Bab 3

Bab 3


BAB 3

Kalau orang lain saat ini bersama-sama kawan keluar ke pasar raya untuk berbelanja dan berhiburan, namun dirinya sedang menghadapi pelbagai jenis terapi. Itu semua ikut kata-kata orang tua supaya menjadi isteri yang sempurna untuk suami.
“Emak, perlu ke semua ni? Fyna masih muda” rungutnya ketika berjalan beriringan dengan emaknya menuju ke tempat spa.
“Waktu tengah mudalah kita kena buat, mula dari awal barulah dapat hasil yang berpanjangan”
“Tapi Fyna…” rajuk Nura Afyna.
“Kenapa ni Fyna? Fyna jangan risau, emak dah sediakan duit siap-siap untuk anak dara mak ni kalau duit yang Fyna risaukan” pujuk Puan Mahirah.
“Bukan macam tu mak, Fyna takutlah mak, boleh ke Fyna jadi isteri yang baik dekat Ilman”
“Fyna, lambat laun Fyna akan hadapinya juga kalau bukan sekarang masanya Fyna berkahwin. Dulu mak waktu mula-mula tu takut juga tapi ada nasihat yang nenek bagitahu dekat mak yang membuat mak rasa tenang semula”
 “Apa dia mak?” kata Nura Afyna dengan bersemangat.
“Nanti mak beritahu dekat rumah, tak sesuai cakap dekat sini” ringkas Puan Mahirah menamatkan perbualan apabila sudah sampai di bilik mendaftar diri.

