Bab 7
BAB 7
Majlis perkahwinan di sebelah keluarga Ahmad Ilman berlangsung dengan meriahnya namun tidak semeriah seperti majlis di sebelah keluarga Nura Afyna. Kebanyakan tetamu adalah kawan pejabat Ahmad Ilman dan ahli keluarga Encik Hafizuddin. Tema warna hari ini ialah warna kegemaran Ahmad Ilman iaitu warna merah. Jadi, menyerlah sungguh majlis yang dilangsungkan secara ringkas namun mampu memberikan kepuasan kepada Nura Afyna dan suaminya. Sepanjang majlis berlangsung, ada deejay yang mengawal lagu. Di akhir majlis, deejay menjemput Nura Afyna dan Ahmad Ilman untuk memberikan ucapan.
“Saya jemput pengantin baru kita untuk berikan ucapan, dipersilakan” kata deejay yang bertugas.
“Assalamualaikum semua, terima kasih datang ke majlis kami” Ahmad Ilman berucap apabila mikrofon berada di tangannya. Nura Afyna yang berada di sebelah Ahmad Ilman hanya tersenyum.
“Boleh ceritakan sedikit macam mana Ilman boleh terpikat dengan Fyna” tanya deejay apabila Ahmad Ilman seakan mahu memberikan kembali mikrofon kepadanya.
“Oh.. soalan susah ni, haha. Macam mana nak cerita ya sayang?” jawab Ahmad Ilman sambil memandang isterinya. Nura Afyna hanya menjengketkan bahunya.
“Nampak gayanya isteri saya pun tak tahu jadi biarlah saya ceritakan. Saya mula terpikat dengan Fyna waktu mula-mula saya bertemu dengan dia. Waktu tu saya rasakan ketenangan dalam hati saya. Senyuman dia yang membuat saya bernekad untuk bertemu dia lagi. Saya tak sangka yang Fyna anak kepada bosssaya iaitu bapa mentua saya sekarang ni. Terima kasih ayah sebab terima Ilman sebagai menantu ayah. Dan Sayang, terima kasih sebab sudi jadi isteri saya. Saya akan kekalkan senyuman yang pernah Sayang lemparkan dulu dan memberi lebih lagi senyuman dalam hidup kita selepas ini” luah hati Ahmad Ilman. Nura Afyna yang mendengarnya sudah berkaca-kaca matanya menahan rasa terharu. Ahmad Ilman lantas menggenggam tangan isterinya. Betapa dia serius akan kata-katanya tadi.
“Sweetnya Ilman. Fyna tak nak tambah apa-apa ke?”
“Fyna…” luah Nura Afyna dalam tergetar-getar. Mikrofon ditutup suisnya. Dia lantas memandang suaminya untuk mendapat kekuatan dan berbisik sesuatu di telinga suaminya. Ahmad Ilman menundukkan sedikit bahunya agar dapat mendengar kata isterinya.
“Ilman lah cakap, Fyna tak tahu nak cakap apa-apa” tuturnya lembut. Ahmad Ilman hanya mengangguk tanda faham.
“Nampak gayanya isteri saya ni… malu nak ceritakan dekat semua. Tapi, saya tahu dia pun rasakan apa yang saya rasa. Tak begitu sayang?” sengaja Ahmad Ilman mengusik isterinya. Nura Afyna mengecilkan matanya sedikit memandang suaminya. Ketawa meletus dari kalangan tetamu yang mendengar dan diakhiri dengan tepukan. Nura Afyna dan Ahmad Ilman mula beredar dari tempat deejay berada. Mereka mula bersalaman dengan tetamu-tetamu yang masih berada di bawah khemah.
Rumah sewa yang dibeli Ahmad Ilman sebelum berkahwin dengan Nura Afyna ditunjukkan kepada Nura Afyna setelah majlis selesai. Nura Afyna tidak menyangka secepat ini suaminya sudah ada rumah. Aku ingat dia nak aku duduk rumah bapa dulu sementara belum ada rumah, yalah rumah bapa dia tu besar, dua tingkat, desis hatinya.
