Bab 9
BAB 9
Sepanjang hari Nura Afyna bersama suaminya. Suaminya banyak mengajarkan dia untuk bersabar dalam apa jua ujian yang Allah berikan kepadanya. Malam semalam dia sempat membaca surat yang ditulis suaminya tempoh hari.
Assalamualaikum sayang,
Bila abang lafazkan akad nikah di dalam masjid semalam, hati abang bergetar. Abang tahu tanggungjawab yang bakal abang tanggung selepas ini lebih besar. Tanggungjawab abang bukan sahaja terhadap isteri abang tetapi terhadap agama dan masyarakat. Jadi, sementara hubungan kita masih baru, abang ingin nyatakan sesuatu untuk isteri yang abang sayang atas nama Allah.
Abang mahu berterima kasih kerana sudi menjadi isteri abang. Kekurangan dan kelebihan sayang akan abang terima dengan hati terbuka. Terima kasih meyerahkan jiwa dan raga sayang untuk abang. Akan abang jaga dirimu sebaiknya.
Tugas abang sebagai seorang suami termasuklah memberikan nafkah zahir dan batin untuk sayang. Nafkah zahir seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Nafkah batin pula seperti memberikan belaian kasih, mengajarkanmu tentang agama dan memenuhi keperluan batinmu. Abang katakan ini untuk sayang faham dan sama-sama kita bertolak ansur dan saling melengkapi dalam membina keluarga yang sakinah, mawaddah, dan rahmat. Sakinah: kecenderungan kepada suami/isteri yang membawa kepada ketenangan, mawaddah:rasa cinta, rahmat: kasih sayang.
Bila abang alpa dengan tanggungjawab abang, ingatkan kembali abang. Abang hanyalah hamba Allah yang tidak terlepas dari melakukan dosa. Ingatkan abang untuk terus mencintai Allah dan Rasulullah. Ingatkan abang untuk terus menyayangi sayang walau seberat mana ujian yang Allah letakkan dalam diri sayang untuk menguji diri abang.
Abang
Serangkap demi serangkap Nura Afyna membaca surat itu dengan penuh penghayatan. Abang…, desis hatinya. Air mata sudah bertakung di tubir matanya sehingga tidak dapat ditampungnya lagi. Malam yang hanya diterangi cahaya lampu mentol jingga menemani dirinya. Surat itu disimpan rapi di dalam laci sebelah katil. Malam ini, kenapa abang Man tidak memeluk diriku, masih marahkah dia terhadapku?, gusar hatinya. Dia lantas menarik tangan suaminya untuk berada di pinggangnya. Namun, ditarik semula oleh suaminya.
Petang hari menjelma dan hati Nura Afyna tidak sabar untuk menjenguk adiknya di hospital. Dia mengajak bapa mentuanya dan suaminya untuk melawat adiknya bersama. Syamira masih berada di dalam wad dengan tangan kirinya masih berbalut simen manakala tangan kanannya dicucuk tiub sebagai tempat penyaluran cecair glukosa sebagai sumber tenaga. Hati Nura Afyna begitu sayu melihat keadaan adiknya namun tatkala dia sedang membaca al-Quran, khabar gembira diterimanya. Jari jemari Syamira mula bergerak perlahan-lahan. Puan Mahirah yang melihat keadaan itu terus memanggil doktor. Dia menelefon menantunya di kiosk hospital supaya datang ke wad dengan segera. Doktor melihat keadaan Syamira dan seterusnya memerhatikan matanya pula. Setelah beberapa minit berlalu, Syamira mula menunjukkan refleksi yang positif. Matanya perlahan-lahan dibukanya. Di saat itu, Nura Afyna mendekati Syamira.
“Adik, ni kakak, sedarlah adik” Nura Afyna mengejutkan adiknya. Ahmad Ilman dan Encik Fadhli tiba di depan katil.
Akhirnya Syamira tersedar dari koma. Semua yang melihatnya menyatakan rasa syukur.
“Alhamdulillah Mira dah sembuh. Mira ingat mak tak?” emak membuka bicara.
“Mak? Kenapa dengan tangan saya” Syamira membalas.
Puan Mahirah yang mendengarnya pun sedih. Anak yang dikandungnya sembilan bulan tidak mengingatinya.
“Doktor, macam mana dengan anak saya ni?” soal Puan Mahirah kepada Dr. Azri.
“Saya harap puan bersabar. Mungkin dia koma sudah dua hari. Puan perlu memberikan ruang dan waktu untuknya mengingati semua yang telah terjadi”
Encik Fadhli mengusap kepala Syamira sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran. Mereka pulang ke rumah setelah segalanya siap dikemas. Syamira yang masih dalam keadaan separuh sedar hanya mampu duduk di kerusi roda milik hospital untuk membawanya masuk ke dalam kereta. Mereka semua berkumpul di rumah Encik Fadhli. Zafrin yang menerima panggilan telefon daripada Encik Fadhli turut ke rumah mereka.
