Bab 5
BAB 5
Nura Afyna mengajak Fatehah untuk tidur di rumahnya. Banyak cerita yang ingin dia kongsikan dengan Fatehah. Walau sedingin manapun hubungan mereka, tidak pernah ada rahsia antara mereka terutamanya apabila melibatkan soal cinta. Itulah hubungan sepupu yang rapat dengan Nura Afyna sejak kecil.
“Teha, aku ada cerita baru ni” kata Nura Afyna ketika Fatehah sedang duduk di atas katil sambil membaca komik.
“Cerita apa? Pasal Ilman ke?” teka Fatehah.
“Yalah, siapa lagi yang tengah nak dekat dengan aku sekarang ni” balas Nura Afyna sambil duduk di sebelah Fatehah.
“Ceritalah, lepas tu kau pula dengar cerita aku” sekilas bahu Nura Afyna dipegang Fatehah.
“Kau tahu tak, waktu aku nak pergi reunion haritu, dia ada cakap ‘Fyna nampak indah malam ni’, aku pun apalagi, beremang bulu roma aku. Tapi bila aku tanya balik, dia kata ‘Fyna nampak menyerlah malam ni’. Mana satu yang betul sebenarnya? Ke aku yang tak dengar dengan jelas” leka Nura Afyna bercerita.
“Ish, suspenseaku dengar. Lelaki ni kadang-kadang dia cakap ikut sedap dia je tanpa memaksudkannya dalam hati. Dah kau cantik malam tu, dia cakaplah macam tu.”
“Emm, macam tu ya” muka Nura Afyna berubah. Dah tak seronok nak cerita lagi pasal Ilman, bisik hati Nura Afyna.
“Aku cakap pasal kebanyakkan lelaki yang ada dekat dunia ni, tapi kalau kau dapat rasakan apa yang ingin dia sampaikan waktu tengok kau, rasanya Ilman betul-betul mengucapkan yang kau indah malam tu. Kenapa? Dah jatuh hati ke?” balas Fatehah sehingga Nura Afyna kembali ceria dan tersenyum.
“Haha, aku jatuh cinta? Mungkin sikitlah”
“Baguslah kalau macam tu, sebab Ilman tu pun tak lama lagi jadi suami kau. Lebih baik kau mula terima dia sekarang, nanti senanglah nak honeymoon” meletus ketawa Fatehah. Nura Afyna sudah mula melayangkan tangannya. Pantas Fatehah lari keluar dari bilik. Sebenarnya waktu honeymoonaku dan Ilman kena buat mimpi indah ke?, getus hatinya.
Persiapan perkahwinan semakin siap. Hatinya begitu gelisah. Lagi sebulan dia akan bergelar isteri kepada Ahmad Ilman bin Hafizuddin. Lagi sebulan juga, dia tidur di kamar biliknya yang sudah hampir enam tahun berkongsi duka dan gembira bersamanya. Syamira tidak serik asyik mengenakan dia. Setiap kerja rumah yang emaknya suruh buat, pasti ada Syamira yang menyampuk.
“Wah, isteri mithali buat kerjalah”
“Mira, boleh diam tak, I’m still single, okay” marah Nura Afyna kepada adiknya.
“Memanglah Kak Fi single sekarang ni tapi sebulan lepas tu” tercetus ketawa Syamira.
“Yelah..yelah.. you win, fine” Nura Afyna buat muka tidak puas hati di hadapan adiknya. Adiknya selamba berjalan di hadapannya. Hatinya sebenarnya takut, takut terima gelaran ‘puan’. Macam tua sangat pula aku ni, getus hatinya.
Ahmad Ilman juga merasakan hal yang sama, dia risau dengan tanggungjawab yang bakal ditanggungnya. Menjadi seorang suami bukanlah hanya di atas nama tetapi tangggungjawab yang bakal dipikulnya itu termasuklah menerima sisi jahat Nura Afyna dan keturunannya nanti. Dia memikirkan peristiwa yang bakal terjadi pada hari pernikahannya. Dia berharap hari bersejarah buat dirinya dan bakal isterinya akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang mereka dari awal perkenalan. Setelah melakukan solat istikharah, dia menadah tangan dan berdoa kepada Illahi agar pilihannya adalah yang terbaik dan mendapat rahmat Allah. Selain itu, isterinya kelak yang bakal meningkatkan lagi keimanannya kepada Allah SWT apabila berkahwin kelak.