“Sayang, marilah ke sini, tolong abang kejap” rayu Ahmad Ilman kepada isterinya yang masih termenung di luar rumah.
Nura Afyna berasa begitu malu apabila Ahmad Ilman membahasakan dirinya dengan panggilan sayang. Kalau semalam dan pagi tadi mungkin dia tidak ambil kisah, tapi sekarang, fikirannya benar-benar waras.
“Apa sayang-sayang, panggil Fyna cukuplah, geli telinga ni mendengarnya. Dahlah bahasakan diri dengan abang.” kata Nura Afyna.
“Tak boleh ke?”
“Tak”
“Suka hatilah nak kata apa, abang tetap nak panggil sayang” Ahmad Ilman menegakkan pendiriannya.
“Yelah,yelah” Nura Afyna akhirnya mengalah.
“Macam tulah, barulah syok” suaminya mecolek hidungnya dengan jari telunjuk.
Syok? Apa yang syoknya, kata hatinya. Walaupun Nura Afyna menjawab dengan tidak sopan terhadap suaminya, namun dia tetap membantu suaminya mengemas barang-barang keperluan yang mereka dapat. Kini dia berada di pangkuan Ahmad Ilman yang telah sah menjadi suaminya. Memandangkan rumah sewa Ahmad Ilman berdekatan, mereka pulang sekejap ke rumah sewa.
“Kenapa nangis ni? Kita kan baru kahwin, senyumlah sikit” Ahmad Ilman memujuk isterinya apabila menyedari air mata isterinya megalir membasahi pipi semasa mereka mengemas barang-barang yang ada.
Ahmad Ilman terus menyeka air mata Nura Afyna dengan ibu jarinya. Mata mereka bertelagah. Denyutan nadi Nura Afyna menjadi laju. Dia kemudiannya tersenyum. Ahmad Ilman pun membalas senyuman manis itu.
“Sebenarnya Fyna rindu dekat mak dan ayah” jawab Nura Afyna perlahan.
“Sayang janganlah menangis, rumah kita tak jauh pun, kalau Fyna rindu dekat mak dan ayah, kita boleh ke sana” pujuk Ahmad Ilman.
Sebenarnya Ahmad Ilman begitu kekok untuk memujuk isterinya tetapi memandangkan dia telah menjadi ketua keluarga, dia gahkan juga untuk memujuk isterinya. Betapa bahagianya dirinya saat ini. Dapat menikahi insan yang dicintainya. Berapa ramai yang memikatnya dulu, akhirnya Nura Afyna juga yang menjadi jodohnya. Niat ikhlasnya akhirnya termakbul.
Setelah semuanya selesai dan waktu sudah hampir senja, mereka pulang ke rumah bapa Ahmad Ilman. Bilik yang bakal mereka tidur malam ini tidaklah dihias seperti bilik pengantin di rumahnya. Tapi cukup kemas dan sedap mata memandang. Bilik itu merupakan bilik Ahmad Ilman.
“Abang rasa malam ni macam nak buat sesuatulah” Ahmad Ilman memecahkan kesunyian semenjak masuk ke dalam biliknya.
“Buat apa?” balas Nura Afyna dengan pandangan kosong pada suaminya.
“Buat… apa yang selalu orang buat, takkan sayang tak faham” tutur Ahmad Ilman sambil kakinya menghampiri isterinya yang sedang memasukkan kain kotor ke dalam bakul. Nura Afyna ligat memikirkan apa yang selalu orang buat waktu sekarang.
“Sekejap… maksud Ilman…suami isteri buat ke?” balas Nura Afyna sambil mengundur beberapa langkah ke belakang apabila suaminya mula mengorak langkah.
