Bab 19
BAB 19
Mereka
menaiki kereta Toyota Avanza milik Encik Fadhli. Tempat duduk di belakang sekali dilipat untuk
meletakkan barang-barang Nura Afyna. Selepas solat subuh, Encik Fadhli, Puan
Mahirah dan Syamira bertolak ke rumah Ahmad Ilman untuk meletakkan barang
keperluan Nura Afyna. Perjalanan mereka mengambil masa hampir tiga jam kerana
keadaan lebuh raya tidak terlalu sesak pada waktu begini. Encik Fadhli yang
memandu kereta keluar dari lebuh raya
Tanjung Malim untuk mencari kedai makan. Mereka bersarapan di sebuah gerai yang
berdekatan dengan sebuah tadika di Tanjung Malim.
Tiba di kawasan UPM,
muka Nura Afyna menjadi ceria. Inilah
tempat baruku untuk belajar, desis hatinya. Suaminya yang berada di sebelahnya
dipandangnya. Ahmad Ilman yang perasan akan pandangan isterinya tersenyum lalu
dibisik sesuatu di telinga isterinya.
“Belajar
sungguh-sungguh ya dekat sini, jangan pula gatal-gatal” Nura Afyna yang
mendengarnya ketawa lantas dibisikkan ke telinga suaminya pula.
“Abang
pun kerja keras-keras, jangan pula asyik angau” meletus ketawa mereka.
Nura
Afyna keluar dari kereta untuk mendaftarkan diri di dalam dewan yang telah
tertulis di dalam surat kemasukan UPM. Apabila masuk ke dalam dewan, dia
berjumpa dengan ramai pelajar sedang beratur. Dia turut beratur di belakang
barisan yang tidak terlalu panjang, ada empat orang dihadapannya. Setelah
beberapa minit berada di dalam dewan serta mendapat nama kolej, dia keluar
untuk bertemu keluarganya semula.
Dia
masuk pula ke dalam pejabat kolej pula untuk mendaftarkan diri dan mendapatkan
kunci bilik. Kunci bilik bernombor 315 diambilnya dari kaunter pejabat. Tingkat
tiga? Hmm, nasib-nasib, gumam hatinya. Barang-barangnya dibawa masuk ke dalam
bilik. Bilik yang diterimanya mempunyai katil, almari baju, dan meja belajar.
Kesemuanya dua set iaitu untuk dua orang pelajar. Sewaktu keluarganya menolong
memasukkan barang-barangnya ke dalam bilik, teman biliknya masih tiada. Setelah
semua barang sudah diletakkan di dalam bilik, keluarganya turun ke bawah untuk
bertolak pulang.
“Sebelum
abang balik, abang nak pesan dekat sayang” kata Ahmad Ilman sebelum masuk ke
dalam kereta.
“Apa
dia abang” kata Nura Afyna.
“Sebagai
isteri, sayang wajib jaga maruah diri dan keluarga dan bila nak ke mana-mana
luar dari universiti ni, sayang mesti minta izin daripada abang dulu, sayang belajarlah
dengan bersungguh-sungguh, Abang akan selalu doakan sayang” pesan Ahmad Ilman
dengan lembut.
“Ya
abang, in shaa Allah, sayang akan jaga status sayang sebagai isteri abang, tapi
abang jangan pula cari orang lain selain sayang kalau abang ada masalah” pesan
Nura Afyna.
“Takkanlah
abang nak cari orang lain, isteri abang lagi cantik, lagi baik, lagi cerdik”
balas Ahmad Ilman sambil nadanya semakin meninggi.
“Dah..dah..
malulah kalau ada orang lain dengar” kata Nura Afyna manja sambil tangannya sudah
menepuk dada suaminya lembut.
“Kenapa
nak malu, Sayang kan isteri abang” kata Ahmad Ilman lalu mereka berdua
tersenyum.
“Ingat
lagi surat ni?” Ahmad Ilman menghulurkan surat yang ada dalam laci almari
rumahnya.
“Oh
surat tu, sayang terlupa bawa” Nura Afyna mengambil surat yang suaminya
hulurkan.