“Mira, saya minta maaf atas apa yang terjadi, sayalah yang telah melanggar awak ketika awak bermain basikal” pinta Zafrin ketika melawatnya di dalam biliknya. Syamira yang mendengar hanya mampu mengangguk-angguk kepala.
“Saya ma..afkan a..wak, tapi sa..ya tak ingat apa-apa yang telah terjadi kepada saya” Syamira membalas.
Ya Allah, apa dosaku sehingga menyebabkan dia lupa. Dia terlalu baik sehingga dapat memaafkan aku yang sangat kejam terhadapnya, bisik hati Zafrin. Semuanya berbicara dengan Syamira dan berharap dia akan sembuh sepenuhnya.
“Mira, kakak buatkan minuman coklat yang Mira suka, minumlah”
“Terima kasih kakak”
“Adik, cuba adik tengok gambar ni” Nura Afyna menunjukkan sebuah album percutian tahun lalu. Syamira hanya mampu tersenyum, dia begitu ceria di dalam gambar itu. Tetapi, apabila ditanya sama ada dia ingat atau tidak, hanya gelengan kepala menjadi jawapannya.
Ahmad Ilman mahu berpindah ke rumah barunya yang telah disewa. Rugilah kalau duit sudah dibayar, namun masih belum menghuninya. Setelah pulang dari melawat rumah ayah mentuanya, dia memandu ke rumah bapanya untuk mengemas segala keperluan yang diperlukan.
“Abang Man kemas semua ni, nak ke mana? Nak tinggalkan Fyna sendiri ke?” tanya Nura Afyna yang masih berasa bersalah dengan suaminya.
“Eh, siapa kata abang nak tinggalkan sayang. Mari sini, kita kemas sama-sama. Hari ni kita bawa semua barang kita, kita pindah ke rumah baru”
“Ingatkan abang Man nak tinggalkan Fyna sebab Fyna buat abang Man marah semalam” kata Nura Afyna sehingga dia terduduk dan tunduk memandang lantai.
“Sayang, hal semalam jangan diungkit lagi ya, abang tak marah dah” pujuk Ahmad Ilman sambil mendekati isterinya yang masih tertunduk.
“Fyna sayangkan abang Man” air mata Nura Afyna sudah menitis ke lantai. Ahmad Ilman mengusap-usap peha isterinya cuba menenteramkan hati isterinya.
“Abang juga sayang. Dah, jangan nangis-nangis ya. Abang tak kemana-mana pun” pujuknya lagi lantas menarik lengan isterinya untuk turut serta mengemas pakaian mereka. Nura Afyna hanya menurut perbuatan suaminya. Terima kasih ya Allah. Moga Abang Man tidak marahkan aku lagi, getar juga hatiku tatkala mendengar Abang Man berkata dia redha denganku, tahap pasrah dah tu, desis hatinya.
Barang-barang sudah dikemaskan dan dimasukkan ke tempat penumpang di dibahagian belakang. Hanya beg baju yang dibawa mereka kerana keperluan lain sudah disediakan Ahmad Ilman sebelum berkahwin lagi. Sebelum bertolak, mereka meminta izin daripada bapa mereka. Beberapa minit dalam perjalanan, Nura Afyna sudah tertidur di dalam kereta. Ahmad Ilman pula fokus dengan pemanduannya sambil mendengar radio. Lagu-lagu bertemakan country pop sedang diputarkan oleh deejay radio. Hampir 20 minit berada di dalam kereta barulah mereka sampai di hadapan rumah sewa.
“Sayang, mari masuk. Kita dah sampai rumah baru kita” kejut Ahmad Ilman dari sisinya. Nura Afyna bangun dari tidurnya lalu membuka pintu kereta untuk keluar. Ahmad Ilman turut keluar dari kereta. Dia membuka pintu belakang kereta untuk mengambil beg bajunya dan isterinya. Nura Afyna membuka kunci jeriji besi kemudian pintu utama rumah.
“Wah, cantiknya!” Nura Afyna terpaku dengan susunan perabot di dalam rumah baru mereka.
“Cantikkan. Abang yang kemaskan. Waktu sayang datang sini haritu, tak sempat kemas, sekarang… ini hadiah abang untuk sayang” kata suaminya sambil memeluk sisi isterinya. Mereka yang masih berada di hadapan pintu mula masuk. Ucapan salam diucapkan oleh Ahmad Ilman dan Nura Afyna serentak. Rumah satu tingkat yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air itu diterokai oleh Nura Afyna. Ahmad Ilman hanya duduk di atas sofa sambil menyandar di kepala sofa. Alhamdulillah Fyna suka, terima kasih ya Allah, luahnya dalam hati.