Segar badan Nura Afyna setelah melalui terapi spa di spa yang dikenali sebagai Villario Spa. Pelbagai terapi ada dalam pakej ratu sehari yang dilaluinya seperti mandi bunga, manicure, scrub susu dan banyak lagi. Pening juga dia dibuatnya. Ingatkan senang nak kahwin ni, rupa-rupanya susah juga. Puan Mahirah membawanya ke spa, rawatan kecantikan muka, kolam air panas dan macam-macam lagilah dari awal pagi sehinggalah ke petang. Aktiviti ini berterusan selama sebulan. Nura Afyna hanya menurut arahan daripada emaknya. Emaknya hendak melihat anak daranya cantik luar dan juga dalam semasa majlis pernikahan sehingga akhir hayat anaknya nanti.
Di rumah pula, emaknya mengajarkan dia pelbagai jenis lauk yang mudah dimasak. Kata orang, nak pikat suami perlu pikat perutnya dahulu. Hampir tergelak Nura Afyna dibuatnya saat emaknya menerangkan kepadanya. Hampir setiap hari menu baru dipelajarinya. Tidak cukup dengan itu, dia juga mendalami ilmu agama supaya dia tahu tanggungjawab sebagai seorang isteri kelak. Dia juga perlu mengkhatam al-Quran lagi sekali dengan menghadiri kelas mengaji bersama ayahnya setiap malam. Encik Fadhli ingin sekali Nura Afyna yang akan dilepaskan kepada Ahmad Ilman kelak dalam keadaan yang cukup agamanya dan tidak sia-sia segala usahanya membesarkan anak daranya itu. Walau sesibuk mana dirinya di pagi hari, tanggungjawab sebagai seorang ayah tidak pernah diabaikannya. Oleh sebab itu, Nura Afyna yakin pilihan ayahnya adalah yang terbaik untuknya.
Sebagai langkah awal dalam membina sebuah perkahwinan, Ahmad Ilman dan Nura Afyna pergi menghadiri kursus perkahwinan yang diadakan oleh Majlis Agama Daerah. Mereka didedahkan dengan pelbagai aspek dalam alam rumah tangga. Selama tiga hari mereka menghadiri kursus itu. Memandangkan Nura Afyna belum mendapat lesen ‘P’ memandu kereta, Ahmad Ilman yang mengambil dan meghantar semula dia sebelum jam enam petang. Encik Fadhli tidak mengizinkan mereka pulang lewat kerana takut menimbulkan fitnah. Setiap kali selesai menghadiri kursus, Ahmad Ilman membawanya menziarahi tanah perkuburan untuk menjenguk kubur arwah ibu tunangnya. Sudah enam tahun Ahmad Ilman tidak merasai kasih sayang seorang ibu. Dia membacakan doa-doa lazim. Hati Nura Afyna tersentuh mendengar bait-bait doa yang dibaca tunangnya. Sejuk hatinya seketika. Dia bersama-sama menadahkan tangan dan berdoa pada Illahi moga ibu tunangnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan solehah.
            “Ilman, Fyna ada soalan?” kata Nura Afyna ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
            “Apa dia Fyna, ada masalah ke?” jawab Ahmad Ilman tanpa menoleh ke arah tunangnya.
            “Tak. Cuma nak tanya, Ilman sedih tak bila arwah ibu pergi untuk selama-lamanya” lembut suara Nura Afyna bertanya. Dia takut mengguris hati tunangnya.
            “Dulu, sayalah yang paling sedih dekat dunia ni, nak dekat dua minggu saya tak pergi sekolah, mengenangkan pemergian ibu, tapi sekarang, saya redha dengan pemergiannya” kata Ahmad Ilman dengan nada sayu.
            “Maaf ya sebab dah buat Ilman terkenang perkara yang sedih”
            It’s okay. Kenapa Fyna tanya ni?” Ahmad Ilman memandang sekilas tunangnya.
            “Kalau dikira balik, masa arwah ibu Ilman meninggal dunia, waktu tu Ilman 17 tahun kan, mesti rasa berat sangat untuk menanggungnya, yalah waktu tu juga kena ambil SPM, tak tahulah macam mana kalau benda tu terjadi pada Fyna”
            “Fyna, jangan cakap macam tu” lembut tutur katanya lantas menghentikan kereta di tepi jalan.
            “Fyna sepatutnya fikir positif, saya tengok, makcik sihat sahaja setiap kali saya bertemu dengannya” sambungnya.
            “Tulah, alhamdulillah mak sihat, cuma perasaan Fyna ni yang bercampur-baur, lepas ni Ilman jangan sedih lagi ya, emak Fyna akan jadi emak Ilman juga”
            “In shaa Allah” kata Ahmad Ilman sambil melepaskan brek tangan.
Encik Fadhli dan Puan Mahirah berbual-bual di halaman rumah ketika mereka tiba di rumah. Nura Afyna turun dari kereta apabila Ahmad Ilman membuka pintu kereta di sebelahnya. Ahmad Ilman masih dalam proses memikat hati Nura Afyna. Mana tahu cinta berbalas cinta. Nura Afyna pula tidak sangka hari ini tunangnya akan membuka pintu untuknya. Sebelum ini dia sendiri yang membuka pintu, tidak pula tunangnya keluar dari kereta. Kali ini, berbeza pula. Kenapa dengan dia ni? Tiba-tiba je romantik, ni mesti sebab mak dan ayah ada dekat depan, kata hatinya.
            “Assalamualaikum tuan, makcik” kata Ahmad Ilman sambil melambai-lambai tangannya ketika berdiri di sebelah kereta.
            “Wa’alaikumussalam, tak payah lah panggil tuan, panggil ayah cukuplah, dan panggil mak, nanti kita jadi keluarga juga” sahut Encik Fadhli.
            “Ya ayah, ya mak”
            “Tak masuk dulu ke, kita minum-minum dulu” tanya Puan Mahirah.
            “Tak apalah mak dan ayah, Ilman kena balik cepat ni”
            “Yalah, esok pukul berapa datang?”
            “Macam biasa mak”
Ahmad Ilman memandu kereta menuju rumahnya. Perasaan hatinya kini seperti warna-warna pelangi yang begitu cantik di langit yang hadir setelah hujan gerimis turun. Sudah enam tahun dia tidak menyebut perkataan ‘emak’, ‘ibu’ dan seumpamanya. Dia amat rindu akan arwah ibunya. Bapanya tidak mencari pengganti ibunya walaupun sudah lama menduda. Bapanya amat menyayangi isteri dan anaknya. Bapanya masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri tanpa isteri di sisi. Namun, setelah mengetahui anaknya akan berkahwin dengan Nura Afyna, Encik Hafizuddin akan tinggal keseorangan di rumah. Hatinya sudah terbuka untuk mencari pengganti isterinya tanpa pengetahuan Ahmad Ilman. Isterinya kelak bukan sahaja dapat menemani dan menjaganya tetapi untuk menceriakan hari-harinya yang sudah lama tidak mempunyai cahaya mata semenjak Ahmad Ilman dilahirkan. Ahmad Ilman merupakan satu-satunya zuriat yang dia ada bersama isterinya yang tercinta.