Sudah selamat Nura Afyna berada di
Universiti Putra Malaysia. Dia mengemas barang-barang yang dibawanya di dalam
almari. Tiba-tiba dia teringat akan hadiah pemberian suaminya. Dengan teliti,
dia membuka balutan hadiah daripada terkoyak. Perlahan-lahan dia membuka hadiah
setelah melihat tiada sesiapa berada di sekelilingnya.
“Wah, cantiknya!” Nura
Afyna tersenyum melihat jam tangan Q&Q yang berwarna keemasan di dalam
kotak.
Dia menelefon suaminya mengucapkan kata penghargaan.
Ahmad Ilman menyuruhnya memakai jam tangan dan cincin perkahwinan sepanjang
masa. Nura Afyna agak keberatan untuk memakai cincin perkahwinannya namun
dipujuk banyak kali oleh Ahmad Ilman.
Dia tidak mahu sesiapa mengetahui statusnya sebagai isteri orang. Namun, dia
berkata kepada suaminya yang dia akan memakainya.
Kalau jam tangan bolehlah cover sikit, ni cincin memang sah-sah ada apa-apa yang tak kena,
yalah lebih-lebih cincin berlian, manalah aku ada duit nak beli dalam usia
semuda ini, getus hatinya. Pada waktu petang, aktiviti orientasi bermula.
Selama seminggu dia akan menghadiri aktiviti orientasi sebagai pelajar asasi
UPM, ASPer.
Tiga hari berturut-turut dia tidak sempat menelefon
sesiapa termasuklah suaminya, juga keluarganya. Aktiviti orientasi yang
berakhir lewat setiap malam membuatkan dirinya terlalu letih lalu tertidur
selepas solat insyak di dalam bilik bersama Athirah.
“Assalamualaikum abang, maaf baru hari ni dapat
telefon abang. Tiga hari lalu, Sayang rasa letih sangat. Fyna masih sesuaikan diri
dengan keadaan di sini. Abang sihat? Dah makan ke? Sayang sihat dan dah makan
dengan room mate tadi. Baru tiga hari, Sayang dah rindu dekat abang” kata Nura Afyna semasa menelefon suaminya
selepas menunaikan solat insyak.
“Wa’alaikumussalam
sayang. Abang pun rindu dekat sayang. Bila dalam bilik kita, abang rasa lain
sikit. Selalunya ada sayang untuk dipeluk tapi… sekarang kena peluk bantal.
Lain rasanya. Abang sihat di sini. Abang baru je makan tadi dekat rumah bapa.
Tak mengapa sayang, abang faham. Abang tahu Sayang boleh sesuaikan diri dekat
sana” balas Ahmad Ilman yang baru sahaja mahu pulang ke rumahnya.
“Abang,
dekat sini kan, besar kawasan dia, cantik sangat. Tapi, letihlah juga sebab kena
jalan kaki nak ke dewan yang sayang daftar haritu. Kolej sayang kan jauh dari
dewan tu” luah hati Nura Afyna.
“Nanti
letaklah minyak angin dekat kaki sayang ya. Tak cantik pula nanti kaki tu”
seloroh Ahmad Ilman.
“Abang ni kan, saja nak kenakan Sayang”
marah Nura Afyna manja lalu ketawa mereka meletus.
“Sayang nilah, jalan sikit pun dah nak mengadu,
ingatkan kena buli ke, apa ke. Tapi rasa letih lagi tak sekarang ni lepas
gelak” balas Ahmad Ilman.
“Dah
tak letih dah, rasa release tension
sikit. Terima kasih ya abang” balas Nura Afyna tenang.
“Sama-sama sayang. Abang pun rasa bersemangat semula” kata Ahmad Ilman
lalu dia menghidupkan enjin keretanya.
“Abang,
Sayang tak habis kemas lagi barang, I love
you abang. Assalamualaikum” kata Nura Afyna apabila Athirah sudah mengetuk
pintu bilik.
“Wa’alaikumussalam sayang, jangan
tidur lewat sangat ya sayang,. I love you
more” balas Ahmad Ilman lalu dimatikan panggilannya.