Kad jemputan diberikan kepada kawan-kawan dan ahli keluarga sebelah Ahmad Ilman dan Nura Afyna. Ada yang diberikan secara kiriman surat pos dan ada juga yang diberikan terus melalui serahan tangan. Baju pengantin sudah siap dan dibawa pulang ke rumah. Perkhidmatan katering, khemah, dan tok kadi juga sudah ditempah. Boleh dikatakan semua persiapan sudah siap sembilan puluh peratus. Hanya sedikit sahaja belum selesai. Mencari kumpulan kompang!. Pada awalnya, Nura Afyna tidak bersetuju dengan cadangan emaknya. Namun, mengikut adat keluarga Nura Afyna, pukulan kompang perlu ada semasa perarakan pengantin baru ke jinjang pelamin dan yang paling tidak tahannya ialah kumpulan kompang itu terdiri daripada kawan sekolah lamanya. Betapa malunya dia jika kawannya mengetahui perkara sebenar bahawa dia yang menjadi pengantin. Pengantin muda pula itu. Tapi buat apa malu, aku bukannya buat jahat, aku jadi isteri orang bukan sebab kena tangkap khalwat ke,kena tangkap oleh jabatan pencegahan maksiat ke, fikirnya di dalam hati.
“Barang hantaran mana ya?” Nura Afyna tercari-cari di dalam bilik emaknya.
“Emak, barang hantaran dah beli ke?” tanya Nura Afyna ketika emaknya sibuk di dapur.
“Mana mak tahu, kamu tak beli lagi ke?” muka Puan Mahirah terarah ke wajah anaknya.
“Aduh, belum lagilah mak” kata Nura Afyna sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Kamu pergilah beli dengan Ilman” cadang emaknya.
Nura Afyna memberitahu Ahmad Ilman tentang hal itu lantas ke AEON Stesen 18 pada waktu petang selepas tamat waktu pejabat. Nura Afyna mencari barangan wanita manakala Ahmad Ilman mencari barangan lelaki. Mereka pergi berasingan. Apabila semuanya sudah selesai, mereka berkumpul kembali di pintu utama pasar raya. Mereka mencari bekas-bekas hantaran yang cantik di kedai barangan pengantin bersama-sama. Warnanya mengikut tema majlis perkahwinan.
“Hai Fyna” tegur Hazmi apabila terjumpa kawan lamanya dari luar kedai.
“Hazmi?” Nura Afyna meninggalkan tunangnya dan bertemu dengan Hazmi.
“Buat apa dekat kedai ni, Fyna yang kahwin ke?” tanya Hazmi apabila kawan lamanya sudah berada di hadapannya.
“Emm… ya” jawab Nura Afyna tergagap-gagap.
“Tak mungkinlah. Bukan sepupu kau ke tu?” tanya Hazmi apabila perasan kelibat Ahmad Ilman menuju ke arahnya.
“Sebenarnya dia tunang aku” muka Hazmi berubah sama sekali. Kalau tadi, ketika mula-mula bertemu, manis-manis sahaja, tetapi sekarang tidak. Riak wajahnya seperti ada rasa kekesalan di hati.
“Oh ya ke, harap bahagia dengan dia” kata terakhir Hazmi menyusuk terus ke dalam jiwanya.
“Hazmi!” panggilnya apabila Hazmi terus meninggalkannya. Langkah Hazmi terhenti. Nura Afyna berlari mendekati Hazmi.
“Ni kad kahwin aku, datang ya!” katanya dengan memandang lantai dan terus meninggalkan Hazmi tanpa menunggu jawapan daripada kawan yang pernah bertakhta di hatinya suatu masa dahulu.
Setelah habis membayar barang keperluan majlis kahwin di kaunter, mereka pulang ke rumah. Barang-barang diletakkan di dalam rumah Nura Afyna. Hari minggu nanti, baru tunangnya datang mempersiapkan hantaran bersama-sama. Kata-kata Hazmi masih terngiang-ngiang di telinganya. Adakah Hazmi juga menyimpan rasa sepertiku dulu? Kenapa mukanya terus berubah sedih kalau dia tak ada apa-apa perasaan terhadapku, desis hatinya.
“Kak Fi, kenapa termenung ni, teringatkan Abang Ilman ke? Bukan baru jumpa ke tadi” sergah Syamira dari pintu bilik.
“Eh, Mira, tak ada apa-apalah”
“Kongsilah dengan Mira, mana tahu Mira boleh tolong” pujuk Syamira sambil kakinya berjalan menuju katil, tempat kakaknya duduk.