Apabila malam tiba, setelah makan berdua di atas meja, Nura Afyna masuk kedalam bilik. Hatinya disapa angin duka. Ahmad Ilman melihat perubahan sikap isterinya yang meninggalkan dia sendirian di dapur. Dia lantas meletakkan pinggannya dan mangkuk yang berisi sisa lauk ke dalam singki. Dia bergegas masuk ke dalam bilik setelah ditutupnya lampu dapur. Nura Afyna duduk disebalik almari baju yang juga terhadang dengan ampaian baju. Dia tidak mahu suaminya melihat dirinya yang sedang berduka. Namun, tangisannya didengari suaminya lantas suaminya mendekatinya dan memimpinnya untuk duduk di atas katil. Dia mengadu kepada suaminya terhadap kesedihannya. Ahmad Ilman yang mendengarnya sangat tersentuh dengan kata-kata isterinya.
“Sayang, kita kena banyak bersabar dan berdoa moga suatu hari nanti Mira akan sembuh” dia cuba memujuk isterinya supaya tidak terlalu sedih.
“Tapi Fyna takut Abang Man, Fyna takut dia tak kenal lagi kita, tak ingat semua memori waktu Fyna dan dia bersama-sama dulu” Nura Afyna cuba menghilangkan rasa takut yang sentiasa berlegar di fikirannya.
“Sayang, sebenarnya semua ini kehendak Allah, kita sebagai hambaNya harus kuat menghadapinya, abang akan tetap di sisi sayang mengharungi semua ini” Ahmad Ilman menenangkan hati isterinya lantas memeluk isterinya erat. Lama pelukannya dibalas isterinya.
Nura Afyna berasa sungguh sedih. Belum selesai lagi sedihnya kerana ada orang yang iri hati terhadapnya dan ingin menghancurkan hidupnya bersama suaminya, kini datang lagi kesedihan. Walaupun pada mulanya dia berasa malu untuk berkongsi masalah dengan suaminya, tetapi dia tidak mampu menghindarinya kerana suaminya sentiasa ada disaat hatinya direlung kesedihan. Alang-alang Abang Man sudah ada sisi, luah jugalah perasaanku ni, bisik hatinya. Lama-kelamaan Ahmad Ilman mula memahami diri isterinya yang mudah tersentuh dan manja.
Nura Afyna dapat tidur dengan tenang bersama suaminya pada malam pertama mereka berada di rumah baru. Suaminya memeluk pinggangnya waktu tidur seperti selalu. Alhamdulillah, abang Man dah sudi peluk aku, syukurnya dalam hati. Sedihnya pada keadaan adiknya juga sudah kurang apabila suaminya memberikan kata-kata semangat kepadanya.
“Sayang, mari kita solat tahajud, sempat lagi ni” kejut Ahmad Ilman.
“Tahajud? Baiklah” Nura Afyna terus terbangun apabila suaminya mengejutnya.
Ahmad Ilman sudah siap mengambil wuduk di dalam kamar mandi. Dia menunggu isterinya di atas sejadah. Mulutnya terkumat-kamit berzikir kalimah ‘La Illaha Illah’. Setelah isterinya sudah memakai telekung, dia bangun melakukan solat sunat tahajud mengimamkan Nura Afyna. Solat sunat taubat dan solat sunat hajat turut dilakukan mereka diselangi dengan zikir dan berselawat ke atas Rasulullah. Angin malam berhembus lembut masuk ke dalam bilik mereka melalui tingkap yang tidak tertutup rapat. Tubuh Nura Afyna menggigil sedikit ketika solat sunat taubat dilakukan mereka. Setiap alunan surah-surah dari kitab suci al-Quran didengarinya dengan tenang. Getar rasanya mengenangkan dosa yang dilakukannya. Dalam sujud terakhir solat sunat hajat, Ahmad Ilman sujud lama sedikit dan doa nabi Yunus dibacanya sebelum berdoa dalam hati hajatnya.
Selesai solat sunat, mereka menunggu azan solat subuh berkumandang. Ahmad Ilman memandang ke belakang untuk melihat makmumnya. Isterinya memejamkan mata sambil bibirnya terkumat-kamit membaca sesuatu.
“Sayang okay” tegurnya.
“Baik abang Man” jawab isterinya lantas memandangnya dengan tatapan yang sangat menyenangkannya.
“Surat abang dah baca?” tanyanya lagi. Isterinya mengangguk tanda membenarkan kata suaminya.
“Abang cuba sayang, untuk menunaikan tanggungjawab abang” katanya dengan matanya dipejamnya seketika.