“Janganlah lari sayang, ke… sayang memang nak ni?” kata Ahmad Ilman sambil menjengket-jengket keningnya. Nura Afyna yang mendengarnya sudah tidak keruan. Habislah aku malam ni, mak tolong!, jerit hatinya. Dia hampir ke pintu tandas lalu dia masuk ke dalam kamar mandi dan mengunci pintu. Ahmad Ilman tidak sempat menahan perbuatan Nura Afyna. Pintu tandas diketuk beberapa kali. Nura Afyna hanya membisukan diri. Dia terduduk ketakutan lalu teringat kembali kata-kata emaknya sewaktu pulang dari tempat spa.
“Nenek kata kahwin ni bukanlah benda main-main. Perkahwinan dibina atas satu tujuan iaitu mengelakkan diri daripada melakukan zina. Bila kita dah kahwin, tanggungjawab yang dulunya di bahu ayah sudah diserahkan sepenuhnya kepada suami kita. Betapa Allah menjaga perempuan ni, sehingga tidak membiarkan perempuan ni hidup sendirian. Hidup perempuan ni perlukan pelindungan daripada ayahnya dan seterusnya suaminya pula. Jadi, bila Allah dah serahkan tanggungjawab itu kepada suami, maka wajiblah kita taat pada dia pula. Tanggungjawab dia bukan sedikit tahu, bukan hanya diri kita yang perlu dijaganya malah anak-anak kita kelak harus dipikulnya” nasihat emaknya dengan penuh penghayatan.
Tok..tok…
Bunyi pintu diketuk masih kedengaran. Ahmad Ilman masih tidak mahu mengalah. Nura Afyna tersedar dari khayalannya. Memang benar nasihat emak, aku dah jadi isteri dia, bisik hatinya. Dia mengumpul kekuatan untuk berdiri dan menarik nafas panjang. Dia membuka kunci dan melangkah keluar. Dengan selamba dia keluar dari tandas dan lalu dihadapan suaminya tanpa ada satu suara pun. Dia duduk di atas birai katil.
Ahmad Ilman terkejut apabila isterinya berlagak tenang. Tadi bukan main lari dari aku, sekarang pula dengan selambanya berlalu depan aku, desis hatinya. Dia lalu membuntuti Nura Afyna lalu duduk disebelah isterinya.
“Buatlah” kata Nura Afyna ringkas. Dia beri aku lampu hijaulah, bisik hati Ahmad Ilman sehingga tersenyum lebar.
“Betul ni sayang? Tak menyesal?” duga Ahmad Ilman sambil memegang bahu isterinya.
“Nak ke tak? Limited time tahu, kalau lambat, Fyna tukar fikiran” ugut Nura Afyna.
“Ish mestilah nak, bismillahirahmanirahim” jawab Ahmad Ilman pantas lalu bibirnya mula mendekati bibir Nura Afyna. Nura Afyna memejamkan matanya rapat.
Tuk…tuk…
Bunyi ketukan melenyapkan nafsu Ahmad Ilman yang sudah mahu mencium bibir isterinya untuk pertama kalinya. Aduh, siapa pula ketuk pintu ni, getus Ahmad Ilman. Dia lantas bangun dan pergi membuka pintu. Bapanya memandangnya lama seperti ada yang tidak kena dengan dirinya.
“Ya bapa, ada apa?” tanya Ahmad Ilman sambil menggaru-garu kepalanya.
“Oh Ilm, maaf sebab ganggu kamu. Bapa ada siapkan makan malam, jomlah kita makan bersama” jawab bapanya yang masih memakai apron.
“Makan malam ya bapa, baik. Sayang, mari makan” Ahmad Ilman memanggil isterinya yang masih duduk di atas katil.
Mereka turun ke tingkat bawah untuk menjamu selera. Diatas meja tersedia ikan taucu dan sambal tumis yang dimasak oleh Encik Hafizuddin. Nasi dicedok oleh Nura Afyna ke pinggan suaminya dan bapa mentuanya. Air kosong sudah tersedia isi dalam cawan seramik berbunga-bunga coraknya.
