Bab 17
BAB 17
Sepatutnya seperti yang dijanjikan, Ahmad Ilman hendak
membawa Nura Afyna bercuti ke Tanah Tinggi Cameron pada keesokan harinya. Namun
dia perlu membatalkan perancangan yang telah dipersetujui bersama. Masalah yang
dihadapi Ahmad Ilman adalah dia ditugaskan untuk menghadiri kursus di luar daerah.
Semuanya dilakukannya demi kerjayanya sebagai pembantu teknik yang bekerja di
bawah kelolaan seorang jurutera.
Dia pulang ke rumah seperti biasa dengan menekan hon
kereta dihadapan rumah. Tiada langsung yang berbeza dari hari-hari sebelumnya.
Nura Afyna membuka jeriji besi untuk menjemput suaminya untuk masuk ke dalam
rumah. Dia terkejut apabila melihat wajah suaminya tidak seceria selalu ketika
suaminya keluar dari kereta. Aku ada buat salah dekat dia lagi ke?, bisik
hatinya. Nura Afyna yang menyimpan hasrat untuk menyambut
suaminya dengan senyuman terbantut. Nak senyum pun aku dah tak boleh kalau
abang sedih, sedih dia sedih aku juga, desis hatinya.
“Abang baik-baik sahaja kan?” kata
Nura Afyna menyambut suaminya di hadapan rumah.
“Sayang…., abang ada benda nak
cakap” balas Ahmad Ilman kepada isterinya dengan lemah.
“Kenapa ni abang? Abang ada masalah
ke. Tak apa, kita masuk rumah dulu” kata Nura Afyna lembut lalu memimpin
suaminya untuk masuk ke dalam rumah. Mereka duduk di atas sofa serentak.
“Abang…” Ahmad Ilman mula bersuara.
“Minum air ni dulu, hilangkan dahaga
abang” Nura Afyna menghulur segelas ais sirap untuk suaminya. Seteguk sahaja
yang suaminya minum.
“Abang
tak dapat tunaikan janji abang, sayang. Minggu ni abang tak dapat bawa sayang
bercuti” Ahmad Ilman berkata setelah memandang isterinya lama untuk mengumpul
kekuatan.
“Tak dapat?” hampir menangis Nura
Afyna dibuatnya. Namun, dia cuba bertahan daripada mengalir air matanya yang
sudah bertakung dalam tubir matanya.
“Sayang, abang minta maaf, abang
bukan saja-saja nak batalkan percutian kita, tapi..abang perlu hadiri kursus di
Melaka, sayang tak apa-apa kan” jelas Ahmad Ilman sambil tangannya memegang
tangan isterinya yang lembut.
“Tak mengapa abang. Sayang okay,
abang pergilah” mimik mukanya tidak mengambarkan kata-kata yang keluar dari
mulutnya. Air matanya tidak dapat dibendungnya lagi daripada mengalir di
pipinya.
“Janganlah macam ni sayang, abang
pun tak sangka tiba-tiba bos abang pilih abang untuk ganti pekerja lain yang
tak dapat hadir” pujuk Ahmad Ilman sambil mungusap-usap tangan isterinya.
“Betul ni? Abang tak tipu?” duga
Nura Afyna dalam serak tangisnya.
“Betul sayang” balas Ahmad Ilman
ringkas.
“Abang…” Nura Afyna melentokkan
kepalanya di atas riba suaminya. Dia
cuba untuk menerima dengan berlapang hati namun sedih di hatinya sukar untuk
dirawat. Abang dah janji nak bawa sayang, tapi…, layan sedih
hatinya.
Nura
Afyna tidak dapat memahami pada awalnya, tetapi diterimanya dengan hati terbuka
setelah dipujuk suaminya beberapa kali. Ahmad Ilman bukanlah jenis yang suka
memujuk beberapa kali, tetapi entah kenapa dia tetap mahu memujuk isterinya
sehinggalah isterinya dapat menerima kenyataan. Mungkin kerana sayangku padamu
sayang, jawab hatinya. Mungkin ada
hikmahNya, pujuk hati Nura Afyna.
Di pagi hari bertemankan awan yang mendung seakan-akan memahami
perasaan kedua-dua insan yang terpaksa berjauhan untuk pertama kali dalam hidup
mereka sebagai pasangan suami isteri. Ahmad Ilman mengangkat beg pakaiannya
hingga ke pintu. Baju kemeja yang sudah diseterikakan oleh isterinya
disangkutkan di tangkai pintu.