“Fyna tahu abang Man” kata terakhir isterinya sebelum azan subuh berkumandang.
Mereka serentak bangun untuk menunaikan solat subuh berjemaah. Ahmad Ilman membaca iqamat sebelum mengangkat takbir. Satu per satu rukun solat dilakukannya dengan penuh khusyuk. Nura Afyna merasa tenang menunaikan solat bersama suaminya. Di hatinya tumbuh satu perasaan yang sukar untuk digambarkan olehnya sendiri. Di saat ini dirinya merasa dekat dengan Ar-Rahim dan dia sedar segala yang berlaku adalah dalam perancangan Allah dan disebalik setiap kejadian yang menimpanya pasti ada hikmahNya.
Nura Afyna pergi ke dapur untuk menyiapkan sarapan. Roti diambil dari bekas plastik dan disapunya dengan sapuan coklat berkacang. Roti yang sudah disiapnya diletakkan di atas pinggan. Minuman coklat dibancuhnya memandangkan hanya ada serbuk koko yang disediakan oleh suaminya dalam rumah ini.
Ahmad Ilman keluar dari biliknya untuk ke dapur. Isterinya sudah menghidangkan makanan di atas meja. Senyuman diukirnya sambil melihat isterinya dari jauh. Nura Afyna menyambut senyuman suaminya lalu menarik kerusi untuk suaminya duduk di situ.
“Sayang, sedaplah aroma susu coklat ni, dari dalam bilik abang bau” puji Ahmad Ilman sambil duduk di kerusi.
“Ya ke abang Man, mesti Fyna terlupa tutup pintu bilik tadi” jawab Nura Afyna dengan harapan suaminya dapat menangkap gurauannya.
“Nasib baik pintu tu terbuka, kalau tak mesti aroma tu ke rumah sebelah, habis isteri abang dikebasnya” gurau Ahmad Ilman lantas mereka berdua ketawa bersama.
“Apa abang Man ni, takkanlah disebabkan aroma, orang lain nak kebas Fyna. Yang sepatutnya mereka kebas adalah susu coklat ni” ketawa Nura Afyna menjadi-jadi.
“Rasanya abang seorang je yang fikir macam tu, sebab tengah angau dengan sayang” Ahmad Ilman sambung ketawa.
“Ish, ada-ada je abang Man ni. Jomlah makan, nanti perut penuh dengan angin je, bukannya roti dan susu ni”
“Ya lah sayang, kita baca doa dulu” akhirnya mereka menjamu sarapan setelah penat ketawa.
Kesihatan Syamira semakin hari menunjukkan reaksi positif. Nura Afyna dan Ahmad Ilman melawat Syamira di waktu petang Ahad. Mereka membawa Syamira keluar untuk mengambil angin di Taman Bunga. Syamira hanya senyap ketika berada di dalam kereta. Dia memandang ke arah luar sambil jarinya bermain sendiri.
“Mira, ingat lagi tak Taman Bunga ni?” tanya Nura Afyna apabila Ahmad Ilman memarkir kereta di hadapan papan tanda ‘Taman Bunga’.
“Mira rasa kita pernah datang sini kan, dengan Abang Ilman kan?” jawab Syamira sedikit gagap.
“Mira! Betul tu, Mira dah ingat, Alhamdulillah” kata Nura Afyna lantas memeluk adiknya.
“Jom kita keluar Sayang, Mira” ajak Ahmad Ilman yang telah berdiri di luar kereta.
“Waktu tu kan Mira, Kak Fi takut sangat bila abang Man tinggalkan Kak Fi dekat meja ni” kata Nura Afyna apabila mereka duduk di meja yang pernah menjadi sejarah indah dalam hidupnya.
“Ya, lepas tu… Abang Ilman suruh Mira dan kawan Mira halau orang dekat sini kak. Mira takut.. tapi abang Ilman ugut Mira” luah Syamira.
“Apa! Abang Man ugut apa dekat Mira?” tanya Nura Afyna sambil memandang suaminya yang sedang leka melihat alam.
“Huk..huk..” terbatuk Ahmad Ilman dibuatnya.
“Abang..tak ugutlah, Mira ni, bongkar rahsialah pula” balas Ahmad Ilman lalu memandang isterinya dan adik iparnya saling bergantian.
“Mira, apa yang Abang Man ugutkan?” tanya Nura Afyna lagi.
“Oh, Abang Ilman kata kalau Mira tak nak halau orang lain, dia culik Kak Fi” ketawa Syamira meletus. Nura Afyna terpinga-pinga melihat adiknya ketawa. Mira dah boleh ketawalah, alhamdulillah, syukurnya.
oleh: Anggerik Mekar

0 comments :
Post a Comment