Tiba di rumah, Ahmad Ilman terus berjumpa dengan bapanya. Encik Hafizuddin sedang leka memasak makanan di dapur. Semenjak ibunya meninggal dunia, bapanya tidak selera makan makanan yang dibeli di luar. Nasib baik ibunya ada meninggalkan resepi menu harian di dalam buku diarinya. Jadi bapanya cuba belajar memasak masakan-masakan yang selalu ibunya masak. Walaupun tidak sama teksturnya, namun masih ada sedikit persamaan dari sudut rasa. Hal itulah yang membuatkan bapanya kuat untuk teruskan kehidupan sehingga menjadi hobinya sudah lima tahun.
            “Assalamualaikum bapa, leka nampak” tegur Ahmad Ilman sambil mengambil cawan untuk diminumnya.
            “Wa’alaikumussalam, mestilah, bapa buat apa yang isteri bapa selalu buat”
            “Bapa masih sedih dengan pemergian ibu?”
            “Ilm, bapa dah letakkan ibu kamu dalam hati bapa, sampai bila-bila pun wajahnya masih elok terukir dalam hati bapa”
            “Bapa jangan terlalu sedih ya, kalau bapa ada pengganti, bapa kahwinlah dengan dia, boleh jagakan bapa”
            “Ish kamu ni, kamu suka tempat mak diganti oleh orang lain?”
            “Bukan macam tu bapa, tapi kalau ada mak baru, bolehlah tengok-tengokkan bapa, lagipun Ilman tengok bapa selalu sendirian bila hujung minggu”
Kuat betul cinta bapa terhadap ibu, akuinya di hati. Harap aku akan mencintai Fyna sepenuh hati hingga akhir waktu menjemputku, nekadnya lagi. Keesokan pagi, Ahmad Ilman dan Nura Afyna keluar bersama-sama untuk menempah pakaian perkahwinan mereka yang akan berlangsung tidak lama lagi. Memandangkan Nura Afyna amat menyukai warna biru, jadi dia telah memilih warna biru sebagai warna baju perkahwinan yang akan dia dan tunangnya pakai pada hari majlis kahwin sebelah perempuan manakala untuk majlis kahwin belah lelaki pula, Ahmad Ilman memilih warna merah memandangkan warna itu warna kegemarannya. Sesuai sangat mereka ni. Kata orang warna merah dan biru memang ada keserasian. Tetapi bagi Nura Afyna kalau kita tidak ada rasa cinta tidak mungkin akan serasi. Bagi Ahmad Ilman pula, warna cumalah sebagai pelengkap kehidupan dan tidak lebih daripada itu. Tanpa warna mungkin manusia akan merasai kekurangan. Walauapapun erti warna itu sebenarnya, asalkan majlis itu berlangsung dengan lancar dan hati masing-masing rasa puas memakai pakaian yang warnanya menjadi kegemaran mereka.
Ahmad Ilman tidak boleh keluar terlalu lama meluangkan masa bersama Nura Afyna. Dia perlu bergegas masuk ke pejabat semula. Nura Afyna menyuruh tunangnya menghantar dia ke Ipoh Parade. Ahmad Ilman menghantarnya setelah menyuruh Nura Afyna meminta izin daripada ayahnya. Secara tidak langsung, dia mampu mengajar Nura Afyna menghormati ayahnya apabila melakukan apa-apa keputusan. Setelah mereka disatukan, Nura Afyna perlu menghormati suaminya pula seperti menghormati ayahnya sebagai ketua keluarga. Nura Afyna dihantar di simpang jalan berdekatan Ipoh Parade. Ahmad Ilman meninggalkan mesej kepada bakal isterinya untuk menjaga diri dan menelefonnya kembali apabila sudah selesai. Ahmad Ilman menanamkan sikap bertanggungjawab dalam dirinya. Dia yang membawa keluar tunangnya, jadi dia jugalah yang menghantar kembali tunangnya ke rumah.
“Fyna, kau datang dengan siapa? Seorang diri ke?” tegur seorang lelaki di hadapannya.
“Eh, Asyraf. Yalah, aku datang sendiri. Nak beli barang sikit” jawab Nura Afyna sambil menunjukkan plastik berisi barang yang dibelinya tadi.
“Tak elok tahu keluar seorang diri, nanti jadi apa-apa, tak sempat nak kahwin dengan…” sepupunya sudah terlupa nama tunangnya.
“Ilman” jawab Nura Afyna ringkas.
“Oh Ilman, dahlah aku pergi dulu, jaga diri kau tu elok-elok. Aku nak balik dah ni, sebab Teha ajak aku pergi main rollerbladedekat Padang Polo petang ni”
Rollerblade? Cis Teha, dia tak bagitahu aku pun nak main petang ni. Dendam dengan aku ke pasal haritu” rengus Nura Afyna.
“Tulah kau, kan dah kena balik. Aku pun tak fahamlah dengan kau orang ni. Dahlah, aku pergi dulu. Nanti kirim salam dekat Pak Li dan Mak Ira ye” jawab Asyraf seperti menyalahkan Nura Afyna. Dia lantas berlalu pergi meninggalkan Nura Afyna dalam kesibukan manusia lalu lalang di depan kedai.
Setelah tamat waktu pejabat, Ahmad Ilman bergegas ke Ipoh Parade untuk mengambil Nura Afyna. Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, Nura Afyna sempat meluahkan isi hatinya yang tidak puas hati dengan Fatehah. Ahmad Ilman hanya mendengar dan mengangguk-angguk tanda faham.
“Ilman, sampai hati ya Teha buat Fyna macam ni”
“Sekejap, sebelum Fyna bebel panjang, Teha ni siapa?”
“Aduh, lupa pula nak kenalkan. Dia sepupu Fyna. Asyraf pun” Nura Afyna sedikit sentap. Punyalah panjang aku cerita, last-last dia tak faham isi cerita rupanya, rungut hatinya.
“Ilman kata Fyna membebel ke tadi? Atau salah dengar ni” marahnya.
“Eh, taklah. Salah dengar kut. Ilm kata sebelum Fyna bercerita panjang tadi” jawab Ahmad Ilman dengan cemas. Ni kalau aku ‘ya’kan saja, habis aku dikenakannya, kata hatinya.
“Oh” jawab Nura Afyna. Ahmad Ilman melepaskan nafas lega.