“Jaga diri sayang baik-baik ya,
abang pergi tak lama, hanya dua hari” amanat Ahmad Ilman di hadapan pintu
sebelum bertolak ke Melaka.
“Abang pun jangan lupa
sarapan, nanti abang letih. Kalau sayang ikut tak boleh ke, sayang tak ada
temanlah nak berbual” kata Nura Afyna sejurus dia mencium tangan suaminya.
“Manjalah isteri abang
ni, lain kali abang bawa sayang ya, abang minta maaf, tak dapat bawa sayang
pergi bercuti minggu ni” kata suaminya sambil mengusap-usap kepalanya.
PON..PON…
Bunyi hon kedengaran dari luar rumah. Rakan sekerja
Ahmad Ilman telah berada di halaman rumahnya untuk ke Melaka bersama-sama
sebagai satu kumpulan.
“Baiklah sayang,
abang bertolak dulu” sambil mencium tangan isterinya dan Nura Afyna pun begitu.
Ahmad Ilman melepaskan senyuman manis ke arah
isterinya sebelum memasuki kereta Toyota Hilux. Nura Afyna melambai-lambai
tangannya. Setelah kelibat kereta hilang dari pandangannya, dia masuk ke dalam
rumah dan mengunci pintu.
Keadaan
rumah terasa sunyi tanpa Ahmad Ilman. Dia mula membersihkan rumah, tidak mampu
untuk dia hidup dalam keadaan semak. Kerja mengemas rumah sudah sebati dalam
hidupnya dan menjadi sebahagian daripada rutin hariannya semenjak berkahwin
dengan Ahmad Ilman. Dia tidak boleh bermalasan lagi, kalau dulu bolehlah dia mengelak
dan menyuruh Syamira yang buat, tetapi sekarang, dia tinggal dengan suaminya,
tidak mungkin mengharapkan suaminya untuk berbuat demikian. Apa guna dirinya
sebagai isteri Ahmad Ilman, sudah pasti tanggungjawabnya sebagai isteri untuk
membantu suaminya.
Baru beberapa jam berlalu, Nura Afyna sudah merindui
suaminya. Lantas dia mengambil telefonnya dan mendail nombor telefon Ahmad
Ilman.
Tut..tut..tut..tut..
Ahmad Ilman tidak mengangkat talian telefon. Dia
sedang memandu kereta, mana mungkin disebabkan satu panggilan dia mengabaikan
pandangannya di hadapan jalan raya yang sesak. Sudah tiga kali panggilan tidak
berjawab. Kawan sebelahnya pula malu mahu mengangkatnya kerana hubungan mereka
yang belum rapat. Apabila mahu ke tandas, dia singgah di
kawasan rehat dan rawat (R&R) Sg. Perak. Setelah meletakkan kereta di tempat letak kereta yang
disediakan, dia terus melihat telefonnya. Panggilan daripada ‘Sayangku’ rupanya,
getus hatinya. Dia terus menekan gambar isterinya di skrin telefon untuk
menelefon kembali isterinya.
“Asssalamualaikum
sayang, kenapa call abang?” kata
Ahmad Ilman apabila talian diangkat isterinya.
“Wa’alaikumussalam
abang, kenapa tak angkat telefon?” tanya isterinya.
“Abang tengah memandu kereta tadi, tapi kenapa
sayang call, ada emergency ke?” balasnya.
“Tak ada apalah abang, cuma rindu dekat abang” suara
isterinya mula menjadi manja.
“Oh..Abang pun rindu dekat sayang tahu, jaga diri
baik-baik bila abang di Melaka, bila-bila masa sayang telefon je abang untuk
lepaskan rindu ke, nak sembang-sembang ke, tapi bila abang tak angkat, abang
sibuklah tu. Okay sayang”
“Okay..
abang, abang pun pandu kereta baik-baik ya, ingat sayang yang ada dekat rumah
ni, nanti bila dah sampai Melaka, telefon sayang ya”
“Baik, sayang jangan risau, in shaa Allah selamat
sampai. I love you sayang”
“I love you
abang” kata Nura Afyna lantas talian telefon ditutupnya.