Seminggu
berada dalam UPM membuatkan Nura Afyna seperti berada di dunia baru. Perkenalannya dengan Athirah yang berasal dari Kedah
hanya dikenalinya semasa malam terakhir hari orientasi. Hari-hari sebelumnya,
mereka hanya bertegur sapa sedikit tanpa mengenali lebih dalam. Esok bermulalah
kehidupan yang sebenar di universiti.
Nura
Afyna bangun di awal pagi. Setelah solat subuh, dia
mentatarias dirinya. Baju kurung yang pernah dia pakai masa pertemuan
pertamanya dengan suaminya dipakainya untuk kali ini. Teringat kembali kenangan
itu. Betapa kekoknya dia waktu itu. Rasa dirinya begitu muda untuk berkahwin. Tetapi itulah yang menjadi kenangan terindah. Dia kemudiannya sambung bersiap. Memakai bedak
asas di muka dan mengenakan sedikit pelembab bibir. Jam pemberian Ahmad Ilman dipakainya di pergelangan tangan kiri dan
cincin perkahwinan, semestinya di jari manis tangan kanannya.
“Wahai cincin,
janganlah ada sesiapa tanya pasal kau, aku bukannya apa cincin, kau memang
cantik, tapi aku malulah kalau ada orang tahu aku dah kahwin dalam usia ini”
katanya sendiri di hadapan cermin.
“Eh Fyna,
lamanya bersiap, cepatlah keluar, kita pergi sama-sama” kata Athirah sebelum
keluar dari bilik.
“Okay.. tunggu sekejap, lagi sikit” jawab
Nura Afyna pantas.
Kelas pertama yang Nura Afyna hadiri setelah seminggu
berorientasi sekitar UPM ialah Sains Pertanian. Perasaan ingin tahu semakin
memuncak-muncak. Pelajaran itu tidak pernah dia pelajari ketika berada di sekolah
menengah. Fikirannya begitu bersemangat. Sekarang dia tidak perlu fikirkan
lelaki. Lebih-lebih lagi untuk jatuh cinta. Dia sudah ada peneman
yang sempurna di hatinya. Setelah habis kelas. dia terus pulang ke biliknya
untuk menunaikan solat asar. Dia mengubati rindunya dalam hati dengan mendoakan
kesejahteraan suaminya dan keluarganya. Dia ingin buktikan kepada Ahmad Ilman
yang dia amat menghargai pengorbanan suaminya membiayai perbelanjaannya untuk
belajar di universiti.
“Wa’alaikumussalam
mak” sahutnya di telefon bimbit.
“Anak
mak macam mana? Pelajaran okay?”kata
Puan Mahirah.
“Alhamdulillah
Fyna sihat, pelajaran tu susah sikit lah mak tapi mak jangan risau ya, in shaa
Allah Fyna belajar sungguh-sungguh”
“Baguslah
macam tu, mak tengah shopping ni
dengan ayah kamu, tadi mak nampak ada blaus warna biru..cantik sangat, Fyna nak
tak?” tanya Puan Mahirah sedikit gembira.
“Warna
biru! Mestilah nak, mak macam tak tahu pula Fyna ni macam mana” balas Nura
Afyna riang.
“Mak
dah agak Fyna mesti suka, nanti mak bagi baju ni dekat Man, tolong hantarkan
dekat sana”
“Eh
mak, jangan susahkan abang, dia mesti letih kerja, suruh dia simpan dekat rumah
ajelah” kata Nura Afyna dengan sedikit simpati terhadap suaminya.
“Takpelah
kalau macam tu, Fyna dah call Man?”
“Belum
lagi, nanti Fyna call abang”
“Jangan
lupa pula, nanti merajuk pula suami Fyna tu”
“Baik
mak, Fyna ada kerja nak siapkan, lain kali Fyna telefon mak, kirim salam dekat
semua ya mak, Assalamualaikum” Nura Afyna menutup talian.
