Bab 1

Bab 1


BAB 1

Kilat yang sambar-menyambar di udara menggegarkan jiwa setiap insan yang mendengarnya. Kerunsingan berlegar di hati seorang gadis bernama Nura Afyna. Dia berasa begitu tertekan dengan peristiwa yang telah dilaluinya pagi tadi.
“Betul ke keputusan aku ni? Kenapa aku terburu-buru? Bukankah aku masih muda?” persoalan demi persoalan terluah dari kotak suaranya.
“Ahhh” Nura Afyna menjadi buntu. Persoalan itu pastinya hanya membuat jiwanya jauh dari takdir sebuah kehidupan.
Rombongan daripada pihak lelaki telah datang ke rumahnya untuk merisik sekaligus meminangnya pagi tadi. Lelaki itu tidak pernah dia kenali di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Mana mungkin ditemuinya di universiti, sedangkan dia baru selesai menduduki peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ayah kata dia baik, sopan, dan pekerja yang paling muda dalam pejabat. Dia juga ambil bidang yang sama dengan ayah. Bidang kejuruteraan awam yang sangat dikenali ramai” bicara Nura Afyna sendirian di hadapan cermin muka.
“Tapi ni bukan seperti yang aku mahukan, itu semua ciri-ciri yang ayah suka. Pastinya nanti ayah boleh menjadi kawan yang sangat rapat dengan dia. Yalah, sama bidang, sama pula minat” sambungnya lagi sambil memandang tepat matanya  di cermin. Dia beralih ke belakang dan naik ke atas katil.
‘Tak pasal-pasal aku kena kahwin dengan dia, dahlah tak kenal, ada hati datang ke rumah nak meminang aku. Tapi kenapa aku yang dipilihnya?’ dia mendengus sendirian. Semahu-mahunya dia menangis di kamar tidurnya. Dia menerkap mukanya ke bantal peluk. Berguling-guling dirinya di atas katil.
Aku dah jadi tunangan orang, masa yang berlalu tidak mungkin berpatah balik, ikatan tetap ikatan, janji tetap janji, katanya dalam hati. Keputusan itu dibuatnya atas dasar taat kepada emak dan ayahnya. Tetapi dia tidak tahu alasan emak dan ayahnya memilih lelaki itu sebagai peneman hidupnya kelak.
Rombongan pihak lelaki datang ke rumahnya tanpa pengetahuannya. Hanya bisikan yang didengarinya daripada perbualan antara emak dan ayahnya yang memberi petanda kepadanya akan datang seorang lelaki asing mengambilnya sebagai kekasih halal. Pada mulanya dia menganggap perbualan itu hanya gurauan semata-mata. Tidak mungkin ada ibu bapa yang menjodohkan anak pada usia yang muda. Keluarganya bukannya kesempitan wang atau mempunyai masalah yang serius sehingga perlu mengahwinkan anak untuk meringankan beban keluarga. Hidupnya selama ini sudah bahagia. Cukuplah sekadar keperluan hidup dipenuhi oleh keluarganya. Adanya sebuah keinginan hanyalah untuk melengkapkan keperluan yang sedia ada.
“Fyna, nanti ada tetamu khas nak datang rumah kita, pergi bersiap, pakai baju kurung yang mak baru beli tu” kata Puan Mahirah dengan nada sedikit serius.
“Tetamu mana pula ni, kawan lama mak ke?” berdebar-debar hatinya ingin mengetahui gerangan tetamu yang akan datang ke rumahnya.
“Nanti kamu tahulah” kata terakhir Puan Mahirah menimbulkan rasa ingin tahu yang mendalam di hatinya.
Dia segera masuk ke kamar mandi, membersihkan badannya. Dia mencapai gantungan baju kurung berwarna hijau daun di dalam almari pakaian. Selendang dipakainya dan dililit di kepalanya. Sedikit solekan asas menutupi pori-pori kecil dialaskan ke mukanya.
“Fyna, tetamu dah sampai, pergi bancuh air” kata Puan Mahirah sejurus bersalaman dengan tetamu khas yang ditunggu-tunggu sejak awal pagi.
Nura Afyna membawa sebuah dulang yang berisi cawan-cawan kosong bersama seteko air teh yang panas. Perlahan-lahan dia melangkah kaki membawa dulang dengan berhati-hati walaupun hatinya sedang berteka-teki gerangan tetamu yang bertandang di rumahnya. Syamira membawa sebuah dulang berisi sepinggan pisang goreng. Mereka menghidangkan minuman dan makanan di atas meja empat segi sama yang berada di tengah ruang tamu. Setelah itu, mereka bersalaman dengan tetamu perempuan dan hanya senyum sekilas kepada tetamu lelaki. Syamira mula melangkah keluar dari ruang tamu untuk masuk ke biliknya semula manakala Nura Afyna pula disuruh duduk di sebelah emaknya. Di hadapannya bukan sahaja seorang wanita dan lelaki seusia Puan Mahirah dan Encik Fadhli, namun ada seorang lagi sosok tegap seorang lelaki berpakaian kemeja berkotak-kotak yang berwarna hijau. Dia terpandang lelaki itu namun segera dialihkan pandangannya ke arah emaknya. Sebutir demi sebutir perkataan yang dilontarkan ayahnya didengari dengan begitu peka.
