Bab 26
BAB 26
Bunyi loceng memekik di waktu subuh membuat jiwa Ahmad
Ilman tidak tenteram untuk tidur lena. Dia terjaga dari tidur lalu
memberhentikan loceng telefonnya daripada terus berbunyi. Dia melihat di
telefonnya ada pesanan yang belum dibaca. Dia menekan skrin untuk membaca
pesanan itu. Pesanan daripada isteri tercinta membuatkan hatinya tertarik untuk
meneruskan pembacaan. Sekilas dia membaca pesanan itu. Hatinya
tersentuh.
Assalamualaikum Abang, kenapa tak
angkat fon? Sayang ada buat salah ke? Sayang sedihlah bila abang tak jawab fon
dari sayang. Abang tak rindu sayang ke. Sayang rindu abang, kalau
boleh nak teman abang dan balik sekarang. Tapi sekarang sayang tengah belajar.
Walau abang jauh, sayang yakin kita boleh jaga cinta ini baik-baik.
Sayang, maafkan abang,
abang dah kotorkan cinta ini, desis hatinya. Dia bangun dari katilnya yang
tidak bersarungkan cadar. Cadar yang ada di atas lantai disarungkan semula ke
katil. Ini semua kerja syaitan Dasim untuk memberantakkan hubungan rumah tangga
aku, gumamnya. Dia meregangkan sendi-sendinya yang lenguh. Usai mandi dan solat
subuh, dia bersiap-siap untuk ke pejabat. Hari ini merupakan hari pembentangan
Projek Kinta yang menjadi projek penting tahunan. Dia sudah selesaikan
segalanya.
Seperti biasa, diambilnya susu kotak
dari dalam almari namun rotinya pula diletakkan jem sendiri tidak seperti
biasa. Berjimat sikit buat cara ni daripada beli roti berjem yang makin lama
makin naik pula harganya, dulu lima puluh sen, sekarang dah nak dekat sembilan
puluh sen, desis hatinya. Ingatannya
tentang peristiwa memalukan dia dihadapan foto isterinya menerjah mindanya.
Baju kemeja itu belum dibasuhnya. Bukannya dia mahu menyimpan aroma minyak
wangi Sarah, namun setiap kali ingin membasuhnya, dia tidak terdaya. Aku kena
buat sesuatu! Sarah tak boleh dibiarkan begitu saja!, nekadnya.
Sewaktu
mesyuarat pembentangan projek berlangsung, dia tidak dapat fokus sepenuhnya terhadap
pembentangan sehingga dia ditegur oleh ayah mentuanya. Namun, dia segera
menghilangkan khayalannya dengan keluar dari bilik mesyuarat sebentar untuk mengambil angin luar. Kemudian dia masuk
kembali ke dalam ruang mensyuarat dengan wajah yang segar. Apa yang aku
fikirkan sangat ni?, marah hatinya. Ketika waktu zohor, dia menunaikan solat
berjemaah di masjid berdekatan.
“Assalamualaikum
ustaz, boleh saya tanya sikit dekat ustaz?” Ahmad Ilman meyapa Ustaz Shah
setelah selesai menunaikan solat. Ustaz Shah memandang ke belakangnya lalu
bangun menyahut huluran tangan Ahmad Ilman untuk bersalam.
“Wa’alaikumussalam
warahmatullahi wabarakatuh, in shaa Allah boleh, nak ni siapa?” sahut Ustaz
Shah dengan ramah.
“Saya
Ilman ustaz, saya ada masalah dan saya buntu sebab hal ni ada kena mengena
dengan hati dan perasaan saya” kata Ahmad Ilman ketika mereka berjalan menuju
luar masjid.
“Ilman,
setiap masalah itu ada penyelesaiannya, cakaplah apa masalahnya, in shaa Allah
sedikit sebanyak ustaz boleh bantu kamu” balas Ustaz Shah lalu dia menyarungkan
kakinya ke sandal miliknya. Ahmad Ilman juga melakukan hal yang sama.
“Ustaz,
kalau boleh kita duduk dulu dekat bangku tu” kata Ahmad Ilman lalu tangannya
terarah pada sebuah bangku putih yang merupakan sumbangan daripada orang ramai.