“Kakak okay je, Mira jangan risau, pergilah buat kerja sekolah” balas Nura Afyna apabila Symaira sudah berada di katil.
“Yalah Kak Fi, tapi jangan sembunyi masalah daripada Mira ya!” Syamira turun dari katil untuk keluar bilik.
“Mira, Mira tunggu sekejap”
“Laa, kenapa? Dah ubah fikiran?” Syamira senyum perli.
“Apa-apa jelah, nak tolong tak ni? Tolong senyap dan dengar, no comment no recommendation”
“Amboi banyaklah dia punya syarat. Okay, no problem”
“Ingat tak Hazmi kawan sekolah rendah Kak Fi? Terserempak dengan dia tadi. Tapi, bila Kak Fi kata dah nak kahwin, muka dia terus berubah”
“Jadi?”
“Dia ada hati dekat Kak Fi tak rasanya ya?” tanya Nura Afyna.
“Jawablah” sambungnya apabila Syamira hanya mendengar ceritanya dengan berkelip mata berkali-kali. Haih, pendengar setia betul, desis hatinya.
Saat berganti minit, minit berganti jam, jam berganti hari, dan hari-hari dilalui Nura Afyna dengan sabar sehingga tibalah hari minggu. Ya, hari Ahad yang Nura Afyna nanti-nantikan. Hari untuk bertemu dengan Ahmad Ilman walaupun atas urusan menguruskan barang hantaran.
“Ribbon?” tanya Ahmad Ilman.
“Check” pantas jawab Nura Afyna.
“Kotak?”
“Check”
“Apa lagi ya?”
“Glu panas, bunga dan bakul untuk buah-buahan”
Mereka tekun menghias kotak hantaran. Bakal pengantin sendiri yang kena buat semua ni. Emak dan ayah Nura Afyna hanya tolong sedikit dalam bahagian lagi seperti bahagian buah tangan dan menghias bilik pengantin. Memandangkan majlis perkahwinan yang bakal dilangsungkan hanyalah secara sederhana, maka sumber tenaga manusia untuk menyiapkan persiapan perkahwinan seboleh-bolehnya dilakukan oleh keluarganya sendiri tanpa perlu mengupah mana-mana pihak.
Ahmad Ilman mengajak tunangnya bersiar-siar pada minggu seterusnya iaitu dua minggu sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan mereka. Tunangnya bersetuju tetapi ada syarat yang diberikan tunangnya. Syamira mesti ikut sekali ketika dia bersiar-siar dengan tunangnya. Pada awalnya, dia keberatan tapi dia ada satu idea. Dia menyuruh Syamira membawa sekali kawan. Nura Afyna akhirnya bersetuju. Syamira membawa kawan sekelasnya. Mereka menuju ke Taman Bunga. Hati Nura Afyna berdebar-debar. Kenapa Ilman membawa aku ke sini?, tanya hatinya. Syamira dan kawannya pergi ke suatu sudut yang tidak jauh dari tempat kakaknya dan bakal abang iparnya berada.
“Boleh tak saya tutup mata Fyna?” tanya Ahmad Ilman sambil menunjukkan riben di tangannya.
“Kenapa? Ilman nak tunjuk apa dekat Fyna? Atau Ilman ada niat lain hah!” Nura Afyna bingung seketika. Dia duduk di atas bangku.
“Tak adalah benda bukan-bukan. Fyna percayakan Ilman kan? Ilman ada something special nak tunjuk dekat Fyna” kata tunangnya sambil mengikat riben di belakang kepalanya.
“Apa benda Ilman?”
Shh.., tanda diam. Ahmad Ilman terus meminta bantuan semua orang yang ada di taman itu untuk beredar seketika. Nampaknya rancangan dia setakat ini berjalan lancar. Dia membuka gulungan tali yang dibelinya dan diletakkan di sekeliling taman sehingga penamat talinya tadi tidak akan dapat ditemui dalam waktu yang singkat.
“Ilman! Ilman! ” jerit Nura Afyna setelah beberapa minit tiada apa-apa yang berlaku. Dia sudah berasa cemas. Dia segera membuka ikatan riben. Dilihatnya tiada sesiapa di sekelilingnya. Hanya dia seorang yang masih duduk diam di bangku itu. Mana orang lain?, gusar hatinya. Dia bangun dari bangku, dan tersedar sesuatu. Ada tali panjang di atas rumput. Tali itu memanjang terus ke depan. Dia mencari penghujung tali. Dia berjalan dan terus berjalan namun tiada penghujungnya. Akhirnya, dia berputus asa dan mendail nombor telefon tunangnya. Tidak diangkat. Mesej diterima beberapa saat kemudian.