“Fyna, sedap ke bapa masak ni?” tanya Encik Hafizuddin setelah selesai mengunyah makanan.
“Sedap bapa, Fyna suka. Dah macam chef terkenal bapa ni” puji Nura Afyna.
“Sayang tak tahu lagi, bapa ni sebenarnya dah masak banyak lauk, semua sedap macam arwah ibu” tambah Ahmad Ilman.
“Ya? Patutlah Ilman…” kata-kata Nura Afyna tergendala apabila suaminya pantas berdehem-dehem. Ish, Fyna ni, panggil Ilman pula, nasiblah bapa sedang mengunyah makanan, jadi tidaklah terlalu dengar, getus Ahmad Ilman. Dia lantas berbisik di telinga isterinya yang berada di sebelahnya. Panggil abang, bukan Ilman, suaranya mengisi rongga telinga Nura Afyna.
“Maksud Fyna, patutlah abang Man selalu makan dekat rumah” Nura Afyna membetulkan ayatnya yang tergantung.
“Mestilah, dia tu dari dulu kalau tak makan masakan bapa ni, mesti jadi kurang selera bila makan makanan lain” kata bapanya setelah meneguk air kosong.
Perut sudah kenyang dan Ahmad Ilman meminta izin untuk masuk ke dalam bilik semula. Nura Afyna masih berada di dapur mengemas meja makan dan membasuh pinggannya dan suaminya. Meja tadi dilap dengan kain basah yang sudah diperah airnya. Bapa mentuanya memberikan beberapa buku berkaitan hal perihal perempuan yang diambil dari rak buku di bilik bacaan.
“Fyna, ni ada buku yang arwah ibu mentua kamu tinggalkan. Kalau tersimpan dalam rak nanti tak ada siapa yang akan membacanya. Kamu bacalah, dapatlah pahala isteri bapa nanti dalam kubur” kata Encik Hafizuddin sambil menghulurkan beberapa buah buku.
“Baiklah bapa, terima kasih. In shaa Allah, arwah ibu akan sentiasa mendapat pahala” kata Nura Afyna. Dia mengukir senyuman. Bapa mentuanya membalas.
“Bapa, Fyna naik dulu ya” Nura Afyna bersalam dengan bapanya sebelum menaiki anak-anak tangga. Dekat rumah aku tak adalah tangga ni semua, maklumlah banglo setingkat je, desis hatinya. Ni kalau setiap hari aku turun naik, mesti maintain badan aku yang slim ni, sambungnya lagi.
Dari jauh, Nura Afyna melihat pintu bilik sudah tersedia buka. Dia teringat kembali agenda yang tergendala sebelum makan malam tadi. Agaknya dia ingat lagi ke, atau jangan-jangan dia dah tunggu atas katil siap pakai minyak wangi, tekanya dalam hati. Nafas ditarik sedalam-dalamnya dan dilepaskan secara perlahan-lahan. Aku kena berani, tekadnya dalam hati. Selangkah kakinya masuk ke dalam bilik, sosok tubuh suaminya tidak kelihatan. Lampu bilik air juga gelap. Mesti kosong bilik air tu, desisnya.
“Ilman, Ilman…” panggilnya. Sepi, tidak kedengaran satu suara pun kecuali bunyi kipas di siling yang ligat berputar semenjak tadi. Dekat bawah kut, duganya. Dia berjalan menuju ke katil.
Kriiik.. bunyi pintu ditutup. Nura Afyna menelan air liurnya sukar. Siapa yang tutup pintu ni?, tanyanya dalam hati. Apabila Nura Afyna menoleh ke belakang, Ahmad Ilman sudah berada di hadapannya.
“Ilman…” kata Nura Afyna dengan sedikit getar dan ditahannya rasa gelisah daripada jelas kelihatan.