“Macam
ni ustaz, saya menyesal sebab dah membenarkan seorang perempuan ajnabi masuk ke
dalam rumah saya, sedangkan dalam rumah tu hanya kami berdua” Ahmad Ilman
memulakan bicaranya apabila mereka sudah selesa duduk di bangku.
“Astaghfirullah
al-‘adzim, perbuatan ini haram Ilman kerana Rasulullah bersabda,
yang bermaksud ‘Jangan berdua-duaan
perempuan dengan lelaki melainkan ditemani oleh mahramnya’, hadis riwayat
Bukhari. Selain itu, sabda
Rasulullah S.A.W yang bermaksud ‘Tidak bersunyian (berdua-duaan) seorang
lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga antara
mereka’, hadis riwayat
at-Tirmizi.” Ustaz Shah begitu terkejut mendengar masalah yang dihadapi
Ahmad Ilman. Sedaya upaya dia menasihati Ahmad Ilman dengan berhemah. Ahmad
Ilman sedikit malu mendengar nasihat Uztaz Shah. Dia tahu hukum itu semua,
tetapi dia lalai.
“Apa
yang buat saya lebih bersalah dengan isteri saya, saya nyaris melakukan zina
terhadap perempuan ajnabi tu, tapi Alhamdulillah, Allah masih menyayangi saya,
dia buka mata saya, dia buka hati saya sehingga saya tersedar atas perlakuan
saya pada waktu tu, adakah saya patut beritahu isteri saya apa yang sudah saya
lakukan sebab saya dah berjanji akan jujur dengannya, adakah isteri saya dapat
memaafkan saya, ustaz?” sambung Ahmad Ilman meluahkan isi hatinya yang berasa
begitu bersalah.
“Alhamdulillah kamu sedar atas
kesalahan kamu waktu tu, Allah mengharamkan kita mendekati zina, inikan pula
berzina, Allah telah berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud ‘Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu
perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)’, kamu
segeralah bertaubat
kepadaNya dengan taubat nasuha, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani, firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud ‘Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang
sentiasa mensucikan diri’,
malah dosa-dosa yang lalu akan berguguran dan hamba itu menjadi suci seperti
bayi yang baru dilahir, Allah juga mengharamkan kita membuka aib orang lain,
apalagi membuka aib diri sendiri seperti hadis yang disampaikan oleh Abu Bakar r.a,
riwayat Muslim dan Bukhari yang bermaksud ‘Sesiapa
yang menutup keaiban seseorang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya di
hari kiamat’ ,
dalam masalah kamu ni, kamu kena simpan perkara ni walaupun dengan isteri
sendiri, aib itu harus dijaga, ini bukan soal kejujuran tapi ni soal hukum,
siapa kita nak melawannya” panjang lebar penerangan dari Ustaz Shah bagi
menyedarkan Ahmad Ilman betapa Allah itu Maha Besar.
“Terima
kasih atas nasihat ustaz” lega hati Ahmad Ilman mendengar penjelasan Ustaz
Shah. Dia sudah tidak susah hati dengan isterinya namun dia perlu bertaubat
dengan segera. Ya Allah, ampunkanlah hambamu yang hina ini, doanya dalam hati.
“Alhamdulillah
Ilman, rajinkanlah diri hadir ke majlis-majlis agama supaya hati kamu lebih
tenang dan dekatkanlah diri kepada Allah” nasihat terakhir Ustaz Shah sebelum
bersalaman dengannya lalu beredar dari bangku. Ahmad Ilman masih berada di
bangku menghirup udara luar yang menyenangkan meskipun waktu sudah panas.
Telefonnya
bergetar di dalam seluarnya. Dia mencapai telefon bimbitnya lalu dilihat skrin
telefon terpapar wajah isterinya. Maafkan abang sayang, abang belum bersedia,
kata hatinya lalu membiarkan telefonnya bergetar tidak bersuara. Kunci
keretanya diambil dalam poket seluarnya yang berbeza dari tempat telefonnya
diletakkan. Dia berjalan menuju ke arah keretanya. Apabila ditekan punat buka
di kunci keretanya, sistem sekuriti kereta dibuka secara automatik. Dia
memandu kereta ke pejabatnya semula memandangkan waktu rehat hampir tamat. Aku
kena hadapinya dengan redha dan bertawakal kepada Allah apa jua yang bakal aku
hadapi kelak atas perbuatanku sendiri, nekad hatinya.