+Jumpa tak penghujung tali tu?
-Tak
+Fyna, tali itu umpama cinta saya
-Cinta…
+Cinta saya pada Fyna tak akan ada penghujungnya, seperti tali ini yang tidak akan Fyna jumpa penghujungnya
Tubir mata Nura Afyna bertakung sehingga tidak mampu ditanggungnya lagi. Air matanya mengalir di kedua-dua belah pipinya. Ayat tunangnya betul-betul menyentuh hatinya. Ahmad Ilman menghampirinya. Bunga anggerik berwarna ungu dihulurkan kepadanya. Nura Afyna tidak dapat menahan sebak di dada. Dia menangis sepuas-puasnya sebelum sempat dia mengambil bunga yang dihulurkan oleh tunangnya.
“Fyna, sudikah Fyna menjadi teman hidup Ilman?” kata Ahmad Ilman setelah tangisan tunangnya menjadi reda. Nura Afyna hanya mengangguk lantas menyambut bunga itu.
“Ambil tisu ni, jangan nangis lagi” Ahmad Ilman menghulurkan dua helai tisu kepada Nura Afyna. Nura Afyna mengelap air matanya dengan lembut.
“Ilman, mana semua orang, Fyna takut betul tadi”
“Semua orang? Haha, semua dah balik, Ilman halau” Ahmad Ilman cuba berjenaka.
“Betul-betul lah” Nura Afyna mengecilkan matanya sedikit.
“Okay..okay.. ada, mari sini ikut Ilman” Ahmad Ilman membawa Nura Afyna ke sebuah pondok kecil. Di situ ramai orang berkumpul.
“Happy birthday to you, happy birthday to Fyna, happy birthday to you!” lagu hari jadi dinyanyikan khas untuknya. Baru dia teringat, hari ini hari jadinya. Tidak disangkanya, Ahmad Ilman akan meraikan hari jadinya di tempat romantik seperti ini.
“Allah selamatkan kamu, Allah selamatkan Nura Afyna! Selamat hari lahir Nura Afyna. Semoga Fyna sentiasa dalam rahmatNya. Ilman akan jaga Fyna dengan baik, semampu Ilman, in shaa Allah” Ahmad Ilman pula menyanyi berseorangan apabila nyanyian hari jadi tamat. Lagu hari jadi yang dinyayikan Ahmad Ilman diakhiri dengan sedikit ucapan.
Dia malu dan tertunduk seketika. Terima kasih Ilman, desis hatinya. Orang-orang di hadapannya tidak pernah dia kenali kecuali adiknya dan kawan adiknya. Sungguh berani tindakan tunangnya, semuanya dilakukannya hanya untuk meraikan hari jadinya.
“Terima kasih semua, maaf menyusahkan awak semua” ucapnya sambil menundukkan sedikit badannya.
Kek hari lahir dipotongnya manakala Ahmad Ilman menolong mengambil gambarnya. Kemudian, Nura Afyna bergambar dengan adiknya dan akhir sekali bergambar bersama Ahmad Ilman dan kawan adiknya. Kek dipotong sama rata supaya cukup untuk tetamu tidak diundang. Mereka beredar setelah Ahmad Ilman memberi ole-ole seorang satu. Kini, tinggal mereka berempat. Syamira dan kawannya masih mengunyah kek. Ahmad Ilman menghulurkan ais limau kepada Nura Afyna. Senyuman meleret diberikan Nura Afyna kepada Ahmad Ilman.
“Fyna okay ke?”
“Okay” dengan senyuman masih terpamer di wajahnya.
“Fyna gembira sangat hari ini, Ilman betul-betul ceriakan hati Fyna” sambungnya.
“Ilman gembira bila Fyna gembira. Bagi Ilman kegembiraan Fyna paling utama dalam hidup Ilman sekarang”
“Ilman ni, ada-ada je lah” Nura Afyna tersipu malu. Lagilah meleret senyumannya.
Inilah kali pertama dia merasakan dirinya dicintai dan dihargai oleh seorang lelaki yang lebih tua daripadanya. Ilman, aku juga cintakan kau, bisik hatinya. Kegembiraannya hari ini tak akan dia lupakan.
oleh: Anggerik Mekar

0 comments :
Post a Comment