Di rumah, Ahmad Ilman juga bertungkus lumus mempersiapkan dirinya untuk menjadi seorang suami yang soleh, taat perintah agama. Hampir setiap waktu solat, dia akan ke masjid setelah berkumandang azan. Bukan sahaja solat berjemaah di masjid, dia akan meluangkan masa untuk mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang hadir. Dalam proses menjadi suami mithali, amat penting baginya mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Cinta ini hadirnya kerana Allah, dan Allah jualah yang berkuasa menumbuhkan rasa cinta di dalam jiwa setiap makhluknya. Sememangnya dia akan menjadi seorang ketua keluarga kelak seperti bapanya dan Encik Fadhli. Segala permasalahan perlu diselesaikan dengan cara yang baik. Tanpa ilmu dan pemahaman hukum agama yang betul, agak sukar untuk menerangkan solusi kepada setiap masalah kepada orang lain terutamanya kepada isterinya dan anak-anaknya kelak.
“Ilman, bapa nak tanya sikit ni” tanya Encik Hafizuddin usai Ahmad Ilman menyimpan al-Quran ke rak buku.
“Apa dia bapa, macam serius je” jawab Ahmad Ilman sambil membuka kopiah yang dipakainya tadi.
“Dah baca buku yang bapa bagi haritu”
“Buku yang mana satu ni, sekejap Ilman ingat balik. Oh.. buku ‘Fiqh Wanita’ tu? Aduh, Ilman lupa nak baca. Ada dalam plastik lagi. Nanti, Ilman baca”
“Ya, yang tu. Eloklah kamu baca juga buku tu, sebab nanti bila Fyna tak faham pasal hukum hakam berkaitan wanita, bolehlah kamu jawab dan ajarkan dia”
“In shaa Allah, Ilman akan baca buku tu. Terima kasih ingatkan Ilman”
“Sama-sama Ilman. Perempuan ni banyak masalah dia. Kadang-kadang tu dia lain daripada perempuan lain. Kebanyakkan masalahnya berkaitan jenis darah yang dia tanggung, puasa dan aurat”
“Ilman akan ingat selalu pesan bapa ni” 
Setiap minggu dia pasti melawat rumah anak yatim yang berdekatan rumahnya. Kunjungannya ke sana mampu menenteramkan jiwanya. Berkongsi kasih dengan anak-anak yatim merupakan perkara wajib baginya semenjak tiga tahun lalu. Dia bersyukur, walaupun kehilangan seorang ibu ketika berada di tingkatan lima, dia sempat merasai kasih sayang seorang ibu yang suci itu. Sedangkan anak yatim yang masih kecil hanya sempat merasai kasih sayang ibunya tanpa mengenal ibunya. Pilu hatinya melihat mereka bermanja dengan pengasuh mereka seakan-akan pengasuh itulah ibu dan bapa mereka. Kehadirannya sedikit sebanyak menggembirakan hati anak-anak yatim. Mereka memanggilnya dengan panggilan Abang Long. Kadang-kadang apabila dia tidak sempat ke sana, dia akan menelefon mereka bertanya khabar.
“Abang Long, jangan lupa datang hari ini. Hariz dan kawan-kawan dah rindu dekat Abang Long” riang suara Hariz bertanya Ahmad Ilman.
“Hariz, Abang Long tak dapat datang hari ni, ada hal sedikit” lembut tutur Ahmad Ilman.
“Laa, Abang Long kan dah janji nak bawa kami pergi taman hari ni. Tak nak kawan dengan Abang Longlah lepas ni” rajuk hariz.
“Hariz…, dengar cakap abang ni, Abang Long sayang Hariz, dah anggap macam adik sendiri, takkan tak nak kawan dah, nanti nak pergi taman dengan siapa?” pujuk Ahmad Ilman.
“Tapi, Abang Long dah tak sayang Hariz” sedikit tangisan kedengaran.
“Yalah-yalah, Abang Long datang, tapi lambat sikit. Jangan nakal-nakal tahu.” Ahmad Ilman sudah kalah dengan tangisan Hariz.
“Yeah!” jerit Hariz keriangan.



0 comments :

Post a Comment