“Sarah?” dia terkejut
melihat Sarah sudah ada di atas kerusi tetamu pejabatnya. Sarah memandang Ahmad Ilman dengan senyuman sinis.
Kehadiran Sarah kali ini bukan seorang diri namun dengan seorang lelaki
berkemeja lengkap berwarna ungu.
“Yes, Ilman. How your day today?” Sarah
mula bersuara lalu memeluk lelaki di sebelahnya.
“Boleh keluar sekarang
tak? Saya sibuk” kata Ahmad Ilman lalu membuka pintu biliknya.
“Well, well. Dah alim sekarang ni ya. By the way, ni Megat Arif, manager
I a.k.a my sweetheart” Sarah
memperkenalkan Megat Arif dengan manja di hadapan Ahmad Ilman.
“Jadi, apa kena mengena dengan saya? Tujuan? Peluk-peluk
semua ni?” bengang Ahmad Ilman apabila Sarah tergedik-gedik di dalam biliknya.
“Bi,
introduce yourself” kata Sarah lalu
mengurut-urut sebelah bahu Megat Arif.
“Bro,
memandangkan model I kenal dengan
bro, dia nak photoshoot dengan
bahagian yang bro jaga sekarang ni, so I sebagai
manager dia, datang bawa contract untuk buat official agreement” kata Megat Arif lalu mengeluarkan satu fail
dari beg sandangnya dan diletakkan di atas meja. Ahmad Ilman memandang pelik wajah
Sarah dan Megat Arif bergantian. Mahu terlepas bom dalam perutnya. Gila apa
mereka ni?, fikirnya.
“Buat
apa datang pejabat saya, bro. Saya ni
technician, memang bahagian saya bahagian sungai semua ni tapi under engineering department, bukannya
saya under culture department” Ahmad
Ilman menahan gelaknya namun terpecah juga bom dalam perutnya. Ketawanya tidak
henti sehinggalah Sarah berdiri menepuk meja kuat.
“You dah buat I malu depan
my sweetheart! Jangan ingat you
akan terlepas” marah Sarah lalu dia keluar dari bilik Ahmad Ilman dengan
pantas. Tumit kasutnya yang tinggi membuatkan bunyi hentakannya kedengaran
sehingga dia masuk ke dalam lif. Megat Arif yang
ditinggalkan Sarah begitu sahaja turut berdiri.
“Sorry bro, I ingat you bahagian cultural. She always like that when angry. This is my
personal card, if you have any job related to Sarah desire, please call me” kata Megat Arif pasrah dengan sikap Sarah sebelum
dia keluar dari bilik Ahmad Ilman lalu ditutup pintu bilik dengan cermat.
Ahmad Ilman kembali
ketawa sambil duduk membuka suis komputer mejanya. Ada juga orang macam Sarah
tu, dah gila apa dia, buat proposal semua
tapi tak tahu latar belakang syarikat, dengus Ahmad Ilman. Tiba-tiba dia teringatkan isterinya. Apa khabar kamu
sayang, bisik hatinya. Hampir sebulan dia tidak bertemu isterinya. Pertemuan
mereka terakhir adalah ketika dia menjenguk isterinya di kolej tempoh hari.
Bukan sengaja dia tidak mahu membawa pulang atau menjenguk isterinya namun
situasi kewangannya sedikit terganggu. Malah isterinya menghadapi peperiksaan.
Dia mahu isterinya fokus terhadap pelajaran yang diambil isterinya.
Perbualan
bersama ayah mentuanya pada petang peristiwa Sarah datang ke rumahnya
diingatnya semula. Ayah mentuanya begitu tekun mendengar kisah silam yang
baginya itulah titik hitam yang pernah dia lalui sepanjang zaman remajanya. Riak
wajah Encik Fadhli tidak terkejut malah dia memuji Ahmad Ilman yang jauh lebih
baik berbanding keadaan dahulu.