Dia menelefon suaminya seperti yang dijanjikan. Namun
panggilannya tidaak diangkat. Beberapa kali dicubanya tetapi tetap juga tidak
diangkat oleh suaminya. Mana abang ni ya, jam
mungkin, gumam hatinya. Dia bersiap-siap untuk ke taman tasik bagi menenangkan
hatinya yang sedang merindu kepada yang tersayang. UPM memang cantik, ada
pepohonan yang tinggi dan juga rendang, ada tasik dan ada perpustakaan yang
serba lengkap. Pemandangannya pasti tidak bosan dimakan
masa. Keindahan ciptaan Allah yang tiada tandingannya. Suasananya amat baik
untuk pelajar-pelajar yang ingin fokus terhadap pelajaran.
Dia
meneruskan perjalanannya ke taman tasik. Dia menyelusuri tasik yang tersergam
indah. Dia memandang ke bawah memerhatikan corak-corak yang terbentuk daripada
gabungan batu-batu putih. Dia begitu leka dan tanpa disangka dia terlanggar
satu sosok lelaki di hadapannya. Aduh!, kepalanya terhantuk pada buku yang
dipegang seorang lelaki di hadapannya.
“Sorry..sorry” kata lelaki itu.
“Takpe
saya okay” balas Nura Afyna sambil mengutip
buku-buku yang terjatuh.
“Eh
Hazmi kan?” kata Nura Afyna apabila terpandang wajah lelaki itu semasa memberi
buku.
“Fyna?
Buat apa dekat sini?” kata Hazmi dengan riak muka terkejut.
“Saya.. belajar dekat sini” kata Nura Afyna sedikit
getar.
“Saya pun, memang jodohkan kita jumpa di sini” balas
Hazmi gembira.
“Emm… maaf, saya sibuk, saya pergi dulu” Nura Afyna
mengelak daripada berbual-bual lebih lama.
Nura
Afyna terus pulang ke biliknya. Dia tidak menyangka akan terserempak dengan
Hazmi kawan lamanya merangkap kekasih hatinya dahulu. Adakah Hazmi
mengekoriku?, mindanya tertanya-tanya. Pada awalnya dia ke taman tasik untuk
merehatkan mindanya namun kehadiran Hazmi melenyapkan hasrat murninya itu. Dia
terus tawar hati untuk bersantai di tepi tasik. Kacau betul mamat tu!, marahnya
di dalam hati. Dia begitu tertekan dengan pengurusan masanya di universiti.
Banyak yang dia tidak tahu mengenai subjek-subjek baru. Apabila sudah ada
masanya, Hazmi pula hadir.
Waktu sudah lewat senja, dia masih di dalam bilik.
Kawan-kawannya telah keluar untuk ke masjid. Tinggal dia seorang di dalam
bilik. Dia risau akan bertemu semula dengan Hazmi. Dia tidak mahu ada apa-apa
hubungan dengan lelaki. Cukuplah hanya suaminya yang ada di hatinya saat ini
sehingga akhir hayatnya. Sekali dia berjanji untuk menjaga cinta suci ini, maka
selama-lamanya dia akan memegang janjinya. Cintanya pada sang suami adalah
cinta kerana Allah. Emaknya pernah berpesan kepadanya pada malam sebelum majlis
pernikahan, ‘menikahi orang yang kita cintai adalah suatu kemungkinan, tetapi
mencintai orang yang kita nikahi adalah sebuah kewajipan’.
Namun, dia kuatkan semangat untuk mendengar tazkirah
di masjid tanpa mempedulikan kemungkinan yang dia akan terserempak dengan
Hazmi. Jati diri perlu kuat, lebih-lebih lagi berada jauh daripada keluarga. Dia
berjalan kaki ke masjid ditemani pelajar-pelajar lain yang masih berlegar-legar
di jalan pejalan kaki. Langkah demi langkah dikiranya sehinggalah tiba di
hadapan masjid. Selepas membaca doa masuk ke masjid, kaki kanannya melangkah
masuk ke dalam masjid. Dia terus ke kamar wuduk untuk mengambil wuduk dan masuk
ke dalam saf bahagian muslimah.
