Bab 4

Bab 4


BAB 4

“Teha, esok jangan lupa datang rumah aku” kata Nura Afyna dalam talian telefon.
            “Ya, aku ingat, takkanlah aku lupa ujian JPJ lusa ni” jawab Fatehah.
            “Lagi satu, aku nak minta maaf pasal haritu. Aku pun gurau dengan kau tidur dekat ruang tamu tu, sorry tahu.”
            “Dahlah, aku tak kisah. Ni mesti takut failkalau aku tak maafkan kau kan?”
            “Ish, kau ni, macam tahu je aku ni macam mana. Esok aku sediakan bilik yang indah untuk kau, kau jangan risau” luah Nura Afyna lalu tersenyum sendiri.
            Nura Afyna ingin menghadiri majlis reunion dengan kawan-kawan lama sekolah rendah. Majlis tersebut diadakan pada waktu malam di rumah kawannya. Encik Fadhli tidak mengizinkan anaknya pergi ke majlis itu. Dia berada di luar kawasan Perak kerana ada kursus yang perlu dihadiri selama seminggu. Nura Afyna tetap mahu pergi. Apabila teringatkan Ahmad Ilman ada di Ipoh dan boleh membantu menghantar Nura Afyna ke majlis tersebut, Encik Fadhli mengizinkannya.
            Nura Afyna bersiap-siap di dalam biliknya. Dia memakai gaun labuh berwarna ungu dan mengenakan tudung yang berkelip-kelip. Nura Afyna keluar dari rumah apabila kereta tunangnya berada di hadapan pagar. Ahmad Ilman terpesona dengan kecantikan Nura Afyna. Dia tidak berkata apa-apa, hanya tersenyum melihat Nura Afyna yang sedang mengatur langkah ke arahnya. Nura Afyna membalas senyuman Ahmad Ilman.
            “Fyna nampak indah malam ni” puji Ahmad Ilman apabila Nura Afyna meletakkan beg tangannya di tempat duduk kereta. Berdebar hati Nura Afyna dibuatnya. Betul ke apa yang aku dengar ni?, bisik hatinya.
            “Apa dia Ilman?” kata Nura Afyna untuk mendapatkan kepastian dengan kata-kata Ahmad Ilman sebentar tadi.
            “Fyna nampak menyerlah malam ni”
            “Oh, terima kasih” nafas lega dihembuskan. Pipinya sedikit kemerahan menahan malu. Sebelum beredar, Ahmad Ilman menyalami bakal emak mentuanya.
            Dalam perjalanan, Nura Afyna menceritakan perihal kawan-kawan di zaman sekolah rendah. Fasal kisah lucu, kisah gembira dan juga kisah sedih yang dilaluinya di sekolah. Nura Afyna begitu teruja untuk bertemu kembali dengan kawan lamanya. Sudah hampir lima tahun tidak menemui mereka. Nura Afyna terlepas kata yang dia pernah jatuh hati dengan seorang kawannya. Dia berharap dapat berjumpa dengannya dan ingin meluahkan perasaan. Ahmad Ilman yang teliti mendengar celotehnya sejak awal agak cemburu apabila Nura Afyna berkata demikian. Ahmad Ilman memberhentikan kereta tanda cemburu.
                        “Eh, kenapa tiba-tiba berhenti ni”
                        “Tak boleh!” jerit Ahmad Ilman.
                        “Apa yang tak bolehnya?”
                        “Aaa….Jalan depan tu matilah” Ahmad Ilman mencari alasan atas keterlanjuran katanya.
                        “Habis tu macam mana ni?” Nura Afyna buat-buat tidak tahu sedangkan dia sendiri mahu perangkap Ahmad Ilman supaya menunjukkan reaksi cemburu.
                        “Tak apa, ada jalan lain kalau belok kanan” helah Ahmad Ilman.
            Nura Afyna ketawa kecil. Ketawanya didengari Ahmad Ilman. Tunangnya juga ketawa namun bukan seperti dirinya malah lebih galak ketawanya. Dia memberhentikan ketawa kecilnya. Rasanya seperti dipermainkan oleh tunangnya.
                        “Jomlah gelak sama-sama, syok apa?” pelawa Ahmad Ilman.
                        “Tak naklah, Ilman macam mempermainkan Fyna je, macam tahu je apa yang ada dalam hati Fyna ni”
                        “Saya dah lama tak gelak, tulah gelak lebih-lebih tu”
                        “Suka hatilah” Nura Afyna memalingkan wajah ke arah luar cermin.