Ahmad Ilman dan kawannya meneruskan perjalanan mereka
untuk ke Melaka. Setelah beberapa jam berada di jalan raya, mereka sampai ke
destinasi yang ditujui. Mereka check in
di hotel dan menghadiri mesyuarat jam tiga petang di bilik mesyuarat Melur di
tingkat satu yang disediakan.
Nura Afyna keletihan mengemas rumah semenjak
keberangkatan suaminya sehingga dia terlupa menutup pintu rumah yang dibukanya
ketika menyapu lantai di halaman rumah. Bunyi kipas di siling menyenangkan
fikirannya ketika berehat di ruang tamu. Dia yang sudah mengantuk mudah sahaja
terlena di atas sofa. Ahmad Ilman menelefon Nura Afyna ketika ada seseorang
yang mahu berbuat jahat terhadapnya. Nada deringnya yang seakan siren polis
telah mengejutkan orang jahat itu. Terkapai-kapai orang jahat yang sudah
menghampiri rumahnya melarikan diri kerana takut tertangkap dengan polis. Sememangnya
Ahmad Ilman menyuruh Nura Afyna menukar nada deringnya semalam selama
ketiadaannya di rumah. Nura Afyna tersedar dari tidur lenanya. Panggilan
pertama suaminya tidak sempat diangkatnya. Dia ke luar rumah lalu mengunci
pintu pagar. Di pagar, dia terjumpa cermin mata hitam. Hatinya tidak senang
lantas memasuki rumah lalu menutup dan mengunci semua pintu serta tingkap di
rumahnya. Panggilan kedua daripada suaminya segera dia terima.
“Assalamualaikum
sayang” suara suaminya kedengaran dari speaker telefon.
“ABANG,
SAYANG TAKUT!” jawab Nura Afyna sebaik sahaja mendengar suara suaminya.
“Kenapa
ni? Apa dah jadi? Ada hantu ke sayang” seloroh Ahmad
Ilman.
“Sayang tengah takut dia
main-main pula. Bukan hantulah abang tapi orang, nyaris orang tu masuk rumah
kita”
“Ya Allah, Sayang okey
ke?” nada suara Ahmad Ilman kembali serius.
“Alhamdulillah Sayang
tak apa-apa, tapi Sayang ada terjumpa cermin mata hitam di halaman rumah” jelas
Nura Afyna.
“Cermin mata hitam? Sayang
kunci semua pintu dan panggil sepupu Sayang yang namanya..”
“Teha” pantas Nura Afyna
menjawab.
“Ya Teha, tolong dia temankan
sayang ya, esok abang baliklah, jaga diri baik-baik, kalau ada apa-apa telefon
abang, okay”
“Okay. Terima kasih abang. Tenang sikit hati sayang” kata Nura Afyna
sambil mengurut-urut dadanya.
“Sama-sama, banyakkan
berzikir kepada Allah, in shaa Allah tak ada yang yang buruk berlaku”
Sesungguhnya
cermin mata hitam mengingatkan Ahmad Ilman kepada Sarah. Adakah Sarah
menghantar orang suruhannya untuk memberi amaran kepada Nura Afyna?, Atau mahu
membunuh isterinya kerana telah mengkhianati janji-janji mereka masa dahulu?,
Ish, aku ni, think positive Ilman,
desis hati Ahmad Ilman.
Nura
Afyna menelefon Fatehah seperti yang disuruh Ahmad Ilman. Namun Nura Afyna
bukan sahaja menyuruh Fatehah tidur di rumahnya, malah menyuruh adik lelaki
Fatehah sekali bagi menemani mereka. Ada orang lelaki di rumah, tenang sikit
hatinya. Boleh tengok-tengokkan rumah waktu malam. Lagipun aura seorang lelaki
lagi kuat daripada perempuan. Tak apa ke aku panggil adik Teha sekali, bukan
tak boleh ke bawa masuk lelaki lain tanpa izin abang?, gumam hatinya. Dia memberitahu
suaminya melalui kiriman sms, dan suaminya mengizinkannya. Alhamdulillah abang
izinkan, syukurnya.
Malam menjelma tatkala bulan muncul di langit. Fatehah
serta adiknya telah berada di rumah Nura Afyna. Nura Afyna sempat memasak
makanan untuk mereka.