Usai solat magribh berjemaah, dia menunggu untuk solat
insyak sekali. Sewaktu menunggu waktu insyak masuk, dia mendengar ceramah yang
disampaikan oleh imam. Ceramah tentang tanggungjawab anak kepada ibu bapa
benar-benar menyusuk kalbunya. Sungguh dekat dengan hati setiap makmum yang
hadir. Sebagai anak, mentaati ibu bapa adalah perkara yang wajib. Keredhaan ibu
bapa menentukan keredhaan Allah terhadap seseorang anak. Betapa besarnya
keikhlasan seorang ibu dan ayah memberikan kasih sayang dan didikan kepada
anak-anaknya. Mengalir air mata Nura Afyna tanpa dipaksanya. Dia banyak
melukakan hati emak dan ayahnya semasa di alam remajanya.
“Emak,
Fyna penat-penat basuh bilik air tu, lepas tu mak buang sebaldi air busuk dekat
bilik air?!” marah Nura Afyna tanpa berfikir panjang.
“Mak
tak sengaja, tak ada siapa nak tolong buangkan air tu…” air mata Puan Mahirah
ditahan daripada mengalir. Nura Afyna terus mengambil berus lantai untuk
membasuhnya semula. Namun riak wajahnya terpamer jelas tidak berpuas hati
dengan tindakan emaknya. Pintu
kamar mandi dihempas kuat. Dia menggosok-gosok lantai dengan geramnya.
Perlakuannya menimbulkan rasa bersalah di hati emaknya. Emaknya sudah menangis
teresak-esak. Ayahnya cuba memujuk emaknya yang terlalu sedih dengan
tindakannya. Ketika itu, di hati Nura Afyna berasa begitu bersalah namun di
sisi lain, hatinya juga dikuasai amarah yang meluap-luap. Bukanlah sengaja dia
ingin memarahi emaknya, tetapi egonya tercabar kerana dia menganggap emaknya
tidak menghargai pengorbanannya membasuh kamar mandi.
“Fyna, sudahlah, keluarlah dari bilik air tu, emak tak
sengaja…” pujuk Encik Fadhli. Nura Afyna terpujuk dengan kata-kata ayahnya lalu
keluar dari kamar mandi dan duduk berhadapan emaknya di atas kerusi. Dia
melihat emaknya begitu sedih. Kesedihan emaknya menyejukkan amarahnya tadi. Apa
yang telah aku lakukan pada emak, soalnya dalam hati.
“Emak,
Fyna minta maaf..” lembut bicaranya kepada emaknya. Emaknya masih tidak berhenti menangis. Jiwanya
benar-benar terganggu. Dia berasa sungguh bersalah. Apa salahnya kalau aku
berkata lembut pada emak tadi, nasihatnya dalam hati. Dia terus memeluk
emaknya. Emaknya erat memeluknya kembali.
“Emak maafkan Fyna..” balas emaknya
dalam keesakan tangisannya.
Walaupun
sudah setahun berlalu, kisah itu masih di ingatannya. Sekali terjadi, pasti akan teringat-ingat di mindanya.
Dia berasa bersalah kerana terlalu ikut perasaan marahnya. Bukankah aku telah
melakukan dosa besar kepada emakku?, rasa bersalah menyelubungi hatinya. Ya
Allah, ampunkanlah aku dan ibu bapaku serta kasihanilah mereka sepertimana
mereka mengasihiku semasa kecil. Doa kudus mengiringi sendunya. Dia pulang ke
biliknya dan menelefon semula emaknya. Hatinya begitu meruntun. Walaupun banyak
dosanya kepada ibu bapanya, Allah masih memberinya keputusan yang cemerlang.
Allah itu Maha Mengasihani. Belum terlambat untuk dia bertaubat. Malam yang
berlalu dipenuhi dengan kata-kata penghambaan kepada Maha Pencipta. Mengalirnya
air mata seorang pejuang Islam yang berjihad di jalan Allah. Dia benar-benar
insaf atas keterlanjurannya.
oleh: Anggerik Mekar

0 comments :
Post a Comment