begitu.           
            Sememangnya Syamira ialah murid Zafrin yang pertama. Hari-hari Syamira berlalu dengan begitu gembira. Walaupun kakaknya sudah tidak sentiasa ada di sisinya, Zafrin masih ada menemaninya. Selain menjadi cikgu, Zafrin turut menjadi kawan Syamira ketika masa lapang. Banyak masa Syamira dihabiskan di sekolah, namun dia tidak pernah merungut sekiranya kerja sekolahnya banyak. Zafrin memang banyak membantunya. Semua ini kerana Syamira tidak terlalu malu untuk bertanya Zafrin berbanding dengan cikgu-cikgu yang mengajarnya di sekolah.
                        “Cikgu, esok sekolah Mira ada hari kokurikulum, cikgu datang ya!” jemput Syamira dengan riak yang begitu ceria.
                        “Esok? Emm, tak dapatlah Mira, cikgu ada urusan lain yang perlu dilakukan” balas Zafrin dengan sedikit getar.
                        “Takkan sekejap pun tak boleh, cikgu kena rasa masakan saya nanti, mesti sedap punya” kata Syamira yang sudah tidak ceria seperti permulaan perbualan antara mereka.
                        “Cikgu cuba datang, tapi cikgu tak janji ya” pujuk Zafrin.
                        “Mira harap sangat cikgu datang..” kata Syamira seakan merajuk.
                        “Ish, Mira ni, saya mesti datanglah, Mira kan murid saya”
            Luarannya memang Syamira berlagak seperti seorang anak murid. Namun di hati, dia menyimpan rasa suka terhadap Zafrin. Namun dia cuba menepis rasa sukanya kerana baginya seorang murid memang suka akan gurunya apabila guru itu baik dan pandai. Dia hanya melemparkan senyuman kepada Zafrin menandakan faham akan kata cikgunya. 



0 comments :

Post a Comment