“Sebelumnya kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi datang ke rumah kami hari ni” Encik Fadhli memulakan perbualannya.
 “Nilah anak dara kami” Puan Mahirah memperkenalkannya kepada tetamu itu. Dia hampir pengsan. Matanya dipejam celik beberapa kali. Lain macam je bunyinya, siap kenalkan aku dekat mereka pula. Dah macam aku yang menjadi tunggak kepada perbualan ini. Adakah tetamu ini cuba merisikku? ,hatinya berkata-kata meminta kepastian.
“Saya datang bersama kakak saya dan anak teruna saya sebenarnya ada hajat besar, mahu merisik anak tuan menjadi isteri kepada Ilman” kata Encik Hafizuddin dengan tenang.
Betul ke apa yang aku dengar ni?, muka Nura Afyna sudah kemerah-merahan menahan malu di hati. Apa semua ni, aku jadi isteri dia?, tanyanya di dalam hati.
“Harap tuan punya badan sudilah terima hajat kami” kata Puan Rusnani ketika memandang tepat ke arahnya.
‘Apa nak jawab ni, kalau temu duga, memang tak pass lah.. , dia hanya tersenyum-senyum sedangkan minda memerah idea.
“Kalau diam tandanya setuju tu” sambung Puan Rusnani.
Belum sempat dia membuka mulut, Puan Rusnani sudah bergerak menghampirinya. Puan Rusnani duduk di sisinya untuk menyarungkan cincin tanda persetujuan ditunangkan dengan Ahmad Ilman. Matanya bertakung dengan air mata di saat cincin emas disarungkan ke jari manis tangan kanannya namun segera diseka dengan lengan baju kurungnya. Dia sendiri tidak tahu ini air mata sedih ataupun gembira. Setelah itu, rombongan lelaki membawa masuk beberapa dulang hantaran dan dibalas pula dengan beberapa dulang daripada keluarganya. Bila masa mak siapkan ni? Macam mana aku tak perasan ni, tanyanya di dalam hati.
“Mengikut adat dan hukum Islam, tempoh perkenalan yang paling minimum adalah tiga bulan. Jadi, kami tetapkan pertunangan ini selama tiga bulan untuk Fyna dan juga Ilman saling mengenal luar dan dalam diri masing-masing” kata Encik Fadhli ketika sesi perbincangan tarikh perkahwinan.
Ahmad Ilman membisu seribu bahasa. Hanya anggukkan yang dipamernya ketika sesi itu berlangsung. Kadang-kadang diselangi dengan senyumannya yang manis. Nura Afyna yang memerhatikan Ahmad Ilman seperti mahu termuntah. Apa yang lawak sangat entahlah, dia mendengus kecil. Dia berasa bosan di saat ibu bapanya berbincang perihal perkahwinannya. Nak angguk pun, aku bukannya faham apa-apa. Dia pun mengambil telefon bimbitnya sambil diamati wajahnya sendiri di skrin telefon. Aku ni cantik sangat ke sampai ada orang masuk meminang ni? Perasannya kau, hampir meletus gelaknya  namun semampunya dia menekup mulutnya.
Keluarganya dan keluarga pihak lelaki mengambil gambar tanda kenangan. Mereka bergambar bersama di satu sudut rumahnya yang berlatarkan wallpaper sebuah taman yang indah. Setelah itu, Nura Afyna bergambar berdua sahaja dengan Ahmad Ilman.            
“Senyum Fyna” Encik Fadhli menegur anaknya apabila melihat Nura Afyna bermasam muka. Ahmad Ilman yang berada di sebelah turut memandang Nura Afyna sambil tersenyum. Comelnya bakal isteri aku ni!
Senyuman yang diukir terasa pahit sekali. Ketinggiannya rendah hanya setanding dengan bahu Ahmad Ilman. Mahu sahaja dicubit-cubit lengan lelaki itu. Geram! Setelah sesi bergambar, Encik Hafizuddin meminta diri untuk pulang. Barang-barang hantaran yang sudah bertukar tangan dibawanya sekali. Encik Fadhli dan Puan Mahirah mengiringi tetamu mereka sehinggalah kereta Encik Hafizuddin hilang dari pandangan mata mereka. Nura Afyna terus masuk ke dalam bilik.