“Tak
sangka aku, kau lepas dah kahwin ni pandai pula memasak. Dulu asalkan aku tidur
rumah kau, asyik-asyik maggi yang kau hidangkan” Fatehah memulakan bicara
apabila sesuap nasi goreng cina dimasukkan ke dalam mulutnya.
“Tu
dulu, sekarang aku dah pandai masak, abang yang ajar” kata Nura Afyna sambil
tersengih-sengih.
“Abang?
Sejak bila kau ada abang angkat ni?” dahi Fatehah sudah berkerut.
“Ish,
kau ni, abang Ilman lah” jawab Nura Afyna sambil menepuk bahu Fatehah lembut.
“Romantisnya
panggil abang dekat Ilman”
“Aku
mestilah hormat dia, sekarang ni aku dah jadi isteri dia”
“Betul ke Ilman
ajar kau? Bertuahlah dapat lelaki pandai masak. Nanti bila sakit, ada orang
masakkan”
“Kau
percaya? Mana adalah. Takkan lah setiap hari nak beli lauk dekat luar, habislah
duit macam tu. Bila dah pandai masak, dapatlah jimat duit. Suami pun pasti
suka” kata Nura Afyna sehingga tersenyum-senyum Fatehah dibuatnya mendengar
ayat terakhir Nura Afyna.
“Amboi
dia, mentang-mentang dah ada suami, kata tu lah, kata inilah, jeolous aku dibuatnya”
“Biasalah…”
seloroh Nura Afyna, serentak mereka ketawa.
Nura
Afyna meletakkan beg pakaian Fatehah di biliknya. Namun, Fatehah mengelak
kerana dia risau kalau suami sepupunya marah kalau dia tidur di katil mereka.
Nura Afyna hanya mengikut kata Fatehah. Mungkin betul kata Teha, sanggup ke aku
untuk bagi Teha tidur di tempat suamiku selalu tidur?, desis hatinya. Meraka
masuk ke bilik sebelah memandangkan ada katil di bilik itu yang baru Nura Afyna
kemas di siang hari. Nura Afyna melabuhkan punggung lalu menanggalkan tudung di
kepalanya.
Jam telah menunjukkan lewat malam, namun Nura Afyna
dan Fatehah masih tidak tidur. Banyak cerita yang dikongsi mereka. Kalau boleh
sampai esok pagi mereka ingin bersembang untuk menghilangkan rasa rindu dalam
hati masing-masing. Tiba-tiba Faiz mengetuk pintu beberapa kali sehingga
perbualan mereka terganggu.
“Kenapa
adik ketuk pintu bilik Kak Fyna malam-malam ni?” kata Fatehah kepada adiknya
apabila dia keluar dari bilik.
“Sorrylah,
tapi suara Kak Teha dan Kak Fyna ni terlalu bising sampai Faiz tak dapat
lelapkan mata ni” jawab Faiz .
“Yelah-yelah,
kami nak tidurlah ni, tapi Faiz jangan lupa kunci pintu depan dan jangan tidur
mati pula, nanti ada apa-apa senang sikit terbuka mata tu” kata Fatehah.
Faiz beredar dari hadapan bilik meninggalkan kakaknya.
Faiz sebenarnya muda setahun daripada Syamira. Tetapi lelaki kebiasaannya cepat
matang. Faiz kembali ke ruang tamu untuk tidur. Nasib baik di ruang tamu ada
sofa yang empuk, kalau tidak pasti Faiz akan menolak untuk tidur di ruang tamu,
desis hati Nura Afyna sebaik sahaja Fatehah masuk ke bilik semula.
“Kenapa dengan Faiz?” tanya Nura Afyna.
“Dia tu cemburu dengan kita sebab kita boleh sembang
kuat sangat” seloroh Fatehah.
“Apa?
Kuat sangat ke suara kita ni” ketawa Nura Afyna meletus.
“Entah, telinga ular kut dia tu” jelas Fatehah.
“Ular ada telinga ke? Bukan harimau bintang ke yang
boleh dengar mangsanya dari jarak jauh” ketawa Nura Afyna terbahak-bahak. Bila
masa pula ular ada telinga, fikirnya.
“Entah aku pun main cakap je ni” balas Fatehah yang
turut tertawa.
oleh: Anggerik Mekar

0 comments :
Post a Comment