            Ahmad Ilman menumpukan perhatian terhadap pemanduannya. Tepat pada masanya, mereka sampai di depan rumah banglo kawan Nura Afyna. Nura Afyna tidak mengizinkan Ahmad Ilman menghantarnya ke dalam rumah. Dia takut kawan-kawannya mengata yang bukan-bukan terhadap dirinya. Ahmad Ilman hanya menurut. Malulah tu, kata hatinya. Mereka berjanji untuk bertemu semula pada jam sepuluh malam. Nura Afyna keluar dari kereta dan terus memasuki rumah tanpa memandang ke belakang. Walaupun lama lagi untuk majlis reunion habis, Ahmad Ilman hanya menunggu di luar rumah sambil bermain aplikasi telefon jenis adroidnya. Dia takut sesuatu terjadi kepada Nura Afyna. Baru beberapa minit berlalu, dia sudah gatal tangan menelefon Nura Afyna.
            Nura Afyna menutup suis telefonnya. Ganggu orang saja, getus hatinya. Pelbagai aktiviti yang dilakukan Nura Afyna bersama-sama kawan lamanya. Aktiviti pertama bertukar-tukar pandangan cita-cita mereka selepas tamat SPM. Nura Afyna memang dengan cita-citanya hendak menjadi ahli agronomi. Tiada sesiapa yang menyimpan cita-cita seperti dirinya.
                        “Untunglah orang tu, lain daripada yang lain” salah seorang kawannya bersuara.
                        “Eh, bukan aku seorang je, ramai lagi dekat luar sana”
                        “Hari tu aku jumpa kau kan?” Hazmi bersuara pula. Kawan-kawan yang lain sudah bersorak. Sememangnya Hazmi merupakan pelajar pintar dan mempunyai rupa seiras Fattah Amin. Jarang sekali dia menegur Nura Afyna waktu zaman sekolah. Ini pula bertanya Nura Afyna di hadapan kawan-kawannya. Pasti ada apa-apa yang tersembunyi di dalam hati.
                        “Kem ha..hari tu..ke, ya akulah tu, kau.. tak kenal muka aku ke waktu tu?” tergagap Nura Afyna menjawab. Maklumlah sudah lama tidak berjumpa dengan cinta hatinya.
                        “Aku kenal, just malaslah nak tegur waktu tu” ringkas Hazmi menjawab. Nura Afyna hanya membisu apabila kawan-kawannya sudah ketawa mendengar ceritanya.
                        Setelah makanan sudah tersedia di atas meja, mereka menjamu selera. Pelbagai jenis lauk yang sudah dibeli daripada tuan rumah kepada mereka. Itupun hasil duit mereka yang sudah dikumpulkan beberapa hari yang lalu. Mereka makan di ruang tamu sambil bersembang dan menonton televisyen. Setelah habis makan, Nura Afyna dan kawan-kawan perempuannya pergi ke dapur untuk membasuh pinggan mangkuk yang kotor. Semua kawannya menunjukkan sisi baik masing-masing, apalagi kalau bukan sikap rajin yang patut ada pada setiap wanita. Kawan-kawan lelakinya pula mengemas ruang tamu yang sudah sedikit tidak kemas.
                        “Kau orang tak ingat ke hari ni birthday siapa? Tak nak wish ke?” tanya Hazmi dengan selamba.
                        “Birthday siapa ya, tak ingat pula aku” kata seorang daripada kawan Nura Afyna. Nura Afyna sudah tergelak dalam hati, dia tahu hari ini hari lahir Hazmi.
                        “Takkan tak ingat kut, birthday akulah” kata Hazmi sambil menghela nafas berat.
                        “Aduh Hazmi, kau ni dah tua rupanya, tapi perangai tak berubah-berubah lagi. Dari dulu lagi kau yang asyik ingatkan kami pasal birthday kau” kata kawan yang lain.
                        “Yalah, aku tak nak nanti ada yang lupa birthdayaku ni” kata Hazmi tanpa rasa bersalah.
Jam telah menunjukkan pukul sepuluh malam. Namun, kelibat Nura Afyna masih belum keluar. Beberapa kali Ahmad Ilman mendail nombor telefon tunangnya, namun hampa yang diterimanya. Dia menjadi risau namun kerisauannya hilang dengan bersangka baik. Apabila sudah pukul sepuluh malam setengah, risaunya menjadi-jadi. Tak boleh jadi ni, aku mesti masuk ke dalam, desusnya. Ahmad Ilman keluar dari keretanya. Dia terus melulu ke rumah banglo itu.
                        “Fyna mana, Fyna?” sergahnya pada isi rumah. Semua orang memandangnya. Nura Afyna terus bangun dan menarik tepi bahu baju Ahmad Ilman keluar dari rumah.
                        “Apa tiba-tiba sergah, tak bagi salam pula tu?”
                        “Kenapa tak angkat telefon, dah pukul berapa sekarang ni”
                        “Alah, Fyna tutup telefon tadi, baru pukul sepuluh setengah”
                        “Baru! Tadi janji pukul sepuluh kan?”