        “Mak, kenapa mak atur hidup Fyna, Fyna tak tahu apa-apa, lepas tu datang pula secara mengejut, mak memang sengaja rahsiakan hal ini dari Fyna kan” bertubi-tubi dia menyoal emaknya setelah malam berganti siang.
            “Mak tengok kamu ni asyik termenung jauh, dulupun kamu tersalah pilih teman, kawan dengan budak nakal, mak risau peristiwa pahit itu berulang” jelas riak risau di wajah Puan Mahirah.
            “Tapi bukan macam ni caranya, kalau mak kata baik-baik, bolehlah Fyna pertimbangkan, tapi sekarang ni mak dah buat Fyna terkejut, betul-betul buat Fyna rasa nak larikan diri dari rumah ni”
            “Ayah, tolonglah ayah, Fyna tak nak kahwin dengan lelaki tu, Fyna tak cintakan dia!” dia mengadu kepada ayahnya pula.
            “Ayah harap kamu terima pertunangan ni, untuk kebaikan kamu juga. Kamu cubalah kenal-kenal dulu dengan Ilman. Jika baik, teruskanlah perkahwinan ini. Tapi kalau sebaliknya, itu bukanlah kuasa ayah. Kita serahkan segalanya kepada Allah. Ayah yang akan tanggung dosa kalau ayah memaksa kamu. Kamu ikhlas ke Fyna?”
            “Ayah, walaupun Fyna tahu Fyna terpaksa pada awalnya, tapi Fyna redha kalau lelaki itu yang bakal menjadi suami Fyna. Dah tak ada jawapan lain, Fyna akan ikhlaskan. Ayah tak perlulah risau. Memang salah Fyna tidak menolak hajat mereka tadi.” Nura Afyna tidak mahu ayahnya berasa bersalah. Dalam hukum agama, memang tidak sah sebuah perkahwinan jika sang isteri berkahwin atas dasar paksaan.
Keputusan telah diputuskan. Dia tetap juga akan berkahwin di usia yang muda bersama lelaki yang tidak dicintainya. Pelbagai persoalan bermain di mindanya. Alasan emaknya sudah dia ketahui, tetapi apa pula alasan ayahnya. Bukankah ayah lebih rapat dengan Ilman, satu pejabat lagi tu, desis hatinya. Memang benar kata emaknya. Semenjak peristiwa dua tahun yang lalu, dia asyik termenung dan mengasingkan diri daripada mana-mana lelaki termasuklah ‘abang kantin’ di sekolahnya. Setelah peristiwa itu, dia berpindah ke sekolah baharu.
Nura Afyna pernah mencintai seorang lelaki ketika dirinya masih di tingkatan tiga. Namun, lelaki itu mengambil kesempatan terhadapnya. Disangkakan kawan, rupa-rupanya duri dalam daging. Dia pernah melihat kekasihnya bersama perempuan lain berdua-duaan menuju sebuah pondok kosong dan melakukan perkara terlarang. Sehari selepas itu, kekasihnya mengajaknya belajar di luar rumah. Tanpa banyak berfikir, dia memutuskan hubungan dengan kekasihnya. Selepas peristiwa itu, hatinya tertutup rapat untuk jatuh cinta.
Mungkin salah aku, terlalu percayakan cinta, sampai tak pandai bezakan lelaki yang baik dan lelaki yang kurang akhlaknya, katanya sendirian di dalam bilik. Dia akur dengan takdirnya. Mungkin ini jodohnya yang sudah tertulis di Luh Mahfuz. Seorang lelaki yang tidak pernah hadir dalam hidupnya dan secara tiba-tiba muncul dalam hidupnya menyatakan terus niat murni untuk menjadikan dia sebagai kekasih yang halal dari sisi agama dan undang-undang.
Semalaman dia mengurung diri di dalam bilik. Setelah makan malam di ruang dapur, dia terus berada di dalam bilik menenangkan dirinya yang sudah terasa seperti ada arus elektrik yang mengalir laju dalam badan. Secara fizikalnya, dia belum bersedia apalagi soal hati yang sukar untuk ditafsir dengan kata-kata.
“Kak Fi, kak Fi” panggil Syamira sambil mengetuk pintu bilik Nura Afyna.
“Apa dia Mira? Esok-esok jelah kita sembang. Kak Fi tak ada mood” jeritnya dari sebalik pintu.
“Kalau kak Fi perlukan bahu untuk bersandar, Mira ada di luar ni, mak ayah dah masuk bilik” kata Syamira sebelum meninggalkan Nura Afyna yang mahu bersendirian. Nura Afyna yang mendengar terus membuka pintu.
“Mira, kejap… nak bahu!” Syamira pandang ke belakang dan memandang kakaknya yang sudah tertunduk. Dia menghampiri kakaknya dan dipeluknya erat. Lama kakaknya dalam dakapannya. Nura Afyna seakan menyalurkan cas negatif dalam badannya terus ke badan adiknya. Lega rasanya.
“Mira tahu kak Fi sedih dengan apa yang dah terjadi hari ini. Sebenarnya Mira dah tahu perancangan mak dan ayah yang nak tunangkan kakak dengan lelaki tu. Cuma tak tahu pula seawal ni kak Fi akan ditunangkan” kata Syamira setelah Nura Afyna melepaskan pelukan. Riak wajah Nura Afyna sedikit sedih.
“Tak apalah Mira, benda dah jadi pun. Sekarang, kakak kena terima hakikat, mungkin ini yang terbaik.”
“Macam tulah Kak Fi, jangan sedih-sedih, seronok apa ada orang nakkan kita” Syamira mula menggeletek pinggang Nura Afyna. Nura Afyna gelak kegelian.
Lagi tiga bulan dia akan melangkah ke alam baru, alam rumah tangga. Dalam masa tiga bulan juga, ayahnya menyuruh dia mengenali Ahmad Ilman dengan lebih rapat. Dari sudut kecil hatinya, dia tidak bersedia lagi untuk menjadi isteri orang. Usianya baru mencecah 18 tahun. Dia masih muda untuk berumah tangga.