“Man,
bagaimana hubungan Man dengan Sarah? Masih berhubung lagi ke?” soalan yang
keluar dari ayah mentuanya benar-benar menyusuk mindanya. Dia nampak Sarah ke
tadi?, gusarnya.
“Ayah,
Man rasa lemah sekarang ni. Man terpaksa berjauhan dengan Fyna. Man tak kuat”
entah kenapa Ahmad Ilman merasakan dia perlu memberitahu hal sebenar kepada
ayah mentuanya sebelum semuanya menjadi lebih rumit.
“Man,
ayah faham perasaan kamu tu. Memang sukar untuk kita berjauhan dengan orang
yang kita sayang, lebih-lebih lagi isteri sendiri. Sebab itulah seringkali kita
dengar, tempat terbaik bagi seorang isteri adalah di sisi suaminya. Kenapa
tempat terbaik adalah di sisi suaminya, sebab benda macam nilah Man, supaya
batin kamu tu tersalur ke tempat yang halal.” Encik Fadhli menerangkan dengan
jelas tanpa berlapik. Perbualan lelaki kepada lelaki. Ahmad Ilman sedikit malu
apabila ayahnya seperti tahu dirinya yang sedang berperang dengan nafsunya
sendiri.
Syamira
begitu gembira apabila orang yang dinanti-nantikan telah tiba di padang
sekolahnya. Seperti janji Zafrin kepada anak muridnya tempoh hari, Zafrin hadir
ke sekolah Syamira sempena Hari Kokurikulum Sekolah. Zafrin mencari khemah
jualan kelas Syamira. Satu khemah ke satu khemah dia kunjungi dengan harapan
Syamira yang akan menyambutnya sebagai pelanggan istimewa.
“Cikgu
Zafrin!” sapa Syamira apabila melihat kelibat Zafrin di khemah sebelah. Zafrin
terdengar suara Syamira yang kegembiraan lantas pergi ke khemah jualan anak
muridnya.
“Mira,
tak sangka jumpa dekat sini” sapa Zafrin seolah-olah mereka tidak berjanji
untuk bertemu.
“Ish,
cikgu ni, ada-ada je, cepat beli makanan saya. Yang ni, saya baru masak tahu,
masih hot gitu” balas Syamira lalu
tangannya tertuju ke arah cendawan goreng di dalam bekas aluminium.
“Betul
ke masih hot ni? Eh, kena beli pula.
Bukan ke Mira kata nak belanja cikgu haritu” gurau Zafrin sedikit berdrama di
depan cendawan goreng.
“Kalau Mira belanja
cikgu, tak ada untunglah jualan Mira sekarang ni, sekarang syif Mira, gaji pun
ikut syif. Kalau syif orang lain mungkin boleh, tapi bukan syif Mira. Nasiblah
cikgu datang waktu syif Mira” balas Syamira tidak mahu kalah dengan gurauan
cikgunya.
“Nasib-nasib. Haih,
terpaksalah cikgu keluarkan duit. Berapa satu bungkus ni?” Zafrin akhirnya
mengalah apabila dramanya mendapat perhatian orang sekeliling.
“Kan bagus macam tu dari
awal tadi. Satu bungkus RM2.50, tapi lepas diskaun kesian bagilah RM2.00, harga
istimewa hanya untuk orang yang pandai berdrama” lagak Syamira seperti promoter yang menjual barang jualan
meletop.
“Cis, dia ni. Perli
cikgu pula. Okaylah, bagi cikgu dua bungkus” balas Zafrin lalu menghulurkan
empat keping duit kertas seringgit kepada Syamira lalu dibalas dengan dua
bungkus cendawan goreng.
“Satu lagi bungkus ni
kenapa tak nak ambil?” tanya Syamira apabila Zafrin meletakkan sebungkus
cendawan goreng di atas meja.
“Oh, yang satu lagi tu
cikgu belanja untuk promoter Mira
yang pandai bodek cikgu” kata Zafrin lalu tersengih. Syamira ikut tersengih.
oleh: Anggerik Mekar

0 comments :
Post a Comment