“Shh!” desis Ahmad Ilman sambil jari telunjuk berada di bibirnya. Dia lantas menutup suis lampu kalimantang dan ditekan suis lampu mentol berwarna jingga. Keadaan bilik menjadi kelam. Bahu Nura Afyna disentuh Ahmad Ilman dan mata mereka bertautan lama sebelum ciuman pertama hinggap di bibir Nura Afyna. Nura Afyna memejamkan matanya dan tanpa sedar dia terpengsan di bahu Ahmad Ilman. Perasaan apakah ini?
“Sayang, sayang okayke ni?” kata Ahmad Ilman apabila tubuh isterinya menjadi longlai. Ciumannya tadi tergendala.
“Fyna tak kuat Ilman” katanya lemah lalu matanya terpejam semula. Tak kuat apa?, desis hati Ahmad Ilman. Dia mendukung isterinya untuk dibawa ke katil. Badan isterinya diletakkan perlahan-lahan di atas katil. Selimut ditarik menyelimuti badan isterinya. Dia duduk di sebelah isterinya sambil meraup wajahnya. Apa aku dah buat tadi, terlalu terdesak ke aku?, jerit batinnya. Bibirnya dipegang dan berbunga hatinya seketika tatkala teringatkan bibirnya bertemu bibir isterinya. Ah… ni semua nafsu punya pasal. Dia pengsan sebab apa ya? Tidak sihat ke?, desis hatinya. Maafkan abang sayang, katanya sambil mengucup dahi isterinya. Dia berlalu pergi ke kamar mandi untuk bersuci. Setelah itu, dia berbaring di sebelah isterinya dan berkongsi selimut.
Kring..Kring…
Bunyi loceng bertandang di telinga Nura Afyna. Pinggangnya masih dirangkul suaminya. Dia mengangkat tangan suaminya untuk keluar dari pelukan suaminya. Semalam apa yang dah terjadi? Betul ke Ilman cium aku semalam?, desis hatinya sambil diusap-usap bibirnya. Dilihat suaminya masih lena dibuai mimpi. Dia mengejutkan suaminya untuk solat subuh.
“Ilman bangunlah, kita solat subuh” kejutnya sambil mengoncang lembut bahu suaminya. Ahmad Ilman menggeliat lalu bangun dari terus terbaring dan duduk seketika. Matanya masih pejam.
“Sayang mandi dulu ya” suara seraknya kedengaran. Nura Afyna lantas mengambil tuala di ampaian sebelum masuk ke dalam kamar mandi. Apabila Nura Afyna sudah berada dalam kamar mandi, Ahmad Ilman mengambil tualanya pula untuk mandi di kamar mandi bilik tetamu. Dia sempat kemaskan katil sebelum keluar dari biliknya. Sepucuk surat diletakkan di atas bantal isterinya. Surat itu ditulisnya semalam semasa menunggu isterinya naik ke bilik.
Nura Afyna keluar dari kamar mandi dan melihat katil sudah dikemaskan. Matanya tertumpu pada sampul surat yang ada di atas bantalnya. Surat itu dibukanya dan dikeluarkan isi surat. Panjangnya kandungan surat ni, bisiknya. Ahmad Ilman masuk ke bilik dengan bertuala paras pinggang. Nura Afyna menyimpan semula suratnya. Dia yang masih bertuala segera mencapai bajunya di dalam almari.
“Dah ambil wuduk belum?” tanya Ahmad Ilman sambil berjalan menuju kearah almari baju.
“Belum lagi, lepas pakai baju ni, baru nak ambil wuduk” Nura Afyna cuba menjawab dalam tercungap-cungap dia memakai baju.
“Abang pun belum lagi” kata Ahmad Ilman sambil tangannya melilit pinggang Nura Afyna dari belakang.
“Ilman nak buat apa ni?” cemas Nura Afyna dibuatnya.
“Abang nak peluk sayang, rindu sebab semalam tak sempat buat apa-apa, sayang dah pengsan” balas Ahmad Ilman sambil dipejam matanya menikmati kehangatan tubuh isterinya.
oleh: Anggerik Mekar

0 comments :
Post a Comment