 “Ilm, kau pasti ke pilihan kau tu betul. Kahwin dengan dia? Aku pun tak sangka secepat tu kau dengan dia dapat bertunang” Zulfahmi bertanya kepada kawan rapatnya ketika makan tengah hari di kafe pejabat.
“Aku pasti Zul, lagipun aku tak mahu panjangkan lagi masa bujang, aku inginkan seorang teman yang akan setia mengharungi kehidupan ini bersama”
“Tapi aku tak rasa begitu, dia masih muda dan ingin menyambung pelajaran, takkan disebabkan Encik Fadhli, kau terus setuju”
“Aku dah nekad nak berkahwin dengannya sebelum orang lain mencintainya. Semenjak kali pertama aku melihatnya, aku dah jatuh cinta dengan keindahan akhlaknya. Wajahnya yang mempesonakan betul-betul membuat hati ini terpikat. Aku tak nak kehilangan seorang perempuan yang telah berjaya membuka hati ini semula untuk menerima cinta daripada seorang wanita. Aku dah berbual dengan Encik Fadhli untuk membantu aku membayar separuh bayaran pembelajaran Fyna dan tuan bersetuju. Alhamdulillah tuan memberi kepercayaan kepada aku untuk menjaga anak sulungnya. Kau doakan aku supaya semuanya berjalan lancar” panjang lebar Ahmad Ilman menyatakan hasratnya.
“Kalau begitu, aku akan sokong kau dari belakang. Tapi kau kena ingat, nak cari isteri ni, mesti cari kerana agamanya, bukan sekadar wajah. Wajah yang cantik tidak akan kekal selama-lamanya. Lambat-laun akan berkedut juga. Tapi kalau agamanya baik, ia akan kekal selama-lamanya”
 “In shaa Allah, dia seorang perempuan yang beragama. Lihat saja ayahnya, kalau ayahnya baik, maka baik jugalah anaknya. Aku yakin itu.”
“Ilman, keimanan itu tidak boleh diwarisi daripada seorang ayah yang beriman. Tapi yang pasti, Fyna dalam jagaan orang yang baik-baik. Aku doakan hubungan kau dengan dia baik” Zulfahmi tersenyum sebelum mengakhiri perbualan antara mereka berdua.
Ahmad Ilman menghabiskan kerja terakhirnya sebelum tamat waktu pejabat. Fail-fail yang sudah disemak, dia masukkan kembali ke dalam rak fail. Komputer meja ditutup suisnya dan diambilnya beg galas di rak belakangnya untuk pulang ke rumah. Encik Fadhli datang ke biliknya untuk berbincang dengannya.
“Ilman, tunggu sekejap” kata Encik Fadhli di muka pintu biliknya.
“Ya, ada apa tuan” Ahmad Ilman mempelawa Encik Fadhli untuk duduk di atas sofa sebelahan luar biliknya.   
“Macam ni Ilman, saya tahu kamu belum kenal anak saya macam mana. Baik ke dia, buruk ke dia. Jadi, pergilah berjumpa dengan dia, berkawan dulu dengan dia. Nanti, terbukalah hati dia untuk terima kamu” Encik Fadhli menghulurkan sekeping kertas yang sudah tercatat nombor telefon Nura Afyna.
“Betul ke ni tuan? Terima kasih merestui hubungan kami” riak muka Ahmad Ilman jelas gembira. 




0 comments :

Post a Comment