                        “Yelah-yelah nak balik dah ni, pergi tunggu dekat kereta”
                        “Maaf ya, tadi tu…hah! sepupu aku, dia yang ambil aku malam ni” jelas Nura Afyna pada kawan-kawannya apabila riak wajah mereka semuanya tegang.
                        “Aku balik dulu ye, syok sangat luangkan masa dengan semua” kata Nura Afyna sambil berpelukan dengan kawan-kawan perempuannya.
            Nura Fyna melambai-lambai ke arah kawan-kawannya. Dia tidak berpuas hati dengan tindakan tunangnya. Tunangnya telah mungkir janji untuk menunggu sahaja di dalam kereta. Ahmad Ilman menjelaskan kepada Nura Afyna yang dia tidak bersalah dalam hal ini. Nura Afyna yang bersalah kerana tidak menepati janji. Mereka tidak bertegur sapa selepas itu walaupun ketika menurunkan Nura Afyna di depan pagar rumah. Selepas Nura Afyna keluar dari kereta, dia terus berlari ke arah pintu.
            Pada lewat malam, Ahmad Ilman menelefon Nura Afyna. Nura Afyna tidak mengangkatnya. Hatinya masih marah. Tunangnya tidak putus-putus menelefonnya. Namun, dia tetap berdegil tidak mahu mengangkat panggilan telefon. Peristiwa malam tadi benar-benar membuat Ahmad Ilman rasa bersalah. Dia mencari helah dengan menggunakan nombor telefon awam berdekatan rumahnya. Akhirnya, Nura Afyna mengangkatnya.
                        “Assalamualaikum” kata Ahmad Ilman.
                        “Tunggu..tunggu sekejap..” Ahmad Ilman berkata lagi sebelum Nura Afyna meletakkan telefon kembali.
                        “Apa bendanya, saya mengantuklah” nada mendatar Nura Afyna kedengaran.
                        “Saya nak minta maaf”
                        “Esok-esoklah.”
                        “Tak boleh!”
                        “Kenapa pula?”
                        “Sebab nanti ada yang tak tidur”
                        “Yelah-yelah, Fyna maafkan, tapi jangan malukan Fyna lagi”
                        “No problem. Yes! Yes!
                        “Jangan seronok sangat, macam budak-budak kecil saja”
                        “Bukan Fyna ke yang macam budak kecil ke?”
                        “Apa?” nada suara Nura Afyna terangkat.
                        “Okay..okay bye” Ahmad Ilman menutup talian mengelakkan diri daripada bercekik darah lagi.   
            Nura Afyna menggosok-gosok tangannya di pehanya. Rasa gelisah dan takut singgah dalam dirinya. Sebentar lagi, gilirannya untuk dibuat penilaian oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Giliran Fatehah sudah selesai beberapa minit yang lalu. ‘Ya Allah, harapnya dapat jalan B’ doanya semalam diingatnya kembali ketika pegawai JPJ mahu menentukan jalan yang harus dilaluinya. Jalan B yang akan dinilai adalah di kawasan perumahan. Bagi Nura Afyna, jalan itu lebih mudah daripada jalan A dan C yang perlu menghadapi lampu isyarat dan jalan berbukit.   
            “Alhamdulillah dapat jalan B” desisnya ketika menuju ke kereta untuk dinilai tahap kecekapan pemanduannya.
            Setelah melalui pelbagai tahap ujian iaitu dari ujian memarkir kereta sehinggalah ujian penilaian jalanraya, akhirnya dia mendapat markah lulus. Dia menjerit keriangan dalam hati. Orang pertama yang dihubunginya adalah Puan Mahirah.
            “Mak, Fyna dah lulus ujian memandu” luah Nura Afyna kepada emaknya sehingga ada air mata bertakung di tubir matanya.
            “Alhamdulillah, baguslah begitu” sambut Puan Mahirah dengan gembira. Dia juga menelefon ayahnya. Ayahnya juga gembira mendengarnya. Terima kasih Allah, syukurnya dalam hati.
            Nura Afyna membuka pintu rumah di pagi hari untuk bersenam bersama Syamira. Ada sebuah kotak kasut sederhana besarnya yang berbalut dengan bungkusan surat khabar berada di hadapannya. Dia mengambil kotak itu dan bertanya kepada emaknya sama ada mengetahui pengirim kotak tersebut. Emaknya tidak megetahui apa-apa mengenai kotak itu. Nura Afyna membuka kotak itu di ruang tamu. Rupa-rupanya sebuah kotak kosong yang hanya berisi sekeping kad jemputan. Kad jemputan?, tanya Nura Afyna di dalam hati. Bila diteliti, Ahmad Ilman yang mengirimkannya. Ahmad Ilman mengajaknya menemani dia ke Jamuan Makan Malam di Hotel Impiana. Nura Afyna sudah tersenyum-senyum. Dia teringin sekali makan di hotel. Dia terus menelefon Ahmad Ilman.
            “Assalamualaikum Ilman, apa maksud Ilman bagi kotak surat khabar ni?” duga Nura Afyna dengan nada tinggi.
            “Wa’alaikumussalam, sekejap. Apa marah-marah ni? Tak nak pergi ke?” balas Ahmad Ilman dengan sedikit getar. Terkejut dia dibuatnya, ingatkan Nura Afyna akan berterima kasih padanya.
            “Eh, mestilah nak pergi, Ilman ni…Fyna main-main je” kelam kabut Nura Afyna membalasnya. Risau tidak jadi pula ajakan Ahmad Ilman untuk membawanya ke hotel.
            “Tahu pun takut. Lain kali fikir dulu sebelum nak marah-marah, tak jadi pergi baru tahu” duga Ahmad Ilman pula.
            “Janganlah macam tu Ilman. Fyna nak pergi! Minta maaf okay” pujuk Nura Afyna.
            “Baiklah, maafmu ku terima, Fyna. Tapi ada syaratnya, pakai gaun ungu haritu. Malam ni siap cantik-cantik ya. Lepas solat magribh, Ilman ambil Fyna. Nanti Ilman minta izin dekat ayah dan mak.”
            “Terima kasih Ilman”
            Malam hari yang ditunggu-tunggu Nura Afyna dan Ahmad Ilman tiba. Ahmad Ilman datang ke rumah Nura Afyna seperti yang dijanjikan. Kali ini, Ahmad Ilman memakai baju yang warnanya sama seperti gaun Nura Afyna. Nura Afyna terkejut. Malulah kalau sedondon. Mesti ada orang kata yang bukan-bukan nanti. Tiba sahaja di hotel, mereka berjalan beriringan. Kawan-kawan Ahmad Ilman yang menjadi penyambut tetamu mengambil kehadiran mereka dan memberikan nombor meja. Meja yang hanya cukup untuk enam orang menjamu selera. Ketika mereka menuju ke tempat duduk, kerusi-kerusi yang lain telah ada orangnya, hanya dua kerusi yang masih kosong, sebelah-menyebelah.
                        “Ilman, siapa ni, kenalkanlah kepada kami semua?” sergah Haji Jefri.
                        “Haji Jef, kenalkan ni Fyna, tunang saya” perlahan-lahan Ahmad Ilman menutur kata.
                        “Saya Nura Afyna Fadhli” Nura Afyna memperkenalkan dirinya. Dia tersenyum manis tanda perkenalan.
                        “Nilah tunang Ilman ya, cantiknya, sedondon pula kamu berdua ni, sesuai sangat” puji isteri Haji Jefri.
Semua orang memuji kecantikan Nura Afyna. Nura Afyna yang dipuji, Ahmad Ilman pula yang senyum bahagia. Maklumlah bakal isteri cantik persis permata. Pada malam itu, mereka mendapat gelaran pasangan romantis memandangkan warna baju mereka yang sedondon dan kemesraan antara mereka mendapat perhatian ramai. Mereka dijemput ke pentas untuk menerima hadiah. Kesempatan itu, Ahmad Ilman menjemput rakan-rakannya untuk ke Majlis Perkahwinannya bersama Nura Afyna. Tepukan gemuruh diberikan. Nura Afyna hanya tersenyum, Ahmad Ilman sempat mengenyitkan mata kepada Nura Afyna yang berada di sisinya. Perkara itu mendapat perhatian semua orang. Mereka pasangan yang paling muda yang berada di majlis itu. Semasa pulang, mereka bersalaman sesama sendiri. Ahmad Ilman bersalaman dengan teman lelaki manakala Nura Afyna bersalaman dengan teman perempuan.
“Macam mana, Fyna gembira?” kata Ahmad Ilman sebaik mereka masuk ke dalam kereta.
“Hmm..”
“Tak gembira ke?” Ahmad Ilman seakan merajuk. Nura Afyna hanya mendiamkan diri.
“Lain kali tak nak bawalah Fyna, biar Ilman ajak perempuan lain” sambungnya lagi.
No way!
“Kenapa pula, cemburu ya?” kata Ahmad Ilman dengan tersengih-sengih.
“Mana ada” Nura Afyna memuncungkan mulutnya. Comel sekali seperti paruh burung puyuh.
“Gembiralah ni? Kalau gembira, cakap je lah” cabar Ahmad Ilman. Nura Afyna hanya memberi senyuman manis sambil memandang tunangnya. Mata mereka bertelagah dan hampir saja minda tunangnya melayang ke langit. Cepat-cepat tunangnya memandang ke hadapan semula, fokus pada pemanduan.



0 comments :

Post a Comment